Menetapkan prioriti membaca seiring matlamat

APABILA tidak ada matlamat hidup yang satu dan padu, kita akan sukar sampai ke tempat tujuan. Atau mungkin dalam perjalanan menuju matlamat yang kabur, kita terlencong ke jalan salah sehingga gagal sampai ke tempat impian.

Sama seperti sebuah kapal yang sedang menuju jeti tempat berlabuh, sekiranya arus tidak menyebelahi dan kekuatan bot tunda pula tidak memadai, kapten kapal terpaksa bekerja lebih keras demi memastikan kapal selamat dilabuhkan.

Setiap kita merupakan kapten pengemudi hidup.

Apabila hendak mengarahkan kemudi hidup, ada dua perkara yang saya fikir patut menjadi matlamat hidup seorang ‘kapten’ Muslim.

Pertama adalah mengambil kira tujuan Allah menghidupkan kita untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Sesungguhnya tujuan kita berada di rumah, pejabat, padang permainan, pusat beli-belah, atau di mana sekalipun pada waktu ini, wajar seiring dengan tujuan penciptaan kita. Begitu pula dengan setiap perbuatan hatta membaca.

Kedua, mengambil kira tujuan Nabi Muhammad s.a.w. yang terpuji dibangkitkan di kalangan manusia untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

Dalam dunia yang dikelilingi jerat nafsu pada hari ini, kita perlu berjuang dengan semangat lebih kental untuk mencontohi Nabi s.a.w. Dengan mencari ilmu melalui pembacaan, kita boleh mengenal sosok peribadi mulia ini lebih akrab seterusnya mencontohi baginda.

Bertitik tolak dari dua matlamat inilah kita wajar menyemak cara memilih bahan bacaan supaya dapat melengkapkan diri menjadi pengabdi Rabbi dan pengamal akhlak Nabi s.a.w. Dengan cara ini juga pilihan buku kita menjadi lebih teratur dan lebih bermakna.

Buku yang baik untuk mempertingkat teknik membaca

Buku yang baik untuk mempertingkat teknik membaca

Dalam buku Agus Setiawan, The Art of Reading: Mengapa 90% Buku yang Dibeli Tidak (Habis) Dibaca dan Cara Mengatasinya, beliau menyebut sikap seorang sarjana yang membahagikan bahan bacaan kepada empat prioriti (keutamaan) bermula dengan koleksi wajib baca dan berakhir dengan koleksi penghibur minda.

Saya suka meminjam teknik prioriti ini untuk menetapkan matlamat membaca seiring matlamat hidup Muslim, tetapi kategorinya memadai tiga sahaja: (i) buku-buku berkaitan tanggungjawab fardu ain (ii) buku-buku berkaitan tanggungjawab fardu kifayah (menurut bidang diceburi) dan (iii) buku-buku berfaedah yang sifatnya harus (mubah) dibaca.

Segala bahan bacaan yang berkaitan dengan tanggungjawab fardu ain wajib kita gali sehabis daya. Ini termasuk bahan-bahan bacaan berkaitan al-Qur’an, Tafsir, Hadith, Aqidah, Fiqh, Akhlak, Dakwah dan seumpamanya.

Setiap rumah Muslim perlu dilengkapi bahan rujukan ilmu fardu ain supaya setiap langkah kehidupan dapat diseiringkan dengan syariat.

Bahan-bahan bacaan dalam kategori fardu kifayah pula berkaitan dengan tanggungjawab sebagai ahli masyarakat.

Misalnya sebagai seorang pustakawan, saya wajib memperkemaskan ilmu mengenai kerjaya ini untuk memberi khidmat yang memadai kepada sesama Muslim.

Buku-buku dalam kategori mubah pula, perlu sekadarnya sahaja menjadi bahan bacaan kita. Termasuk kategori ini buku untuk menghibur hati dan minda setelah penat membaca bahan-bahan dalam dua kategori yang mula-mula tadi. Buku dalam kategori ini boleh memperkaya pengalaman hidup, menambah informasi, menambah empati (belas ihsan) dan sebagainya, tetapi jika berlebihan dalam perkara mubah sehingga terlalai fardu ain dan fardu kifayah, sebagai Muslim kita akan kerugian.

Mudah-mudahan dengan bersatunya prioriti membaca dan matlamat hidup Muslim, Allah akan mempermudahkan perjalanan hidup kita serta memandu kita dengan selamat menuju ke negeri abadi. Dengan ini membaca mungkin jadi lebih bermakna, menambah pahala.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

2 Responses

  1. lubna says:

    Salam, mana nak dpt buku the art of reading? Terimakasih

    • Najibah says:

      Boleh cuba tanyakan kepada Abu Ilkiya di Facebook. Beliau pedagang buku dari Indonesia, menetap di Bangi. Semoga ini dapat membantu Lubna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com