Menyusun rak buku mengikut prioriti membaca

Rak-rak jurnal di ISTAC (gambar hiasan)

Rak-rak jurnal di ISTAC (gambar hiasan)

Dalam artikel yang lepas, saya menyarankan prioriti membaca Muslim diseiringkan dengan matlamat hidup Muslim untuk mengabdi diri kepada Allah dan mencontohi akhlaq Rasulullah s.a.w.

Bahan-bahan bacaan kemudiannya boleh disusun berdasarkan dua matlamat ini kepada tiga kategori berikut: bahan bacaan berkaitan fardu ain, bahan bacaan berkaitan fardu kifayah dan bahan bacaan yang harus atau mubah.

Selepas menetapkan matlamat dan prioriti dalam membaca, menyusul pula peringkat seterusnya iaitu menyusun buku-buku di rak bersesuaian dengan prioriti membaca yang baru.

Sampailah masa untuk saya menyusun semula rak buku di rumah yang kian melimpah ahlinya. Saya mempunyai dua buah rak bertingkat lima. Pada setiap tingkat boleh mengisi kira-kira 30-40 buah buku bergantung ketebalannya. Tiga tingkat teratas pintunya bercermin, dua tingkat terbawah berpintu kayu.

Selama ini aturan menyusun buku saya agak mudah. Buku-buku mengenai buku dan perpustakaan, saya letakkan di tingkat satu dan dua dalam kedua-dua rak. Pintu rak kayu yang rapat mengelakkan anak-anak mengusik dan ‘mengemas’ buku. Koleksi ini saya anggap istimewa kerana minat mendalam terhadap genre ini dan kebanyakannya sukar didapati di kedai buku biasa.

Manakala buku-buku berkaitan agama Islam berada di tingkat paling atas di rak yang saya khususkan untuk bukan fiksyen, diikuti buku bukan fiksyen di tingkat-tingkat seterusnya. Satu rak lagi menempatkan buku-buku fiksyen, dan rak inilah paling cepat penuh, selalunya.

Setelah meneliti susunan asal, saya mula menarik keluar buku-buku untuk mengosongkan rak. Kemudian saya bahagikan buku mengikut teknik prioriti (keutamaan) dengan tiga kategori di atas.

Tiba-tiba saya berasa malu, kerana sekarang dengan jelasnya saya dapat melihat betapa koleksi buku saya sangat lari dari matlamat dan prioriti yang sepatutnya bagi seorang Muslim.

Koleksi buku saya berkembang saban tahun, tetapi lebih menjurus kepada buku fiksyen dan bukan fiksyen mengenai dunia buku dan kepustakawanan. Walaupun ada satu set tafsir dan beberapa buah buku hadith, tetapi peratusannya tidak lebih dari 15%.

Apa yang saya fikir selama ini? Adakah saya fikir ‘ilm fi al-sudur (ilmu dalam dada) saya yang sedikit – bekal yang diberi oleh guru-guru ketika sekolah menengah agama di Kelantan, serta sedikit ilmu undang-undang Islam ketika di UIAM – memadai untuk melengkapkan tanggungjawab fardu ain saya?

Saya memang terlencong jauh. Saban hari menguruskan kitab-kitab klasik Islam – mengikut KPI sekurang-kurangnya 100 buah sebulan – barulah sekarang Allah menggerakkan hati untuk mengubah prioriti dalam membaca. Syukur sebanyaknya kepada Allah.

Nama-nama besar Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Shafi’i, Imam Hanbali, al-Samarqandi, Zamakhsyari, Imam al-Tahawi, al-Zarnuji, Ibn Qayyim al-Jawziyah, Ibn Sina, Ibn Abi al-Dunya, Ibn ‘Arabi dan ramai lagi sering saya temui sewaktu mengurus buku-buku di ISTAC.

Ribuan kitab telah disusun oleh para ‘ulama ini yang sanggup menjauhi kesenangan hidup duniawi untuk meninggalkan pesan kepada ummah, tetapi saya yang mengalami masalah prioriti dalam membaca lambat menyedarinya.

Betapa rugi pula kerana sampai sekarang saya belum mampu membaca karya-karya berbahasa Arab itu! Jadi apa yang mampu saya usahakan untuk menebus masa lalu adalah mengisi rak prioriti utama itu dengan kitab-kitab besar Islam yang telah diterjemahkan.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

1 Response

  1. zam says:

    La haula wala Quwata illah billah tuan,

    dapat pencerahan sebegitu rupa. Kadang-kadang perkara sebegini membuat kita sedar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com