Membaca perlu bermatlamat

Merenungg semula matlamat membaca!

Tanpa matlamat jelas, sasaran menjadi kabur.

Saya membaca sejak usia 5 tahun; penuh setia akan menunggu ayah pulang di muka pintu rumah, kerana nanti di tangannya ada sampul kuning berisi buku cerita kanak-kanak . Buku-buku itu ayah pinjam dari perpustakaan sekolah tempat dia bertugas.

Ketika itu, membaca suatu aktiviti menyeronokkan. Saya dapat tahu kisah Siti yang menunggang batang kelapa sebagai kuda. Ada juga cerita Si Gonjang yang setinggi apartmen menyelamatkan kanak-kanak dalam kebakaran. Si Bulat pula suka berlari kerana takutkan anjing sehingga susu tumpah dan telur pecah.

Menginjak 12 tahun, saya pertama kali mengecap konflik antara membaca dan matlamat apabila ayah menasihati saya kerana masih galak membelek novel siri Salma dan Kisah Tujuh Penyiasat menjelang UPSR.

Selepas UPSR tamat saya terus tenggelam dalam membaca buku cerita. Ketika peperiksaan akhir tahun darjah enam, saya hanya layak mendapat nombor 8. Jatuh dari tangga pertama hingga ketiga yang selalu diraih sebelum ini. Ada rakan sekelas yang bersorak kerana akhirnya berjaya menewaskan saya dalam peperiksaan.

“Ini akibatnya, apabila kita lepas tangan soal pelajaran anak-anak,” itu yang saya dengar keluar dari mulut ayah ketika dia berbual dengan ibu selepas saya mendapat keputusan itu.

Setelah menjejak universiti, saya selalu berjaga malam menghabiskan buku-buku yang diminati (novel sastera kebanyakannya) – kadang-kadang hingga alpa terhadap buku-buku teks undang-undang. Akhirnya saya lulus dengan CGPA tidak begitu memberangsangkan. Walaupun masih mendapat kepujian, tetapi ramai rakan sejak dari zaman sekolah mendapat kelas pertama. Tak mengapalah, saya fikir waktu itu. Saya terima saja sebagai bayaran penerokaan dunia menurut cara saya. Yang penting, buku dan saya seperti jasad dan nyawa.

Pada usia menjelang 40 tahun seperti sekarang, saya masih menghadapi konflik antara minat membaca dan matlamat jangka panjang. Saya menyimpan impian menjadi pustakawan yang pakar dalam bidang dan mampu menyumbang terhadap korpus ilmu itu melalui penulisan. Tetapi saya masih belum berhasil memfokuskan pembacaan saya menuju matlamat secara padu.

Syukur alhamdulillah, semangat membaca memang tidak pernah berkurang… namun pembacaan saya memencar ke pelbagai arah dan belum menuju tepat ke arah cita-cita. Rupa-rupanya nafsu membaca pun perlu ada tali kekangnya (kawalan)!

Kini saya sedar ada bezanya membaca kerana nikmatnya perbuatan membaca itu sendiri dengan membaca untuk mencapai satu matlamat jangka panjang yang lebih bermakna. Oleh sebab terlalu asyik dengan kenikmatan membaca, saya terlupa setiap perbuatan hatta yang berfaedah seperti membaca sekalipun harus bersukat dan bermatlamat.

Seperti yang diungkapkan oleh tokoh pengarang Abdullah al-Qari bin Haji Salleh dalam bukunya Bagaimana Menulis & Menterjemah Buku-buku Keislaman Bermutu?, seorang pengarang perlu bijak mengatur langkah penulisannya dengan mengenal pasti lebih dahulu ‘tajuk yang amat diperlukan masyarakat atau negara di kala itu’.

Begitu juga dengan membaca, selepas memasang cita-cita untuk menjadi pustakawan yang menulis dalam bidangnya, perlu ada satu keputusan dibuat mengenai apa keperluan paling mendesak masyarakat waktu ini berkait dunia buku dan kepustakawanan. Bukan semata-mata apa yang paling menarik bagi diri sendiri.

Menurut pengarang Abdullah al-Qari lagi, bahan-bahan pembacaan berkenaan tajuk yang akan ditulis itu perlulah dikumpul dengan penuh kesungguhan, melalui ‘usaha yang segera dibuat’, tidak kira dengan cara menyemak perpustakaan peribadi, perpustakaan luar mahupun internet.

Saya kira sudah waktunya untuk saya matang dan dewasa dalam membaca, dengan menetapkan matlamat peribadi dan tidak lagi membaca secara rambang. Bukan soal hati sendiri yang perlu dipuaskan apabila membina matlamat atau bahan bacaan, tetapi yang lebih utama adalah manfaat yang lebih besar kepada masyarakat atau negara.

Tiba-tiba saya berasa seolah-olah baru tersedar daripada sebuah mimpi yang panjang. Tetapi tidak ada gunanya berkata ‘kalaulah’ untuk sebuah masa lalu yang sudah jauh pergi.

Daripada seorang kanak-kanak yang dibuai indah oleh kisah dongeng zaman kecil, kepada pelajar universiti yang sulit berpisah dengan emosi naratif dari novel yang dibaca sehingga pagi, saya bersyukur diberi peluang kedua oleh Allah untuk menetapkan matlamat membaca. Semoga perjalanan seterusnya lebih diberkati.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

2 Responses

  1. kueh says:

    ku kira membaca itu macam seks.. matlamat jangka panjangnya zuriat. tapi jangka pendek tak boleh diabai – kenikmatan dan keasyikan.

  2. Najibah says:

    Ya, perumpamaan yang cantik. Cuma zuriat yang bagaimana? Dan sesiapa pun boleh tersasar bila iman diuji. Waktu itu yang terjadi, matlamat tak penting lagi asalkan nikmat?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com