Jabarti dan kisah Mesir ditakluk Perancis

20130927-132043.jpg

Pada 1 Julai 1798, Napoleon tiba di Mesir dengan 400 buah kapal dan 54 000 askar dan bijak pandai Perancis. Abd al-Rahman ibn Hasan ibn Burhan al-Din al-Jabarti, seorang ilmuan Mesir berdarah Somalia berusia 45 tahun ketika itu, telah membuat catatan mengenai 7 bulan terawal kemunculan pasukan Perancis di bumi Mesir.

Manuskrip asalnya dalam bahasa Arab berjudul Tarikh muddat al-Faransis bi-Misr. Al-Jabarti juga mengarang dua buah lagi kitab sejarah, Mazhar al-taqdis dan Aja’ib al-athar fi al-tarajim wa al-akhbar.

Terjemahan ini telah disempurnakan oleh Profesor S. Moreh dengan membandingkan beberapa manuskrip karya al-Jabarti serta terjemahan lain sebelumnya.

Melalui terjemahan ini, kita dapat mengetahui betapa lemahnya pertahanan di pelabuhan Mesir ketika itu sehingga pernah ubat bedil meriam tidak dapat dibeli kerana tiada peruntukan kewangan.

Manakala dinding pertahanan kota tidak dibaik pulih kerana sesama pemimpin curiga jika tujuannya adalah untuk menjadikan tembok kota dan menaranya tempat melancarkan pemberontakan.

Al-Jabarti tidak menyembunyikan perasaan negatifnya mengenai kehadiran Perancis di bumi Mesir. Ini dapat dilihat daripada ayat-ayat beliau ketika menerangkan mengenai askar Perancis dan tindakan-tindakan mereka.

Beliau juga mengkritik surat pengumuman kemasukan Perancis ke Mesir yang dikirim Napoleon dalam bahasa Arab kepada para penduduk dari segi isi dan juga penggunaan bahasa Arab.

Kebanyakan isi seterusnya merupakan kesulitan-kesulitan yang terpaksa dihadapi oleh pembesar dan orang awam setelah dijajah oleh Perancis.

Namun begitu beliau tidak lupa memberi pujian dalam hal-hal keilmuan. Beliau menceritakan bagaimana beliau melihat buku-buku yang dimiliki oleh orang Perancis dan sebuah perpustakaan yang diuruskan pihak Perancis ketika tempoh 7 bulan pertama kedatangan mereka.

Kitab ini bukanlah kitab terbesar karangan al-Jabarti. Kitab paling masyhur buah tangan beliau adalah kitab Aja’ib al-athar fi al-tarajim wa al-akhbar yang menceritakan sejarah Mesir sebanyak empat jilid.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com