10 perkara asas bagi penuntut ilmu (sekaligus pemburu buku)

Salah satu versi terjemah Ta'lim al-muta'alim oleh al-Zarnuji.

Salah satu versi terjemah Ta’lim al-muta’alim oleh al-Zarnuji.

Siaran IKIM petang semalam (19 Februari) yang ke udara bersama Dr. Farid Shahran, telah membuat kupasan terhadap sebuah buku berjudul Ta’lim al-muta’allim tariq al-ta’alum, oleh Burhan al-Din al-Zarnuji (hidup sekitar kurun 12 dan 13 Masihi). Inti yang dikupas adalah 10 perkara asas yang patut diketahui oleh penuntut ilmu sebelum menerjuni sesuatu bidang ilmu.

Di sini saya perturunkan lebih dulu 10 perkara itu, dengan contoh-contoh yang saya kembangkan menurut kefahaman sendiri dan bukan sepenuhnya daripada Dr. Farid Shahran (mohon ditegur sekiranya kurang tepat).

Menurut al-Zarnuji, penuntut ilmu wajar mengetahui:

  1. Nama ilmu yang dipelajari, contohnya apakah ilmu itu ilmu aqidah, tafsir, hadis, fiqh atau kimia, fizik, matematik, psikologi, dan sebagainya.
  2. Sumber ambilan, iaitu daripada mana ilmu itu berasal; dalam dunia moden hari ini merupakan rujukan, nota kaki, referensi atau bibliografi yang memberi penghormatan dan kejelasan mengenai sumber asal.
  3. Kandungan utama ilmu; iaitu subjek-subjek penting yang diperkatakan dalam pengajiannya
  4. Skop bahasan, mauduk atau perincian ilmu tersebut
  5. Faedah ilmu yang dipelajari
  6. Nisbah atau kedudukan ilmu itu berbanding ilmu lain (dalam bahasa ‘Arabnya Ihsa’ al-‘Ulum); contohnya ilmu aqidah sudah semestinya lebih tinggi kedudukannya daripada ilmu geologi, namun tidak pula bererti ilmu geologi tidak penting
  7. Siapa yang menjadi pelopor, pemula, penyusun atau pengembang bidang ilmu tersebut
  8. Hukum belajar ilmu yang sedang dipelajari, sama ada fardu ‘ain atau fardu kifayah
  9. Fadilat atau kelebihan ilmu yang sedang dipelajari
  10. Kesudahan ilmu itu, sama ada untuk kepentingan dunia atau akhirat.

Saya terfikir betapa 10 perkara penting bagi penuntut ilmu itu, sangat-sangat sesuai juga diaplikasikan bagi para pencinta buku – dalam memburu buku-buku bacaan dan mentelaahnya.

Jika selama ini kita memilih buku-buku bacaan secara mengikut selera nafsu sahaja dan tidak terarah, mungkin sudah sampai waktunya untuk kita cuba mengaplikasikan 10 perkara asas di atas setiap kali ingin menambah buku baru ke rak peribadi.

Adakah sebuah buku yang kita tambahkan ke rak itu, kita sudah tahu nama bidang ilmu yang dibahasnya? Adakah kita pasti dengan kredibiliti sumber ambilan buku itu? Adakah perkara yang diperkatakan buku itu merupakan kandungan utama sesuatu bidang ilmu? Apakah faedah dan fadilatnya jika kita membaca buku itu nanti? Adakah intisari buku itu lebih penting daripada buku-buku lain yang sepatutnya lebih dahulu perlu kita baca, kaji atau telaah? Pengarang manakah yang mendahului dalam mengarang buku seumpama yang sedang kita mahu beli?

Semua soalan di atas dapat menjadi seperti satu senarai semak kepada kita setiap kali ingin membeli buku baru, secara tak langsung tentu akan dapat menambah kualiti buku-buku yang bakal menduduki rak buku kita. Dan jika dilihat dari segi kadar membeli buku berbanding membaca seperti yang tertera dalam perbincangan “Beli buku banyak banyak itu tandanya dia ulat buku. Betul ke bohong?” di Goodreads Malaysia (sebuah komuniti atau kelab buku Malaysia dalam talian, dengan lebih 1500 ahli setakat ini), mungkin senarai semak ini dapat menjadi pengekang kepada nafsu membeli pengumpul buku yang sentiasa membuak-buak (termasuk saya sendiri, tentunya).

Dr. Farid Shahran juga menyentuh betapa pentingnya untuk kita berusaha memperluas dan memperdalam ilmu sekaligus, bukan semata-mata bertumpu kepada bidang kita yang hakiki. Beliau memberi contoh bagaimana seseorang yang memasuki Islam dari pintu tasawuf semata-mata misalnya, boleh terkepung dek kejahilannya terhadap bidang lain seperti fiqh, hingga boleh timbul kesesatan. Tentunya kita pernah mendengar mengenai ketua ajaran sesat yang melepaskan dirinya dan pengikut daripada kewajiban ibadat solat sedangkan itu merupakan tiang agama.

Perluasan ilmu yang dikatakan Dr. Farid ini pastinya menuntut kita membaca dengan lebih meluas, lalu mencabar dan melepaskan diri dari keselesaan genre yang sudah sebati dengan kita. Ini senada dengan seruan SN Dato’ Anwar Ridhwan dalam akhbar Berita Harian pada 4 Februari 2013: Pandai memilih atau terkeweh: pilih buku haruslah berkualiti.

Praktis amalnya tentu tidak semudah menulis di blog mengenai hal ini. Tetapi sekurang-kurangnya ini mampu menguak sedikit kabus yang adakalanya bertindak bagaikan skrin yang menyekat fikiran dan mata kita daripada meneroka ruang yang lebih luas di hadapan.

Apapun, bagi sesiapa yang mencari buku ini dalam bahasa Inggeris, telah ada dua versi terjemah yang dapat saya kesan:

  1. Von Grunebaum, G.E. & Abel, Theodora M. (2003). Instruction of the student: the method of learning. USA: Starlatch Press.
  2. Mochtar, Affandi. (2009). The method of Muslim learning. New York: Global Scholarly Publications.

Bagi pelajar Universiti Islam Antarabangsa, kedua-dua versi terjemah ini serta buku asal dalam bahasa Arab boleh didapati di perpustakaan universiti. Malangnya dua kedai buku utama Malaysia iaitu MPH tidak memiliki judul ini dan Kinokuniya sudah habis stok.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

5 Responses

  1. Welma Laanda says:

    Terima kasih Kak Najibah di atas perkongsian ini. Saya pengikut siri tersebut yang disampaikan oleh Dr Farid. Tetapi untuk 19hb, saya agak terlewat sedikit mengikuti siri tersebut. Rupanya sebahagian isi perbincangan itu tentang buku ini.

  2. Najibah says:

    Sama-sama. Akak tengah cari buku ni (bahasa Inggeris), kalau Welma tahu dari mana boleh dapatkan secara lokal tolong info ya 🙂

  3. Teringin pula hendak dengar rakaman slot bersama Dr. Farid Shahran ini.

  4. Razif says:

    Ada beberapa terjemahan Bahasa Melayu yang baik. Antaranya oleh Ustaz Ilyas Ma’had Derang. Saya beli di Ma’ahad Tarbiyah Islamiyah Derang. Saya sempat bertalaqqi kitab Arabnya hingga tamat semasa cuti selepas SPM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com