Refleksi 2012 (GRMY & Bacaan Peribadi)

Goodreads Malaysia (GRMY)

Tahun 2012 adalah tahun yang meriah bagi Goodreads Malaysia (GRMY). Ada beberapa hal membantu perkembangannya, terutamanya dari sudut promosi dan juga pertambahan ahli.

Antaranya GRMY mendapat sorotan di akhbar, atas usaha gigih wartawan dan juga pengarang tanah air, Mohd. Nazmi bin Yaakub. Uaran mengenai program Ganding Baca yang diadakan secara dalam talian di Goodreads telah memberi ruang kepada GRMY untuk lebih dikenali para peminat buku. Suatu laman Ganding Baca di Facebook juga telah diwujudkan untuk menambah keaktifan aktiviti, walaupun diakui sambutan masih lagi belum mencapai tahap yang disasarkan.

Ganding Baca (GRMY) di Berita Harian, 22 Mei 2012.

Ganding Baca (GRMY) di Berita Harian, 22 Mei 2012.

Pertandingan logo dan tagline GRMY juga telah berjaya diadakan tahun lalu. Tagline “Bernafas Dengan Buku” yang terpilih adalah kiriman Puan Nisah Hj. Haron, seorang pengarang mapan negara yang tidak lokek menyumbang idea dan diskusi di GRMY. Manakala logo yang memenangi pertandingan pula adalah logo yang direka cipta oleh Mohd. Khairunnizam Mohd. Rosman, adik kepada (juga) pengarang tanah air yang kian mencipta nama, Norziati M. Rosman. Kelab buku sememangnya memerlukan lebih ramai pengarang yang prihatin seperti Puan Nisah dan Cik Norziati.

Logo GRMY dan tagline Bernafas Dengan Buku

Logo GRMY dan tagline Bernafas Dengan Buku

Selain daripada itu, Kota Buku turut memberi satu slot panel kepada GRMY untuk memperkatakan pengalamannya sebagai sebuah kelab buku dalam talian. Pembentangan di bawah tajuk “Goodreads Malaysia: Bagaimana Kami Lakukan?” itu alhamdulillah telah berlangsung di PWTC ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012.

Walaupun tidak ramai ahli GRMY yang dapat hadir, tetapi ini telah membuktikan bahawa usaha para pencinta buku Malaysia di Goodreads telah memberi kesan yang positif dalam kalangan penggiat industri buku.

Mudah-mudahan tahun 2013 akan membawa lebih banyak momen yang memberangsangkan untuk menambah semangat semua pencinta buku di GRMY.

Bacaan peribadi

Tahun 2012 adalah tahun yang mencabar bagi saya secara peribadi untuk membaca, kerana keadaan alahan mengandung yang tidak mengizinkan dan lebih mengasak dari kandungan kedua.

Sasaran saya untuk membaca beberapa adikarya tempatan / antarabangsa tidak terlaksana. Pilihan bacaan pun sangat terhad, dan banyak buku yang dibaca tidak berjaya ditamatkan.

Tetapi kalau ditanya buku manakah yang paling meninggalkan kesan, tentunya Rihlah Ilmiah karya Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud, bukan sahaja kerana isinya berkait sejarah ISTAC yang sememangnya istimewa, tetapi juga kerana pandangan yang dibawakan dalam buku itu mengenai konsep Islamisasi ilmu dan pendidikan Islam.

Dan inilah 13 buah buku (sahaja), yang sempat saya baca tahun lalu:

Judul-judul yang dibaca 2012

Judul-judul yang dibaca 2012

Azam membaca saya 2013, adalah untuk lebih berfokus kepada bidang tertentu yang sepatutnya telah saya beri prioriti lebih banyak sejak lama dulu. Selain itu, akan tetap kekal dengan ingin mentelaah adikarya, walaupun sebuah tentu akan membawa makna besar dalam hidup. Saya yakin begitu.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com