Seni pembuatan buku dan jenis sisi halaman

Suatu waktu dulu, halaman buku dibuat menggunakan kuarto (quarto atau 4to), iaitu satu gebar kertas besar yang dilipat empat, menjadi empat helaian (leaves) atau lapan halaman bercetak.

Apabila dilipat, satu bahagian daripada tepinya adakala dibiar tidak terbuka (unopened); dijual kepada pembeli dalam keadaan itu. Ini disebabkan faktor guna tenaga dan jimat masa. Sesetengah penerbit pada waktu itu, menganggap hal ini tidak penting kerana pembeli dapat membukanya sendiri ketika ingin membaca.

Sebuah buku yang punya ciri sedemikian (tepi tidak dibuka) saya temui baru-baru ini dalam koleksi perpustakaan Syed Muhammad Naquib al-Attas, ISTAC. Walaupun saya sedikit musykil mengenai jumlah lipatannya kerana lipatan itu kelihatan membentuk lapan helaian dan bukan empat seperti sepatutnya satu kuarto berlipat empat dan berhelai empat.

Menurut satu sumber lain, adakalanya halaman kuarto akan dijilid secara bersama menjadikannya lapan helaian dan bukan empat ketika dijahit, tetapi buku yang saya temui ini dijilid enam belas helaian sekaligus (bererti 32 halaman bercetak). Tidak saya ketahui dengan pasti sama ada tepi  berjahitnya itu menggabung empat kuarto, atau dua gebar kertas besar dilipat lapan (tak berani saya mengorek jilidnya, sebab boleh menyebabkan kerosakan).

Ini sebuah buku yang saya kira boleh dianggap nadir, berjudul Kitab Surat al-Ard karya Muhammad bin Musa al-Khuwarizmi, saduran daripada buku asal Geographia karya Ptolemus Claudius.

P1020994

P1020998

P1020997P1030002P1030001

Di kalangan pengumpul buku di dunia Barat pada satu ketika dulu, buku-buku dengan tepi tidak dibuka ini menjadi kekeliruan bagi sesetengah pengumpul yang kurang arif dengan istilah tidak berpotong (uncut), iaitu tepi bergerigis (deckle) atau tidak dirapikan (untrimmed).

Douglas Frognall Dibdin, dalam bukunya Bibliomania (1842), menceritakan lapan simptom atau penyakit penggila buku zamannya; kegilaan terhadap buku yang lapang margin cetaknya, buku yang tidak berpotong tepi (uncut), buku dengan ilustrasi tambahan, buku yang unik, buku yang dicetak di atas velum, buku edisi pertama, buku edisi asal dan buku dengan rupa taip Blackletter.

Buku yang tidak berpotong tepinya seperti yang dinyatakan oleh Dibdin, menurut Henry H. Harper (1904) dalam bukunya Book-lovers, Bibliomaniacs and Book Clubs, bukanlah merujuk kepada buku seperti dalam keadaan Kitab Surat al-Ard di atas. Tetapi merujuk kepada sisi yang tidak dirapikan atau bergerigis.

Sisi buku yang tidak dirapikan atau bergerigis itu melambangkan seni pembuatan kertas pada masa sebelum wujud mesin cetak Fourdrinier. Oleh sebab penggunaan kerangka pada tepi penapis fiber kertas yang tidak begitu rapat, sisi kertas akan menjadi sedikit tidak rata atau bergerigis.

Dalam banyak keadaan, sisi kertas yang bergerigis ini tidak dipotong atau dirapikan oleh para penerbit dan pencetak buku ketika itu, juga atas alasan jimat guna tenaga dan masa. Inilah ciri buku yang sepatutnya menjadi buruan para pengumpul, dan bukan buku yang tidak dibuka seperti di atas (kecuali jika kedua-dua ciri tidak dibuka dan tidak dirapikan wujud serentak pada sesebuah buku).

Henry Stevens menceritakan kisah seorang pengumpul buku masyhur James Lenox, yang telah memulangkan sebuah risalah (tract) awal New England yang sangat nadir dan berjilid mewah, semata-mata kerana semua sisinya telah dibuka atau dipotong, dan tidak dalam keadaan seperti kitab dalam foto di atas kerana kekeliruannya mengenai istilah unopened dengan uncut.

———————————————————-

Lagi mengenai halaman bertepi gerigis:

  1. Edge trims (http://mywingsbooks.com/coll-terms/edg02_.shtml)
  2. Deckle detecting (http://www.economist.com/blogs/babbage/2012/07/printed-books)
  3. Deckle age in the age of mechanical reproduction (http://www.themillions.com/2010/02/deckle-edge-in-the-age-of-mechanical-reproduction.html)

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

1 Response

  1. Razif says:

    Terdapat beberapa buah manuskrip di Pusat Manuskrip Negara, PNM yang halamannya sebegini, antaranya manuskrip perubatan Melayu. Semasa saya masih menjadi RA di Islamic Science Institute USIM, sempat mengkaji lebih 30 buah manuskrip berkenaan perubatan Melayu dan ada beberapa yang halamannya sebegini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com