Big Bad Wolf 2012

Tahun ini alhamdulillah sempat juga melawat serigala besar dan jahat yang suka memikul guni buku yang amat besar itu. Sabtu minggu lalu (23 Disember 2012) sekeluarga bertolak ke MIECC jam 11:00 pagi dan selepas sesat sedikit berpusing-pusing, hampir jam 1:00 barulah tiba. Kereta sudah bersusun-susun mahu masuk ke kawasan MIECC waktu itu tapi hati tetap gembira tak terkata. Maklumlah selepas bertapa beberapa bulan dari Goodreads dan BukuRia akibat alahan mengandung, inilah kemunculan semula ke dunia buku yang meriah.

Dari segi lokasi, walaupun MIECC lebih sukar diakses daripada MAEPS tahun lalu, suasana berasa lebih santai. Mungkinkah dengan adanya kompleks beli-belah The Mines di sebelah 😉 ? Tempat letak kereta juga tak menjadi masalah. Jarak kawasan letak kereta ke dewan tak terlalu jauh hingga memerlukan kita menaiki shuttle bus. Yang penting, tak ada kesesakan ketika mahu masuk ke dewan seperti di MAEPS sehingga terpaksa beratur dahulu sebelum penghadang pintu dibuka. Kemudahan lain seperti restoran, tempat bermain kanak-kanak dan surau yang berdekatan dan mudah dicari adalah satu kelebihan besar bagi yang membawa anak-anak.

Gerbang masuk (maaf, mutu foto kurang baik)

Gerbang masuk (maaf, mutu foto kurang baik).

Berhampiran gerbang masuk, kemudahan sampingan seperti khidmat kerusi urut, jualan bagasi, dan pameran kereta Lamborghini berlambang The Wolf, menambah aura BBW kali ini. Setiap tahun, BBW patut ada tema seperti ini untuk menyuntik unsur kelainan.

Sebahagian daripada timbunan buku di dalam (sebelah kanan pintu masuk). Ramainya peminat buku!

Sebaik sahaja masuk, saya menuju ke bahagian bukan fiksyen, memoir dan biografi – niat ingin mencari seberapa banyak buku mengenai dunia buku dan perpustakaan. Akhirnya dapat tiga buah sahaja sebelum si enam tahun mendesak-desak mahu memilih buku di bahagian ‘Children’. Si ibu pun terpaksalah mengalah, apatah lagi si lasak setahun lapan bulan mula berlari-lari di celah orang ramai (singkat betul masa si kecil ini berasa takut-takut di tempat baru, lepas itu sudah buat macam rumah sendiri!).

Mujurlah waktu itu ternampak di tingkat atas ada disediakan tempat kanak-kanak melampiaskan tenaga mereka yang tak habis-habis – jadi suami bawa dulu si lasak kecil bermain di atas. Selepas dapat satu kotak buku, saya bawa si kakak yang sudah siap memilih buku untuk dirinya ke tempat sama. Saya ambil masa merehatkan diri sambil menemani anak-anak bermain, sementara suami pula mencari buku.

buku sendiri dan hubby

Senarai buku yang kami sempat beli:

  1. Reading by the Moonlight (Brenda Walker)
  2. The Boy Who Loved Books (John Sutherland)
  3. Dewey’s Nine Lives (Vicki Myron)
  4. The Ultimate Illustrated History of World War II (Donald Sommerville)
  5. Submarines (Martin J. Dougherty)
  6. An Illustrated Encyclopedia of Battleships: from 1860 to the First World War
  7. Ultimate Book of World War I (H.P. Willmott)
  8. Architecture: A Brief Insight (Andrew Ballantyne)

[Yang perang-perang itu suami punya, persoalannya kenapa lelaki suka sangat dengan perang? Mungkinkah kalau seluruh dunia ditadbir wanita perang akan berkurangan, atau boleh jadi makin teruk perangnya, kerana lelaki berebutkan para pemimpin wanita pula – apapun lelaki jua yang mencetus perangnya :D]

Walaupun niat awal saya mencari buku mengenai buku dan perpustakaan, tetapi saya sempat menyambar sebuah buku mengenai seni bina untuk amatur ditulis Andrew Ballantyne yang akhirnya menjadi buku yang sangat saya suka antara kesemua buku yang telah dibeli.

Isinya berkisar bagaimana cara menikmati seni bina dari perspektif tertentu. Rasanya mana-mana buku mengenai seni bina yang pernah saya belek sebelum ini tidak mampu membuat saya berasa begitu dekat dengan kesenian bangunan sebagaimana buku ini.

P1020976

Buku si enam tahun dan si setahun lapan bulan

Buku si enam tahun dan si setahun lapan bulan – tema sama saja, kucing, arnab, kucing, arnab, roda, roda, roda.

Untuk si enam tahun peminat kucing dan arnab, banyaklah buku kucing dan arnab yang dia masukkan ke dalam kotak. Untuk si kecil pula, Truck dan Wheels sebab hobinya menggelek sebarang benda yang beroda. Tahun ini tak bertemu buku pop-up yang unik-unik seperti tahun lepas.

Saya tertanya-tanya buku bertema apa yang biasa pembaca lain belikan untuk anak-anak, sebab saya rasa sudah agak bosan dengan tema sama berlegar sekitar binatang peliharaan dan kenderaan (mungkin ada sesiapa sudi berkongsi?)

Sebelum membayar, suami sempat membeli sehelai baju T comel yang membuat saya semakin jatuh cinta kepadanya (kepada suami, bukan kepada baju). Bayangkan saja, daripada dia yang dulu, dan dia yang kini yang semakin dekat dengan buku hingga sanggup beli baju T buku untuk dipakai. Oh! Saya tak bermimpi rasanya! Dan berasa sangat bahagia 🙂 🙂 🙂

P1020973 P1020971

 

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

3 Responses

  1. Snuze says:

    Saya pergi hari ketiga jualan tersebut dan telah disampuk kegilaan. Habis belanjawan buku untuk 4 bulan dalam masa sejam.

    *tersipu-sipu akibat ketamakan*

    • Najibah says:

      Dahsyat tu. Itu rekod terbaru dalam sejarah hidup, atau memang selalunya begitu 🙂 ? Kalau itu rekod baru, boleh ucapkan tahniah ni. Hehe.

  2. Snuze says:

    Rekod baru. Alasannya ialah mengambil banyak buku bagi persediaan untuk kerja baharu tahun depan, hehehe.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com