Ganding Baca Mei/Jun 2012: Kembara Sastera Nisah Haron

kembara sastera nisah haron1. Sejauh manakah anda merasakan bahawa buku tersebut boleh dianggap sebagai kembara sastera? Apakah yang bermain di kotak fikiran bila menyebut ‘kembara sastera’? (Faizah)

Ya, buku ini boleh dianggap kembara sastera secara mata kasar, kerana tujuannya masih lagi untuk mengenal lebih dekat seni dan sastera di bumi UK dan Ireland. Namun, jika diteliti lebih halus, mungkin juga maksud kembara itu belum lagi sampai, kerana kembara setepatnya dalam pengertian bahasa Inggerisnya adalah ‘adventure’ dan bukan ‘tour’. Buku Kembara Sastera kelihatan lebih merupakan pelancongan daripada kembara.

2. Halaman 112, perenggan terakhir & 113, perenggan pertama menyebut tentang kualiti buku kanak kanak di sana dan tempatan. Buku-buku tempatan disebutkan sebagai ada yang berwarna-warni dan berkulit tebal tetapi jarang menggugah minda anak-anak. Pendapat anda? (Faizah)

Memang betul, contoh buku berwarna-warni yang tidak peduli dengan psikologi kanak-kanak, adalah yang membawakan hadis-hadis yang sangat baik maksudnya, mengenai malu dan lain-lain, tetapi tidak dalam bentuk ‘cair’ yang sesuai dengan usia anak-anak. Ia cuma diceduk satu persatu begitu sahaja dari kitab hadis, kemudian diberi gambar kartun berwarna-warni yang sangat cantik. Kalau kita boleh berusaha lebih sedikit, sebenarnya setiap hadis itu sendiri boleh dikembangkan menjadi sebuah buku cerita. Barulah ibu bapa dapat menerapkan hadis-hadis itu melalui perkisahan.

3. Mungkin ramai ibu-ibu yg membaca buku ini berkata, “Bestnya Nisah Haron pergi melancong sorang-sorang padahal anak dia 5 orang kecik-kecik lagi. Sportingnya suami dia!” Bagaimana beliau menjustifikasikan niat beliau itu? “Saya nak pergi lawat pesta buku di UK. Abang jaga anak-anak. Ok, bye!” (Khairul H.)

Saya percaya seorang yang diberi peluang untuk suatu kembara sehebat Nisah Haron, telah melalui suatu pengalaman panjang yang telah pun membuktikan ‘siapa dirinya’. Seorang wanita yang telah memancar ketokohannya, fokus dengan cita-cita, telah mendapat pulangan wajar sebelum ini dari usahanya, sebenarnya tidak terlalu payah untuk mendapat kepercayaan suami. Saya percaya perjalanan panjang menggapai impian itu bagi sesiapa pun terlalu banyak pahit daripada manisnya, sehingga pengalaman itu sendiri memadai sebagai justifikasi. Sebab itu, ia bukan soal ‘sporting’ atau tidak si suami, tetapi juga mengenai usaha tak kenal lelah si isteri (awas, jangan selalu melihat dari mata lelaki sahaja, :D)

4. Mutakhir ini pelbagai jenis travelog / buku kembara muncul / diterbitkan tetapi kebanyakannya berunsur cerita dan catatan seperti diari yang melemaskan. Contoh terbaik yang oleh saya ambil ialah buku-buku travelog tulisan Ustaz Hasrizal dan Jhazkitaro (yang pernah disebut sebagai ‘buku teks’). Apakah model buku kembara yang sepatutnya wujud? Apakah ia seperti The Great Railway Bazaar atau The Motorcycle Diaries: Notes on a Latin American Journey (sekadar mengambil beberapa contoh). (Norziati)

Saya tak begitu banyak membaca buku kembara, tetapi ada benarnya juga kebanyakan buku kembara mutakhir yang dihasilkan adalah sekadar catatan perjalanan secara permukaan, tanpa benar-benar menyelami hati nurani tempat yang dilawati. Saya rasa buku kembara yang lebih tinggi akal budi dan mampu mencabar pembaca, patut memasukkan bukan sekadar pemerhatian luaran, tapi sesuatu yang lebih mendalam nilainya. Salah satu kekuatan buku kembara zaman kolonial misalnya, adalah keupayaan memberi deskripsi dan menjuktaposisi pengalaman budaya dan sosial tempat lain (berbanding budaya sosial mereka) dengan begitu persis dan menyeluruh. Mungkin juga tujuan kembara itu memainkan peranan yang utama, dalam menentukan bentuk tulisan yang terhasil. Seperti tujuan kembara Che Guevara dalam diari motosikalnya, ingin mencari dan mengenal Amerika, jadi ada suatu pencarian unik di situ untuk menghasilkan buku kembara yang unik juga. Begitu juga faktor masa memainkan peranan, seperti kembara keretapi Paul Theroux, beliau dalam keadaan santai, tenang dan sepenuhnya dapat menikmati kembara itu sebagai pengarang kembara profesional.

5. Shakespeare adalah ikon sastera dengan sejarah ratusan tahun. Adakah kita punya ikon sastera sebegini? Memang kita ada karya-karya sastera lama tetapi macam tak ada usaha nak menjadikan pembaca tertarik mahu menggali sastera silam. Kenapa sastera klasik kita tak diterbitkan dengan rancak macam orang-orang Barat buat terhadap karya-karya klasik mereka? Kalau secara amnya orang Malaysia tak berminat, macam mana nak jadikan mereka minat? (Faizah)

Kita pun ada ikon sastera begini. Kita ada Tun Sri Lanang, misalnya. Dan banyak karya-karya persuratan Melayu dalam bentuk manuskrip yang hebat-hebat. Cuma mungkin kita belum cukup berkreativiti menghidangkan semua ini dalam bentuk baru untuk menarik golongan muda. Namun usaha-usaha sebegitu makin rancak sekarang – jadi kita tunggu dan lihat sambil menyumbang dengan cara paling mudah sebagai ibu bapa, iaitu tanamkan dalam diri anak mencintai warisan budaya. Kalau mereka asyik dengan Barbie dan Ben 10, sekali sekala sodorkan kisah anbiya’ dan hikayat buat menyulam kantuk.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com