2012, tahun paling banyak berada di PBAKL

Alhamdulillah, tahun ini saya ke PBAKL tiga kali (berbanding tahun 2010 dan 2011 yang langsung tak ada rezeki).

Pada 29 April (Ahad), saya berada di PBAKL 2012 atas jemputan Perbadanan Kota Buku sebagai wakil Goodreads Malaysia (GRMY) di forum ala-ala Ted.com, dengan judul “Gerakan Bawah Tanah: Bagaimana Kami Lakukan?”.

Ditemani Haryati, salah seorang rakan dunia maya buku di Goodreads, saya berasa selesa meskipun baru kali pertama bersua dan bertukar cerita. Siapa sangka persahabatan atas nama buku sudah menjangkau masuk sejauh itu dalam hati?

Alhamdulillah, pembentangan walaupun ada sedikit kesilapan teknikal tetap juga lancar, berkat doa dan kehadiran rakan-rakan pastinya.

Hari itu selain Haryati ada Faizah, Najmuddin & isteri serta anak-anak, Norziati, Nazmi dan Nimoiz TY & isteri serta bayi. Terlihat juga kelibat Hanie Salwah dan Fadli al-Akiti. Kata Faizah, Fandy Taher juga dia nampak, sayang tak sempat pula bertegur sapa.

Selepas program, ada sesi KUMAU! cadangan Nazmi Yaakub, dengan rakan-rakan GRMY. Makan-makan, minum-minum, borak-borak.
Ada moderator/pengendali yang belum pernah pun berjumpa, walaupun sudah 4 tahun mengendalikan forum yang sama (rasa kelakar pun ada, tapi itulah hakikat!).

Hari itu saya melakar dua sejarah peribadi, selain kali pertama berucap di forum, akhirnya sampai di rumah jam 9 malam secara solo (tersangatlah ‘bonda pingitan’ bunyinya, harap jangan ada yang ter’puke’ bila membaca!)

Kali kedua pula saya cuba ke sana sekeluarga pada Hari Buruh, dengan bayi yang baru dapat kaki, dan akhirnya menyerah kalah untuk meredah lautan pencinta dan pemburu buku. Kami pulang hanya setelah dua kali mencuba melawan ombak manusia.

Duta-duta buku yang segak dan manis pun tak mampu untuk mengendalikan arus manusia yang sebak di dalam.

Saya jadi teringat strategi Big Bad Wolf, mereka hadkan bilangan orang yang boleh masuk serentak, dan hanya selepas sejumlah pengunjung keluar, mereka benarkan kumpulan pengunjung seterusnya masuk.

Begitu lebih selesa untuk semua. Membeli dan memburu buku lebih sesuai dibuat dalam keadaan santai, kepala dan hati dingin dan tidak asak-mengasak. Tentunya lebih banyak duit akan dilaburkan 🙂

Jadi Hari Buruh itu, 1 Mei (Selasa), saya sempat beli sebuah buku dan sebuah kole saja dari gerai Fixi.

Bukanlah kerana minat sangat dengan cerpen-cerpennya (err, yang penuh istilah ranjang?), tetapi lebih kerana kedua-duanya ada potensi akan menjadi item pengumpul.

Jarang sekali (atau belum pernah?) di Malaysia antologi cerpen terbit berkembar dengan kole yang comel (lainlah Upin Ipin dan Ana Muslim yang ada merchandise masing-masing), rasanya inilah kali pertama.

Kali ketiga, 5 Mei (Khamis) adalah hari yang paling memuaskan jasmani, rohani dan akli; tak pernah pengalaman diri menghabiskan sehari suntuk di Pesta Buku dari jam 10 pagi hingga 4.30 petang di PWTC.

Lebih-lebih lagi kali ini datang dengan tugasan melakukan pemilihan buku untuk perpustakaan tempat berkhidmat.

Yang dikunjungi adalah booth-booth yang tidak menjadi buruan para pembaca umum; seperti JAKIM, IKIM, MAPIM, KeKKWa dan penerbit-penerbit akademik.

Setelah langsai tugasan hakiki, barulah ada waktu dalam 30 minit menjenguk ITBM, Galeri Ilmu, Telaga Biru dan PTS untuk mencari bingkisan buku peribadi.

Alhamdulillah, inilah hasil perburuan kali ini di PBAKL 2012 (termasuk Biblioholisme Shaharom TM Sulaiman yang tak termasuk ke dalam foto di atas). Banyak antaranya buku yang turut dibeli oleh rakan-rakan pembaca lain yang berkongsi judul belian mereka di Facebook.

Tapi ada juga yang dibeli atas dasar buat-keputusan-secepat-mungkin-sebelum-bos-ajak-ke-booth-lain-pula, macam pinang dan terus kahwin tang tang tu juga waktu berkenan di mata (hati).

Lebih separuh lagi tahun 2012 yang masih berbaki, saya haruslah jadi pelaksana azam yang lebih gagah – untuk memenuhi sasaran membaca personal. Niat tahun ini ingin menamatkan beberapa buah adikarya antarabangsa atau tempatan.

Dan ini saya kongsikan slaid pembentangan pada hari Ahad lepas, telah saya muat naik di Slideshare.net, kerana mungkin ada gunanya nanti kepada sesiapa, terutamanya yang ingin mengetahui sejarah GRMY:

Goodreads Malaysia & BukuRia

Apapun, mudah-mudahan segala-galanya direstui Tuhan!

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

8 Responses

  1. peesha says:

    Ralat apabila tak dpt nk hadiri forum2 best di PBAKL tu. Hanya sempat hari pertama – pn. Nisah + prof zainon ismail.

    Yg najibah punya pun, pendam rasa dlm hati saja.. Esok khabarnya Dr. FT.. Lagi sakit hati mengenangkannya… Urghhhh!

    Yet to study your slide 😛

    Tahniah… Atas semua yg ‘bersejarah’ itu!

    • Najibah says:

      Nasib kita lebih kurang sama saja Peesha, tak dapat nak hadir sesi-sesi yang mengkayakan ilmu tu.

      Itu kira Peesha sempat juga merasa satu, Puan Nisah pulak tu. Dapat tandatangan untuk Kembara Sastera ke?

      Dr. FT pun dengarnya panas juga forum. Rugi… rugi….

      Terima kasih atas ucapan tahniah tu, saya dah tua ni baru pecahkan tradisi diri sendiri – sangat malu dengan orang yang lebih muda.

  2. Puan, saya nampak puan di PWTC! Tapi sangat2 lah malu nak tegur;) Huhu…

    • Najibah says:

      La, ye ke? Kenapa tak tegur. Lain kali tegurlah. Nak sangat kenal orang-orang media dan orang penerbitan, sebab semuanya orang-orang buku 🙂

      Nampak waktu bila ya, masa saya dengan supplier dan bos tu ke? Juma di booth Karamah Media agaknya?

  3. peesha says:

    They say, better late than never.. 🙂

    Wonder apa yg hangat dgn forum Dr FT tu… Ada sesiapa yg bercerita pasal benda ni?

    Alhamdulillah… Sempat dpt tandatangan dan bergambar dgn Pn. Nisah..

  4. Najibah says:

    @Peesha,

    Saya tengok status siapa di FB, rasanya En Rozlan Mohamed Noor beri komen, ada polis juga turut serta mendengar.

  5. Entah bila saya dapat kembali ke PBAKL, mungkin 3 tahun lagi. Tahniah kak, GRMY sudah jadi gerakan massa 🙂

    • Najibah says:

      Sementara di rantau, boleh manfaatkan kemeriahan dunia buku di tempat orang dulu :).

      Alhamdulillah, berkat sokongan semua. Gerakan tak akan menjadi massa tanpa setiap individunya yang ‘hidup’ dan dinamik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com