Plat buku Max Weisweiler

Weisweiler's book plate

Plat buku Weisweiler mengungkap serangkap puisi Arab

Profesor Max Weisweiler merupakan seorang orientalis masyhur, pengkaji, pengarang dan penterjemah sejumlah buku-buku hebat dalam kebudayaan Islam, antaranya Arabische Märchen (Arab Tales), Märchen des Orients (Tales of the Orient), Verzeichnis der Arabischen Handschriften (Directory of Arabic Manuscripts), Von Kalifen (Of Caliphs) serta Halsband der Taube (Tawq al-Hamama atau The Dove’s Necklace oleh Ibn Hazm).

Menelusuri sejarah hidupnya, beliau juga pernah berkhidmat sebagai seorang pustakawan di Staatsbibliothek zu Berlin, atau Perpustakaan Berlin. Ketika Perang Dunia Kedua berlangsung, tindakan beliau mengirim koleksi manuskrip Timur menghala ke kawasan barat telah berhasil menyelamatkan koleksi itu, walaupun terpaksa menafikan arahan yang meminta beliau menghantarnya ke Silesia yang terletak arah ke timur.

Merenung kembali hasil-hasil karyanya, tidaklah menghairankan jika seorang malim sarjana seperti beliau memiliki koleksi peribadi yang mengkagumkan. Buku-buku beliau kini telah menjadi salah satu koleksi khas di Perpustakaan ISTAC yang terletak di Persiaran Duta. Terdapat banyak kitab-kitab ulung dalam bahasa Arab menjadi rujukannya, termasuk Alf Laila wa Laila (dalam 4 jilid), Mu’jam al-Buldan oleh Yaqut (2 jilid), Raudat al-Muhibbin oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah, al-Durar al-Kaminah oleh Ibn Hajar dan banyak lagi.

Pada sebelah dalam kulit buku – atau juga dikenali sebagai pastedown dalam istilah perbukuan dan penjilidan – beliau melekatkan plat buku (book plate) yang unik dan ditempah khas. Pada plat buku itu tertera serangkap puisi Arab yang mengangkat ketinggian buku:

puisi di plat buku weisweiler

Begitulah kecintaan seorang orientalis malim sarjana Barat terhadap bahasa Arab, sehingga plat bukunya pun mengungkapkan sebuah puisi Arab. Adakah anda juga peminat buku yang suka melekatkan plat buku? Apa plat buku yang sedang anda gunakan, dan plat buku bagaimanakah menjadi impian anda?

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

6 Responses

  1. ted mahsun says:

    Phew. That leaves me breathless.

    Saya cuma boleh mimpi saja untuk memiliki plat buku seumpama ini. Menulis dalam buku “Ex Libris Ted” sudah memadai.

    Tapi kalau saya kaya…

    • Najibah says:

      Ted,

      Saya rasa orang-orang dahulu mempunyai cara unik menghargai buku-buku mereka. Saya malah tak pernah terfikir untuk memiliki plat buku sendiri walaupun mengaku pencinta buku dan sejarahnya.

  2. ghost writer says:

    Secara kebetulan aku menemui situs ini. Gara2 begitu rajin membuka ‘Kritikus Sastera’ aku akhirnya berada di sini.

    Kita seharusnya melihat Max Weisweiler sebagai orang yang mampu membawa kita lebih mencintai bahasa dan sastera negara kita sendiri.

    • Najibah says:

      Terima kasih menyinggah ke sini.

      Ya, pengkaji2 seperti Weisweiler ini patut jadi pembangkit semangat kita untuk lebih mengkaji.

  3. Peesha says:

    salam.
    Najibah, apa tu plat buku?

  4. Najibah says:

    Peesha, kalau berdasar apa yang saya lihat pada buku-buku di koleksi ISTAC, plat buku ni adalah dalam bentuk stiker yang dilekatkan pada sebelah dalam kulit buku, untuk menunjukkan siapa pemilik buku itu, atau dalam frasa yang lebih tepat, buku-buku itu dari perpustakaan atau koleksi peribadi siapa.

    Dari sudut sejarah, mungkin boleh dirujuk lebih lanjut di Wikipedia. Secara ringkasnya, biasanya plat buku ini ditempah khas dengan artis-artis yang melibatkan diri dalam pembuatannya, salah seorang yang terkenal adalah Albrecht Durer.

    Pada zaman dulu, plat buku ini mungkin bukan dalam bentuk stiker, tetapi dalam bentuk ‘woodcut’, atau ukiran pada enamel, serta lain-lain. Bentuk yang lebih moden sekarang memakai rubber stamp.

    Keistimewaannya adalah dari segi kedudukannya sebagai artifak seni, yang turut memberi gambaran lebih mendalam mengenai pemilik buku – selalunya yang mampu menempah plat buku istimewa hanyalah orang-orang kaya dan terkenal, misalnya antaranya salah seorang permaisuri England dan presiden Amerika George Washington.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com