Apa yang dibaca bekas sang hakim?

ISTAC_fountain

Institut majestik di Taman Duta (ihsan blog Aynarazaly)

Hari-hari saya di Gombak semakin singkat. 1 Februari nanti saya akan jadi orang Taman Duta. Institut yang bertenggek di pinggir bukit sana seperti sedang memanggil-manggil. Sesekali berasa tak sabar menjadi sebahagian daripada institut itu, yang telah menerima sentuhan seorang ilmuan besar dari sebesar-besar lakaran bangunan sehingga sekecil-kecil ukiran di tempat melabuh duduk.

Namun ada kewajipan yang perlu dipenuhi dalam proses transisi, iaitu pemindahan tugas kepada pengganti. Jadi baru-baru ini saya menyinggah ke pejabat teman yang bakal menggantikan tempat saya, di bahagian urusan pengendalian hadiah, Gift and Exchange.

Ketika duduk menunggu beliau menyudahkan urusannya dengan seorang penderma dari Sudan, saya sempat ‘mengorek’ buku dalam sebuah kotak. Tak sangka banyak sekali buku bacaan santai yang kena dengan selera saya. Mulanya saya temui Dan Brown: Angels and Demons (2 naskhah) dan beberapa judul lagi.

Lebih jauh saya menggali, saya temui buku-buku travelog dan kisah kewartawanan. Saya temui juga buku mitologi, dan buku sejarah. Kebanyakannya dari MPH dan Kinokuniya. Tetapi ada juga yang dibeli ketika kembara, misalnya di Bandung dan di Bangkok.

Ketika membelek ke halaman tajuk (title page), saya temui cop nama pemiliknya, tetapi pengetahuan cetek saya hanya mampu mengaitkan beliau dengan bekas Rektor UIA, Prof. Syed Arabi Idid.

Tiba-tiba teman sekerja bersuara, memberi cahaya baru kepada kedangkalan ilmu diri.

Dato' Syed Ahmad, bekas hakim negara

Dato’ Syed Ahmad, bekas hakim negara (ihsan Wikipedia)

“Itu buku Dato’ Syed Ahmad Idid, bekas hakim negara yang Mahathir pecat dulu, sebab dedah isu rasuah di mahkamah kehakiman. Dia memang selalu derma buku untuk library kita.”

Sungguh, kembang dada saya sebentar, berpeluang memegang bahan-bahan bacaan yang pernah menggauli minda seorang bekas hakim negara, yang sanggup pula melepaskan jawatan demi kebersihan jentera demokrasi nasional.

Semakin laju tangan saya meneroka buku-buku lain miliknya sehingga ke dasar kotak, lalu akhirnya meninggalkan meja si teman dengan rasa bertuah dan teruja.

Saya siap menggendong ke partition saya (dengan niat meminjam) beberapa buah sebelum buku-buku itu diproses (dan sebelum saya habis menjalani dua minggu terakhir di kampus Gombak tercinta).

 

365hagakuremythology

 

 

 

 

 

 

Antara judul-judul yang saya gendong pergi adalah The Little Big Book of Classical Mythology, Hagakure: Book of the Samurai, 365 Great Stories from History for Everyday of the Year, dan Wartawan? Hehehe….

Dua buah antaranya dibeli di Bangkok dan Bandung – ada catatan tangan dengan pen yang saya percaya dibuat oleh Dato’ Syed Ahmad Idid sendiri. Di dalamnya juga terdapat efemera (ephemera) yang menjadikan sejarah buku, pemilik asal dan pembaca seterusnya berasa lebih akrab dan dekat.

Buku-buku yang ‘dipusakai’ begini, sentiasa membuat saya berasa ‘mereka’ memiliki roh yang tidak dimiliki oleh buku-buku lain yang dipesan terus dari pembekal, atau dibeli secara seleksi oleh wakil-wakil perpustakaan atau staf perpustakaan. ‘Mereka’ berada dalam kelas tersendiri, boleh tersenyum megah dari rak-rak, kerana pernah dimiliki oleh tokoh-tokoh besar.

Ini membuat saya lebih tidak sabar untuk ke Taman Duta, kerana di sana nanti lebih banyak koleksi khusus yang didermakan mahupun diperolehi oleh perpustakaan sedang menunggu, termasuk manuskrip dan artifak yang nadir dan tunggal. Antara yang tidak sabar untuk saya kenali, adalah koleksi seorang sarjana seni bina Islam yang begitu ulung sekali, sehingga tidak ada duanya di seluruh dunia. Saya belum mengenalinya, tetapi saya akan. Dan saya tahu, pasti jatuh hati!

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

6 Responses

  1. nida says:

    Bagus….

  2. Sungguh bertuah empunya badan!

    Adakah Dato’ Syed ada menulis bukunya sendiri?

    • Najibah says:

      Sejauh ini saya belum tahu mengenai buku-buku beliau. Mungkin ada, kalau ada mohon dipanjangkan maklumat ke sini juga.

  3. fadhilah says:

    kak najibah,
    cemburunya sy dgr akak nk ke istac.. nnt blh sy minta tlg carikan bahan tentang uthmaniyyah ya 🙂

    • Najibah says:

      Dilah, boleh saja, InsyaAllah 🙂 (segala request akan dilayan, asalkan tidak minta menyeludup buku, manuskrip & artifak keluar)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com