Waktu terlupakan yang buku-buku…

Tiga minggu lalu, saya mengetik mesej ke Twitter, terus menghala ke Facebook juga:

Saya yang memohon kepada suami supaya membawakan Tiga Kali Seminggu dari rumah pada hari ketiga menjadi pertapa menjaga bayi 7 bulan saya di wad. Buku itu sahaja yang saya ingat benar, berada paling atas dalam sesusunan buku yang berada di tepi dinding bilik ‘pustaka’.

Sengaja meminta beliau mengambil yang paling senang dicari, walaupun ketika itu sedang membaca SMS, pemenang tempat ketiga HSKU 2010. Ini kerana saya sudah lupa di mana paling akhir saya letakkan SMS dan tak mahu menyusahkannya tercari-cari (walaupun SMS itu buku yang asyik, apatah lagi bagi sesiapa yang mahu berjinak dengan karya-karya Naquib al-Attas; siapa sangka ada seorang lelaki bernama Teja sangat rajin mengkaji mengenainya dan menulis seputar tokoh hebat itu!). Suami saya tidak punya kesabaran sebanyak isterinya si pustakawan mengenai hal buku-buku, jadi lebih selamat untuk tidak meminta beliau membawa sebuah buku yang tak pasti lokasinya.

SMS oleh Muhammad Teja

Saya sempat membaca dua tiga buah cerpen di dalamnya, yang mudah-mudah di permulaan. Tetapi pada hari ke 5 dan ke 6, kesihatan bayi saya kian menurun, akibat dehidrasi dan juga infeksi sampingan dalam sistem penghadaman. Lalu saya mula lihat buku itu sebelah mata; ia terdampar di mana-mana, kadangkala di sofa, kadangkala di kot bayi, kadangkala di atas laci, kadangkala di atas katil kedua tempat suami saya tidur menunggu bayi kami sembuh.

Sekitar sehari dua apabila kitaran serangan virus itu kian mereda, saya kembali giat mencari Tiga Kali Seminggu antara timbunan akhbar dan beberapa barangan peribadi lain. Anehnya sudah tak ada. Terpaksalah berserah sahaja, sehingga saya dapat pulang semula setelah 12 hari bertapa di wad tingkat empat dan mencari sendiri buku itu di rumah.

Untuk sementara itu, saya hanya dapat membaca akhbar sahaja, sambil mengajak si bayi kecil itu menikmati buku pertamanya, buku kain bertajuk Teddie and Friends, hadiah dari emak sepupunya tersayang, Cik A. Meskipun masih penat, beroksigen dan fontanelnya masih lekuk oleh dehidrasi, semangatnya cukup tinggi (mudah-mudahan dia menjadi al-mu’min al-qawiyy)

anas dan buku kain

puas hati lepas menggomol buku

Manakala Tiga Kali Seminggu, apa yang saya syak rupa-rupanya benar; emak dan adik ipar yang datang dari kampung sebagai ‘pasukan bantuan’ menjaga si kakak terbawa pulang buku itu antara majalah Barbie, Ben 10 dan Asuh fatimah. Alhamdulillah, buku itu tidak hilang lesap begitu sahaja. Saya temuinya antara timbunan buku-buku Fatimah di rumah, sabar menanti saya pulang menyambung baca (walaupun entah bila, kerana harus menumpu pada pemulihan si kecil saya).

Beginilah waktu-waktu yang silih berganti, memaksa saya kadang-kadang menjarakkan diri dari buku dan baca, antaranya sewaktu si bayi ini tidak larat membuka mata selama sehari setengah.

Namun, hari bayi saya pulang itu juga membawa berita gembira bagi kami sekeluarga, kerana tak lama lagi buku-buku saya akan mempunyai rumah kekal. Bumbung tempat mastautin kami alhamdulillah sudah selesai pembinaannya dan penyerahan kuncinya adalah Khamis 1 Disember itu. Sebelah pagi suami pergi mengambil kunci dan petangnya bayi kami dibenarkan pulang. Syukur setinggi-tingginya, kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan:

dalam setiap kesulitan ada kesenanganBuat masa ini buku-buku yang dulu bersabar di tepian dinding, sudah masuk ke dalam kotak dan plastik untuk diangkut ke tempat tinggal barunya.

buku sekotak

buku dalam beg plastik

(Opps! Maaf kepada para pencinta hijau; saya belum cukup hijau kerana perpindahan nanti masih melibatkan banyak beg-beg plastik :P).

Walaupun cukup teruja dengan penghijrahan status kami sebagai perantau kepada pemastautin tidak lama lagi, saya belum betul-betul sedar bahawa ada satu lagi yang berkait buku-buku telah saya lepaskan selama-lamanya bagi 2011 (peluang baru hanya akan muncul 2012 tahun depan, itupun kalau umur panjang).

Ia adalah tekad saya, kalau sempat, untuk cuba juga menghantar abstrak untuk suatu pertemuan para pengkaji sejarah buku sebelum 30 November 2011. Setelah masuk bekerja semula pada 5 Disember 2011, baharulah hati saya benar-benar sedih selepas membaca emel daripada Jason McElligott yang berbunyi, Please do submit a proposal, menjawab beberapa persoalan yang saya lontarkan Oktober lepas.

Hal yang buku-buku, banyak membuat hati ria, tetapi adakalanya membuat hati jadi sebu. Iaitu pada waktu yang memaksa kita melupakan yang buku-buku.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com