Memburu yang haram?

sebongkah batu di kuala berang

Yang telah diharamkan

Tahun depan, Konferens SHARP “Battle for Books” bakal berbincang antara lain mengenai penapisan atau censorship (call for papers mereka baru saja lepas :().
Penapisan adalah satu topik yang selalu hangat dan kontroversi, terutama di Malaysia yang boleh ‘berbangga’ dengan sejumlah undang-undang yang mengehadkan kebolehterbitan, secara langsung atau tidak langsung. Antara cengkaman ke atas penerbitan berpunca daripada pelbagai akta berikut:
  1. Akta Cetak dan Mesin Cetak 1984 (warisan daripada zaman darurat di bawah British);
  2. Akta Hasutan 1948;
  3. Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960;
  4. Akta Fitnah 1957; dan
  5. Kanun Keseksaan 1997 (yang bersangkutan jenayah fitnah)

Semua undang-undang di atas memberi kesan yang bukan calang-calang ke atas keupayaan pengarang, penerbit, dan pencetak. Namun jangan pula dilupakan impak terhadap golongan pembaca.

Hidangan untuk pembaca akan sentiasa yang tidak mencabar mindanya. Pembaca berasa berada dalam zon selamat sepanjang masa. Fikirannya akan cenderung berfikir sepihak, malah mungkin tidak berupaya lagi menimbang pendapat-pendapat yang tidak dipersetujuinya. Ketika itu golongan bergelar orang terpelajar mungkin akan pupus. Bukankah ada si filsuf Aristotle meninggalkan hikmah:

It is the mark of an educated mind to be able to entertain a thought without accepting it.

Daripada penapisan paksa oleh undang-undang, budaya tapisan kendiri (self-censorship) boleh membarah dalam masyarakat. Inilah situasi penyesuaian (conditioning) yang wajar dielakkan, kerana waktu itu kita tidak mampu bertanya lagi mengenai kehidupan kita ‘di dalam kotak’, apatah lagi untuk berfikir di luar kotak.

Walau bagaimanapun dari segi penggunaan istilah, censorship atau penapisan bukanlah sesuatu yang baru muncul. Aktiviti penapisan pertama boleh ditelusuri sejauh zaman Rom, dengan penubuhan satu jawatan khusus (censor) di bawah pejabat majistret. Fungsi penapisan (census) pada waktu itu bagaimanapun menjurus kepada kerja banci atau statistikal, di samping mengawasi moral para penduduk. Ini berlaku 443 tahun sebelum kalendar Kristian, menurut Palgrave Macmillan Dictionary of Political Thought.

Encyclopedia of International Media and Communications pula menganggap konsep penapisan berakar umbi dalam agama dan sejarah kemanusiaan itu sendiri. Dalam Al-Qur’an misalnya, manusia diajar untuk memohon kepada Allah supaya dikekalkan atas jalan yang lurus. Bererti satu sistem diperlukan untuk menapis segala yang tidak lurus. Al-Qur’an juga menyuruh kita supaya tidak “melampaui batas dalam perkara agama” dan tidak “mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar” (Surah An-Nisa’ 4: 171). Ini memberi kuasa kepada penguatkuasa agama untuk menapis hal-hal yang melampaui batas dalam perkara agama dan tidak benar mengenai Allah.

Melalui kisah penciptaan manusia di dalam Perjanjian Lama pula, manusia telah dilemparkan ke dunia sebagai hukuman, kerana gagal mematuhi larangan Tuhan untuk tidak memakan buah daripada pohon terlarang. Oleh sebab melanggar ‘penapisan’ yang telah digariskan sebagai peraturan di Taman Syurga, manusia menerima akibat hidup-mati.

Manakala ketika papyrus mula-mula menjadi bahan penulisan di Mesir 2500 BC, gabenor Mesir telah direkodkan berkata: Usah diulangi fitnah, kamu tak wajar mendengarnya, kerana ia adalah hasil kemarahan. Di China pada 1100 BC, serangkap peribahasa berbunyi: Dan lidah itulah penyebab kepada segala malapetaka.

Tidak salah rasanya jika kita membuat kesimpulan daripada contoh-contoh di atas, bahawa penapisan ini suatu tabi’i semulajadi, inherent dalam jiwa manusia. Yang membezakan tahap penapisan cuma sejauh mana sahaja manusia menggunakannya untuk mencapai tujuan masing-masing. Dalam situasi liberalisme yang merajai zaman kita, kegiatan penapisan kian dipandang sebagai penghalang kebebasan bersuara. Hakikatnya, tak ada kerajaan di muka bumi ini yang tidak mengamalkan penapisan. Tidak terlalu aneh, kerana barangkali ketakutan paling dasar dan halus bagi setiap pemegang kuasa adalah perubahan status quonya, apatah lagi bagi pemegang kuasa mutlak yang cenderung untuk korup.

Logis alasan paling sempurna setiap ketika tentu sekali demi kemaslahatan dan kepentingan masyarakat sivil, untuk sebuah keamanan yang didambakan semua pihak, untuk kelangsungan ekonomi, kelangsungan hidup. Namun, kita harus berani menimbang sejauh mana alasan itu benar-benar ikhlas, atau sebagai penyumbat akal rakyat. Atau yang lebih menggerunkan lagi, semata-mata sebagai satu upaya pemegang kuasa untuk kekal berkuasa demi menjarah dan merongrong hasil milik rakyat.

Lalu, ketika saat ini kita berhadapan dengan segedung undang-undang yang boleh bertindak sebagai senjata apabila keikhlasan tidak ada di kalangan penggubal dan penguatkuasanya, yang penting adalah kreativiti kita sebagai pembeli buku, seterusnya pembaca, untuk bertindak pantas membaca arus semasa.

Ketika ada buku-buku yang sedang ‘dibicarakan’ di ‘mahkamah penapisan’, ada segelintir kita yang galak memburu buku-buku itu habis-habisan sebelum tidak tersisa lagi di pasaran. Mungkin mereka merebut momen untuk menjadi sebahagian daripada sejarah, dengan memiliki edisi pertama buku-buku yang telah diharamkan – walaupun pada akhirnya kemungkinan akan sentiasa ada untuk pengharamannya ditarik balik (kerana sejarah tidak sepihak), seperti yang telah terjadi kepada The Malay Dilemma.

Jadi, apa kata anda mengenai memburu yang haram? Pernahkah anda, dan dengan teruja?

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

9 Responses

  1. r.o.l. says:

    “Jadi, apa kata anda mengenai memburu yang haram? Pernahkah anda, dan dengan teruja?”

    Ya, dan ya. 🙂

    http://rollietheodd.blogspot.com/2008/07/apa-sudah-jadi.html

    http://rollietheodd.blogspot.com/2008/12/malayan-trilogy.html

    • Najibah says:

      Buku Burgess tu macam mengujakan pulak. Boleh beli dalam talian rupanya (Book Depository, USD15.78). Dah baca Malay Sketches Swettenham?

  2. r.o.l. says:

    Saya beli di Kinokuniya. Dan sekarang sudah ada semula di sana. Tak jadi haram agaknya.

  3. r.o.l. says:

    Malay Sketches, belum baca. Terima kasih kerana memberitahu tentangnya.

  4. Kontroversi hanya memberi publisiti murahan. Lihat sahaja novel Interlok yang laku keras dek mulut lantang seorang bekas Timbalan Menteri. Hanya menambah singkat hayat politiknya sahaja.

  5. AG says:

    Dalam senarai yang dikeluarkan, salah satu daripadanya adalah novel grafik mengenai Bilal ibn Rabah. Pelukisnya kalau tak salah, Ahmad Fadhil, begitulah namanya. Terbitan Karangkraf. Saya pernah belek-belek di kedai buku, tapi tak terniat pula nak beli.

    Bila ada kontroversi begini, perasaan datang membuak-buak nak beli.

    Rasanya novel grafik tak salah, apa yang salah (di mata JAKIM mungkin) kerana tokoh yang diketengahkan itu merupakan salah seorang daripada 4 sahabat yang dipandang tinggi dalam masyarakat bermazhab Syiah. Tiga orang lainnya Abu Zhar al Ghifari, Miqdad al Aswad dan Salman al Farisi.

    Agaknyalah. Saya pun tak pasti sangat.

    • Najibah says:

      AG,

      Dah beli novel grafiknya? Apa yang kontroversi? Saya pun terasa mahu mencari komik sahabah Rasulullah s.a.w. ni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com