Venez M’aider!

Buku-buku sedang menjerit!

Mari, tolong saya! Entah itu sesuai jadi jeritan buku, atau jeritan saya.

Hampir 4 tahun lalu, sewaktu mula-mula berhijrah ke Selangor, belum bekerja dan sepenuhnya dinaung suami, saya melobi suami supaya membeli sebuah rak buku – walaupun itu bukan suatu keutamaan pada zaman sesak kami.

Oleh sebab-sebab rahsia, kami sanggup membawa pulang rak itu secara ‘beli & bawa’, dan memasangnya sendiri. Masih saya ingat, tapak tangan suami hingga melecet merah demi menyudahkannya. Saya batuk, bersin menyedut habuk kayu.

Dek kesukaran tanpa peralatan sesuai, dan barangkali kurang cermat kami, maka sejak akhir-akhir ini rak buku itu mula jadi perhatian orang – bukan sebab keutuhan atau kekemasan, melainkan kerana sudah melengkung, melinglung dan berupaya menjadi rak makan tuan. Badannya sudah tersandar terus ke dinding di belakang. Condong bak Menara Condong Pisa (tak perlulah fotonya di sini sebagai bukti).

Lalu untuk menyelamatkan diri, suami, dan dua anak (alhamdulillah, sudah dua anak, sebelum ini satu!), walaupun seorang masih belum pandai meniarap pun, maka buku-buku saya terpaksa menginap di lantai kini, seperti dalam foto di atas.

Kebetulan cuti bersalin masih berbaki, maka giatlah saya mengemas kini data buku di Goodreads, dan inilah pautan ke rak buku saya di laman sana.

Buku-buku di perpustakaan peribadi di Selangor:
Najibah's book recommendations, liked quotes, book clubs, book trivia, book lists (in-current-library shelf)

Saya dapati walaupun telah bersusun agak tinggi, tetapi jumlahnya masih lagi kecil – hanya sekitar 200 buah sahaja (saya yang tamak mahu memiliki 1000 buah buku, jadi terfikir ruang sebesar mana akan diperlukan nanti kalau 200 buah sahaja sudah mengambil ruang sebanyak ini).

Untuk sementara, saya akan bersabar dengan cara ini, walaupun hati memberontak membeli rak baru. Sabar ini, kalau umur panjang, akan berakhir manis dengan pembinaan rak dari lantai ke siling (kononnya), insyaAllah apabila mendapat kunci rumah sendiri awal tahun hadapan. Saya sudah berjaya melobi suami untuk rak itu di bilik tidur nanti, walaupun kalau boleh saya mahu rak begitu di setiap ruang rumah.

Jadi, untuk sementara, ya, sementara sahaja, saya biarkan jeritan venez m’aider itu bergema dari lidah-lidah buku kecintaan saya, dan dalam kepala juga.

*Mengenai venez m’aider, sila rujuk di sini.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

4 Responses

  1. Snuze says:

    Wah! Mungkin patut melobi untuk menjadikan buku sebagai tema rumah Puan. Yakni setiap bilik mempunyai rak dan motif2 berkenaan buku. Pasti unik rumah Puan.

    Selamat berpindah ke kediaman baru!

    • Najibah A Bakar says:

      Puan Suzainor, idea bernas tu! Tapi sayangnya, kalau saya mahu tema buku seluruh rumah, rasanya suami pula mahu tema kereta. Kena pilih tema yang sama-sama boleh terima 🙂

  2. Saya yang punya 2 rak buku saiz sederhana pun masih tidak mencukupi 🙂

  3. Najibah A Bakar says:

    Boleh tambah lagi tu, atau tukar yang lebih besar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com