The Geography of Bliss + Why Read?

THE GEOGRAPHY OF BLISS (ERIC WEINER)

Memburu bahagia ke mana-mana

Selepas memendam buku ini berkali-kali sejak Mei 2010, akhirnya saya berjaya mengkhatamnya. Walhal saya kaki travelog dan buku ini tak kurang dari segi premis dan humornya (meskipun humor gaya Amerika yang selalu bernada kutukan terhadap subjek yang dihumorkan). Entah kenapa sebelum ini buku ini berasa susah untuk difahami, kemudian dengan anehnya pula mengusik kord tertentu dalam diri dan dapat pula dinikmati selaju-lajunya, senikmat-nikmatnya.

Ketika memilih buku ini, saya bukanlah kekurangan bliss atau happiness dalam hidup, seperti subtajuk buku tersebut yang berbunyi: One Grump’s Search for the Happiest Places in the World. Saya sebetulnya terpengaruh kerana buku ini berada dalam senarai laris Amazon.com. Selain itu saya selalu terpesona dengan cerita orang Amerika – selalunya orang Amerika –  yang telah cemerlang di sudut kerjaya dan materi, tetapi akhirnya tetap memilih untuk melakukan kembara jiwa atau rohani. Seperti juga Elizabeth Gilbert yang sampai mencampak hidupnya – termasuk suami dan harta sepencarian – kerana mencari damai jiwa. Barangkali kerana kepuasan afirmatif daripada seluruh idea spiritual quest itu, saya terus-terusan memburu buku bercorak begini.

Premis utama buku ini mudah sahaja, mencari jawapan kepada persoalan kebahagiaan, dengan melawati beberapa buah negara yang rakyatnya antara paling bahagia di dunia, dan negara yang rakyatnya antara paling tidak bahagia di dunia. Negara-negara itu: Netherlands, Switzerland, Bhutan, Qatar, Iceland, Moldova, Thailand, Great Britain, India dan Amerika, telah dinilai indeks kebahagiaan masing-masing oleh World Database of Happiness, berpangkalan di Netherlands (Malaysia juga ada, cuma tidak dipilih pula).

Di negara-negara itu, pengarangnya Weiner (baca Whiner), mencerap dan menilai kehidupan dari mata rakyatnya. Apa yang mereka takrifkan dengan kebahagiaan? Kenapa mereka berasa bahagia, dan kenapa pula tidak? Jawapan yang diperolehi kadangkala tidak terjangkakan, dan membawa pandangan baru mengenai sesebuah negara dan rakyatnya yang selama ini diketahui secara permukaan.

Namun ternyata dua hal yang sering menjadi tempat jatuh yang empuk tatkala menghadapi segala cabaran dunia, adalah kekuatan rohani, dan juga keutuhan budaya. Bukan wang (kerana Amerika antara negara paling kaya di dunia, tetapi indeks kebahagiaannya rupa-rupanya lebih rendah dari Malaysia!), dan bukan pula materi (kerana orang Bhutan dan India, walaupun miskin, tetapi tidaklah berada dalam senarai paling corot orang-orang tak berkebahagiaan).

Travelog ini memang mampu membuka mata mengenai hakikat hidup sementara, dan menguatkan keberadaan agama berbanding ateisme (jika kita pilih melihatnya dari sudut itu). Jika mahu dapatkan buku ini, boleh cuba di MPH – di situlah saya membeli buku ini pada tahun lalu.

WHY READ? (MARK EDMUNDSON)

Hati melonjak hingga langit ke tujuh kerana buku ini sampai

Dan ini pula buku yang saya terima hari ini jasa berBookMooch (sekali lagi!), dipos ekspres oleh Wan Nor Haslina di Langkawi. Hati pun melayang-layang hingga ke langit lapis ke tujuh! Terima kasih Wan. Sangat menghargainya.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com