Pesta Buku Selangor 2011

Belian pada kali ini 🙂

Alhamdulillah, makbul juga impian saya mahu ke Pesta Buku Selangor 2011 di Pusat Konvensyen Shah Alam petang Sabtu yang baru lalu. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, saya memang seperti antara sedar dan tidak. Inilah kemaruknya apabila PBAKL tahun ini tak dapat saya hadiri kerana sedang berpantang di kampung.

Walaupun gerai-gerai buku tak sebanyak di PBAKL, saya puas hati kerana buku-buku yang diingini, sudah berada dalam pelukan.

Mula-mula sampai, saya terus ke gerai PTS untuk membeli buku Misteri Firaun: Musuh Para Nabi yang sedang dikupas di Ganding Baca, Goodreads Malaysia. Inilah misi utama, kerana saya tidak suka membeli dalam talian di Bookcafe, kerana kurang pilihan cara membayar.

Karakter kartun yang mencuit hati orang Melayu

Selepas ke gerai PTS, masanya untuk memuaskan hati anak pula. Kami terpaksa (terutamanya saya, berasa cukup-cukup terpaksa) keluar menunggu kemunculan Upin & Ipin di pentas. Ini mengambil masa hampir sejam kerana anak berasak-asak dengan orang ramai semata-mata mahu bersalaman dengan maskot ini.

Kemudian dia tahu pula mengomel, “Ummi, kenapa tangan Ipin kotor?” Terpana saya sekejap dengan pemerhatiannya. “Ipin tak mandi kot? Atau tak basuh tangan,” begitu saya jawab. Saya jadi terbayang iklan sabun anti-bakteria yang banyak ditayang di TV.

Selepas berjaya menarik keluar anak dengan alasan-alasan munasabah daripada aktiviti Upin & Ipin, suami mula ajak pulang kerana anak yang sedang dalam kantung gendongannya sudah tertidur nyenyak. Dalam hati saya Alhamdulillah anak tidur, tiba-tiba belahan jiwa ajak pulang pula. Aduhai!

Agaknya melihat perubahan air muka saya, dia pun beri masa tambahan setengah jam lagi. Dalam setengah jam itulah, saya singgah di gerai Kohwai & Young dan Ana Muslim membeli buku puteri sulung, jenguk gerai Fixi untuk tinjau buku-buku mereka yang dikatakan urban dan pulp (di situ terlihat buku Saharil Hasril Sanin terbaru yang diceritakan Kakak minggu lepas, Tentang dan Kentang), kemudian ke gerai GB Gerak Budaya memborong empat buah buku Pramoedya dan sebuah mengenai Pramoedya, iaitu Arok Dedes, Sekali Peristiwa di Banten Selatan, Cerita Calon Arang, Gulat di Jakarta serta Saya Ingin Lihat Semua Ini Berakhir (sejak kahwin 6 tahun dulu, baru inilah saya membeli buku-buku Pram lagi *terharu*, padahal pernah mahu buat koleksinya sampai lengkap), dan sempat singgah di gerai Jundi Resources lalu sambar Menuju Pas Baru (lebih sebagai hadiah untuk suami yang minat politik).

Kemudian saya pegang tangan puteri sulung yang merengek-rengek mahu belon, tanpa belas ihsan lagi dengan impiannya itu. Sampai di tempat suami, si kecil dua bulan setengah itu sudah bangun, dan rupanya sangat gembira. Sementara suami dan si sulung mencari sedikit alas perut, bayi saya masih sempat mengacah-acah ibunya dengan senyuman. Subhanallah, anak ini sangat memahami rupanya, kegilaan si ibu dan kerinduannya terhadap buku.

*  *  *  *  *  *  *

Namun malam tadi, dia mendera saya dengan tidur lambat pada pukul hampir dua belas. Tak dapatlah saya membaca, tetapi hati tersangat senang juga, kerana koleksi saya sudah bertambah.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

6 Responses

  1. Nana says:

    Susahnya para ibu yang anaknya kecil, hendak ke pesta buku ya? Ada orang yang tidak berhalangan pun, tidak semestinya berhajat ke pesta buku. Agaknya inilah yang dikatakan pepatah Melayu, nak seribu daya.

    Saya pun jenguk ke GB, tapi buku yang saya cari tiada, ternampak pula buku Pram yang saya belum ada. Niat di hati nak beli, tapi teringatkan buku Cerita Dari Blora yang belum disudahi tu (dah setengah membacanya, terhenti dek terpukau dengan buku lain pula), saya mematahkan hasrat.

    Saya semakin kurang dan jarang membeli buku PTS. Mungkin kerana sering terpancit kebosanan (meminjam frasa SaifulIslam) dek kesalahan ejaan yang berterabur di dalam buku-bukunya.

    • Najibah says:

      Petang saya berkunjung tu, ramai sekali yang datang dengan anak-anak (mungkin pengaruh Upin Ipin juga). Ada anak yang dipikul ibu sambil menangis, tak kurang yang menyorong kereta sorong bayi ke sana-sini. Saya tak rasa keseorangan sebagai ibu 🙂

      Saya pun sekarang cuba menahan diri dari melompat-lompat genre dan buku, entah sampai bila dapat bertahan. Sejak semalam sangat ingin membaca mengenai satu tokoh ini, tapi mahu tamatkan Aku, Buku & Cinta dulu.

      Rasanya Nana tak perlu risau, sebab buku Pak Pram sudah dikendalikan syarikat penerbitan yang baik, dan rasanya akan selalu ada dalam pasaran. Lagipun ada Fajar Ilmu Baru, yang selalu bawa masuk buku2nya.

  2. Norkhairul Nizam M. Sadon says:

    Terima Kasih Daun Keladi kepada Puan sekeluarga yang sudi hadir ke PESTA BUKU SELANGOR 2011 di SACC Shah Alam. Saya wakil dari pihak Penganjur PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM SELANGOR mengalu-alukan sebarang komen, cadangan dan idea bagi menambahbaik pesta buku ini di tahun akan datang. Puan juga dijemput ke Bangunan perpustakaan baru kami di KGSAAS seksyen 13, Shah Alam yang akan dibuka 15hb Julai 2011………..Insya Allah. Terima kasih kembali..

  3. Najibah says:

    Terima kasih juga kepada pihak penganjur PPAS yang nampak begitu giat menyambut orang ramai tempoh hari dengan penanda buku dan lain-lain. Harap tahun depan lebih ramai lagi penerbit yang akan turut serta, termasuk penerbit-penerbit buku berbahasa Inggeris mahupun luar negara (tak mustahil kalau statistik pengunjung sentiasa meningkat).

    Sudah semestinya akan ke bangunan baru nanti, anak saya tak putus-putus mengajak ke perpustakaan. Terima kasih atas jemputan khusus di blog ini.

  4. Norziati says:

    Samalah macam saya kak. Bila dah beli buku tu, malamnya akan duduk depan rak tulis nama dan tarikh pada buku sambil hati berbunga riang. Bila hati runsing dan kepenatan, lihat buku yang tersusun dah macam terapi yang menenangkan. Belek-belek, pegang-pegang, usik-usik. Baca tu lain cerita 🙂

    • Najibah says:

      Itulah, dapat lihat susunan koleksi tu sendiri dah menjadi satu terapi, kalau fikiran tengah bersimpang-siur, ambil satu buku dan baca sehelai dua, sudah jadi lebih tenang 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com