Ingin mengenal Tagore

Seingat saya kali pertama nama Tagore (1861-1941) meniti di mata waktu membaca, adalah ketika menatap buku Diary of a Diplomat tulisan Afzal Iqbal kira-kira 10 tahun dulu. Cerita Afzal dalam bukunya, Tagore akan membuka kasut apabila ingin berada di atas rumput (dalam khayalan zaman gadis dahulu, saya mahu dapat lelaki secinta itu kepada alam; lelaki begitu membuat hati saya menjadi jeli, 🙂 ).

Kemudian ketika meneroka buku-buku lain, melompat ghairah nama Gitanjali yang masyhur. Sejak itu saya tertanya-tanya siapakah tokoh ini, yang namanya mekar di setiap penjuru bahan bercetak. Waktu itu saya belum tahu beliau adalah lelaki Asia pertama yang memenangi Nobel Kesusasteraan; seorang dramatis, pemuisi, pengarang, pemuzik, pelukis, nasionalis, filsuf (dan kalau boleh saya tambah, spiritualis?).

Pada tahun 2009, semasa bertugas di arkib UKM, mata saya tersandung sebuah buku di rak arkib, dengan susuk lelaki berjubah dan wajah redup berjanggut. Nama Rabindranath Tagore tertera padanya. Ketika itu barulah saya tahu sejauh mana sosok lelaki ini dan kehebatannya. Biografi oleh Krishna Dutta dan Andrew Robinson, Rabindranath Tagore: The Myriad-Minded Man itu memberi sorotan kepada kehidupan Tagore dari zaman kanak-kanak. Ada sekali foto-foto hitam putih untuk dinikmati. Buku itu boleh tahan tebal dan saya tak sempat membacanya kerana buku-buku arkib tak boleh dipinjam keluar.

Oleh sebab Tagore bukanlah berada dalam topik utama telaahan saya, beliau perlahan-lahan tenggelam sahaja dari ingatan. Sehinggalah 28 Jun lalu, setelah ruang Sastera Berita Harian menyentuh kisahnya sempena ulang tahun ke-150 beliau, saya kesasar semula mencari sesuatu mengenainya di perpustakaan tempat bertugas, juga di Youtube.

Barangkali, saya tidak patut lagi mengundur diri daripada mengenali Tagore lebih dekat. Dengarlah betapa manisnya irama Rabindra Sangeet yang telah diasaskan oleh beliau. Beliau disifatkan pembaharu kepada kesenian muzik India umumnya, dan Benggali khususnya. Walaupun kebanyakan lirik yang disandarkan kepada iramanya menjurus cinta asmara, tetapi yang paling menggamit bagi saya adalah yang menceritakan tautan hati manusia dengan alam (bukankah alam itu sebuah ‘buku’ agung yang menunjukkan kebesaran Allah?)

Setelah saya intai buku-buku karangannya dan mengenainya di OPAC (katalog bahan perpustakaan dalam talian), rupanya biografi oleh Krishna Dutta yang jadi impian saya itu ada, begitu juga beberapa buah buku lagi seperti Selected Letters of Tagore, novelnya Home and The World, dan kumpulan-kumpulan puisi.

Meskipun tahun ini saya ingin menumpukan bacaan terhadap buku-buku mengenai buku, tetapi membaca sebuah biografi dan epistolari mungkin tidak lari terlalu jauh daripada kategori buku yang saya jadikan koleksi (nic buku yang saya kumpul adalah buku mengenai buku, biografi/memoir, travelog dan epistolari).

Selepas menamatkan Aku, Buku dan Cinta serta Guernsey Literary and Potato Peel Pie Society, saya tidak sabar mahu berlingkar di sofa, mengenal Tagore lebih dekat.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com