Demam buku & Murder Most Foul

DEMAM BUKU

Itulah penyakit saya sekarang.

Dalam minggu ini, saya khatam Eat, Pray, Love (Elizabeth Gilbert), Surat dari Layola (Tajuddin Haji Abdul Rahman), Interlok (Abdullah Husain) dan Murder Most Foul (Radin Fernando).

Bak kata rakan penulis dalam SMS tak lama dulu, “Balas dendam!”

Walaupun sesetengah buku telah mula dibaca sebelum bersalin, tetapi kejadian menghabiskan sebuah demi sebuah buku memang memberi tenaga dalaman yang tinggi; menghilangkan sebahagian besar penat menjaga bayi dan membunuh kebosanan mengerjakan rutin. Nikmat yang sangat disyukuri, sementara sibuk-sibuk kerjaya tiba lagi (tinggal kira-kira 25 hari sahaja).

Setiap kesempatan menyusukan bayi, membuainya di dalam carrier/rocker dan mengepam susu stok, saya capai buku dan tenggelam ke dalam watak dan zaman yang berbeza. Terlalu indahnya!

MURDER MOST FOUL

Sejarah dari ‘mata’ rakyat

Buku-buku Malaysian Branch of Royal Asiatic Society sudah lama jadi impian, tetapi Murder Most Foul: A Panorama of Social Life in Melaka from the 1780s to the 1820s adalah antara tiga buah pertama milik saya, selain Reprint 29 Hikayat Abdullah dan Monograph 9 Babad Dipanagara.

Gamitan apa yang ada padanya? Paling utama, saya mahu menikmati sejarah daripada kisah-kisah orang bawahan, orang kebanyakan dan golongan terpinggir dalam sejarah Melaka, seperti pedagang, peniaga kecil, petani, malah hamba.

Buku ini dapat menyajikannya, kerana disusun oleh Radin Fernando, seorang penyelidik di Nanyang Technological University, Singapura daripada kes undang-undang yang berlaku pada zaman Belanda dan sejurus Melaka dalam transisi untuk diserahkan kepada British.

Kes undang-undang tentu sekali tidak memilih, sama ada mereka orang bangsawan, pendekar ataupun tidak. Lagipun pada zaman penjajahan itu, golongan tersebut kebanyakannya telah meninggalkan Melaka bersama-sama perpindahan Kesultanan Melayu bertapak di petempatan baru.

Teringat saya pada zaman belajar undang-undang dulu, kalau pelajar lain seronok menyimpulkan prinsip undang-undang common law daripada case law yang dibaca, saya pula lebih suka mengikuti kisah-kisah manusiawi yang terkandung di dalamnya.

Ini kerana apabila sesuatu kes dibentang di mahkamah, segala rahsia di sebalik kejadian akan dikorek sehabisnya untuk membolehkan hakim menjatuhkan hukuman yang paling adil dan saksama. Saat itu segala rentet peristiwa, kedurjanaan atau kepujian jiwa manusia, penderitaan mangsa dan kepuasan penjenayah, terpamer tanpa dapat disembunyikan lagi.

Begitu juga buku Murder Most Foul ini apabila disorot daripada kes perundangan zaman Belanda itu. Terdapat pelbagai kisah manusiawi yang meruntun rasa dan pemikiran untuk direnung.

Umpamanya kisah seorang kanak-kanak telah dibunuh oleh ibu kepada temannya yang juga rakan keluarganya, kerana dorongan nafsu ingin memiliki emas yang dipakai kanak-kanak itu. Dengan bantuan beberapa orang hamba, kanak-kanak itu dipukul kepalanya dengan kayu dan dikebumikan senyap-senyap. Kepercayaan sesama manusia lebur begitu sahaja.

Kita juga dapat meneroka secebis kepahitan dunia perhambaan yang sangat berleluasa di Melaka pada zaman itu. Dikatakan, daripada 120,000 populasi Melaka, kira-kira 5000 hingga 6000 orang adalah golongan hamba. Hamba-hamba yang terlibat dalam jenayah ini, seringkali muda, didorongi kehendak asas manusiawi untuk bebas merdeka, lalu terdesak dan melakukan pembunuhan.

Kisah cinta dan kecurangan golongan bawahan juga mewarnai kehidupan zaman itu, mengesahkan bahawa pada zaman apapun, kejahatan dan kebejatan tetap sebahagian daripada diri manusia – meskipun pada zaman yang boleh ditanggap suci, tenang dan tidak dipengaruhi oleh anasir luar.

Kisah-kisah ini tidak akan diperolehi daripada hikayat-hikayat tinggalan nenek-moyang, yang banyak bertumpu kepada kisah bangsawan dan pendekar (meskipun saya tidak banyak membaca hikayat selain Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Abdullah).

Selepas buku ini, saya pasti akan mencari buku-buku MBRAS yang lain sebagai koleksi, terutama setelah tahu kedai buku pengedarnya, iaitu Read Resources Sdn. Bhd. Sebetulnya buku Murder Most Foul ini juga hadiah daripada syarikat tersebut tidak lama dahulu.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

4 Responses

  1. Norziati says:

    Terima kasih memperkenalkan saya dengan laman web syarikat ini. Sejarah memang minat saya dan nampaknya ada beberapa buku yang masuk senarai beli 🙂

  2. Najibah A Bakar says:

    Kita ada minat sama nampaknya 🙂 dan memang patut membeli dari sana, pemiliknya seorang budiman yang juga peminat sejarah, turut melibatkan diri dalam perniagaan buku-buku nadir terpakai terutama koleksi Malaysiana.

    Apapun terima kasih atas tawaran bantuan membelikan buku waktu PBAKL tempoh hari 🙂

  3. Norziati says:

    Terima kasih kembali. 🙂

    Hanya pembaca buku yang tahu betapa mengumpul buku itu nikmat yang tidak boleh disukat hehe..

    • Najibah A Bakar says:

      Yup, betul tu – nikmat yang tak terdakap (boleh ke? Ini kes mahu ada rima)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com