Mencumbu buku, dengan ketagihan baharu

bangau bawa bayi

Bayi & bangau – meminjam budaya tanpa faham?

PERTAMA

Saya tidak pernah mengalaminya – kerana hingga kini saya masih seorang wanita berzuriat satu. Sejak kehamilan kedua ini (Insya-Allah akan berakhir April tahun depan, doakan saya) sahaja saya mendapat tahu, bahawa membawa seorang insan di dalam rahim, boleh membuat selera membaca saya tunggang terbalik; hingga perasaan ingin mencumbu buku hilang ghaib.

Setelah masuk suku kedua kehamilan, barulah saya merasai kembali nikmat membaca; mampu mengulit Every Book Its Reader pada pagi minggu, atau Madame Bovary dalam cahaya suram waktu seisi rumah sedang beradu. Tanpa terpaksa berjuang melawan perubahan hormon yang bergolak dalam badan. Sebulan lalu, saya hanya dapat menikmati komik, majalah bergambar dan membaca berita-berita pendek seputar politik. Seolah-olah ikrar cinta yang telah dicurangi, terpateri semula penuh makna; menyemarakkan cinta lama menjadi ketagihan baharu.

KEDUA

Gila buku boleh jadi juga suatu sikap jiwa eksentrik. Berapa ramai yang akan menganggap melakukan shelf-reading (menyemak bahan bacaan di rak perpustakaan agar urutan nombor panggilannya tidak kucar-kacir; atau memastikan buku-buku dalam katalog masih wujud di rak @ tidak) merupakan suatu nikmat?

Ia mungkin hal sangat membosankan bagi sebahagian besar orang, tetapi saya menganggapnya waktu intim untuk meneliti satu demi satu judul buku yang tidak pernah saya tahu kewujudannya; membayangkan siapakah pembaca yang akhirnya akan menanggapi buku itu sebagai kekasihnya; dan membiarkan diri tersiram oleh ketakjuban keluasan ilmu Allah dan manusia. Shelf-reading, adalah luang waktu mencumbu buku. Ketagihan yang nikmat.

KETIGA

Buku The Library at Night oleh Alberto Manguel yang dicita-citakan belum lagi dalam genggaman. Mengamati judulnya pertama kali, saya cuba membayangkan koleksi perpustakaan di semua tempat saya bekerja dulu dan kini dalam cahaya samar malam (sedalam minat saya pada perpustakaan, masih belum pernah saya terkunci atau sengaja mengunci diri di dalamnya ketika bulan sedang temaram).

Dapat saya bayangkan, ada gejolak rasa seperti menemui kekasih yang menderu dalam darah; seperti yang dirasai sekarang ketika ruang pembaca hampir tanpa penghuni kerana cuti semester telah bermula. Pada waktu-waktu yang begini, saya berasa lebih erat dengan setiap buku di rak; seolah-olah setiap naskhah sedang memandang saya penuh menduga, cuba mengajak bercengkerama. “Saya cinta kalian”, jerit hati, “tapi gelar pustakawan tidak memberi saya tiket mencumbu kalian sewaktu kerja.” Saya ketagihan mereka.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

8 Responses

  1. Nana says:

    Salam.

    Saya tak pernah buat shelf-reading – tapi itu mungkin kenyataan kurang tepat, kerana semasa shelving, pastinya kita turut melakukan shelf-reading.

    Saya menikmati tugas shelving apabila ia dilakukan di rak koleksi dewasa. Semasa pertama kali buat shelving iaitu di bahagian kanak-kanak, mak oii!! Meronta-ronta jiwa. Yalah, saya bukan seorang yang terlatih dalam bidang kepustakawanan, tiba-tiba dihadapkan dengan buku kanak-kanak yang maha melambak itu. Pengsan!

    Tapi apabila berganjak ke koleksi dewasa seperti fiksyen, sastera, dan agama, wah! Barulah rasa seperti di syurga. Banyak kali mengalamai cinta pandang pertama ketika ini. Sekarang ni saya buat shelving ensiklopedia di bahagian Rujukan – agak membosankan kerana buku-bukunya sangat kurang berusik. Namun masa senggang itu dapat pula saya mencumbui buku-buku lain. Hee hee!

    Semoga sebarang urusan sepanjang tempoh kehamilanmu dipermudahkan Allah hendaknya.

  2. Khairul H. says:

    Well, look who’s back!

    Saya juga sering membuat shelf-reading ketika menyemak koleksi peribadi. Barulah sedar, ketika menyemak rak, bahwa tersangat banyak buku saya yang belum disentuh apatah lagi dibaca! Teruja nak baca yang ini, yang itu. Esoknya pergi MPH, beli buku lagi. HAHAHAHAHA!

  3. ibrahim says:

    hehe library UIA memang sunyi kan Kak masa student cuti ni,waktu paling sesuai untuk kita yang gila buku ni explore habis habisan.Saya pun seronok buat shelf reading aritu..66 rak semuanya! 🙂

  4. salam.

    @Najibah, aktiviti shelf reading adalah aktiviti yang sentiasa mengujakan bagi saya. tak kira sama ada melakukannya di rak peribadi di rumah mahupun di kedai buku ataupun di perpustakaan awam. sentiasa sahaja terasa nikmatnya. 🙂

  5. Najibah A Bakar says:

    @Nana,

    Saya ingat Nana peminat buku kanak-kanak, sebab selalu lihat baca buku-buku Roald Dahl 😉 Apapun terima kasih atas ucap selamat untuk ibu mengandung ni.

    @Khairul,

    Yep, such a long rest from online world. Terlupa saya semua pemilik perpustakaan peribadi pun tentu ada buat shelf-reading – kisah yang patut diteroka lebih jauh.

    @Ibrahim,

    Bersemangat, sampai 66 rak! Cemburu betul, tapi keadaan tak mengizinkan.

    @Aidura,

    Betul tu, tak semestinya di perpustakaan, malahan di kedai buku pun konsepnya sama juga bagi pencinta buku, mungkin istilah saja yang membezakan – yang lebih kita kerap dengar mungkin shelf-browsing.

  6. Nana says:

    Najibah, saya memang minat buku kanak-kanak, tapi kurang suka menyusun buku bahagian itu. Cepat stress kalau susun buku kanak-kanak yang banyak dah lunyai, dan terlampau bersepah.

  7. Shahruddin says:

    salam. sungguh menarik dengan bahasa dan kata-kata yg hidup. syabas. saya akan mengfavoritekan blog puan.

    • Najibah A Bakar says:

      En. Shahruddin, terima kasih. Saya sekadar bermain kata-kata sahaja.

      Selama di Arkib UKM, berasa sangat ingin menyumbang sesuatu kepada majalah perpustakaan di sana, tetapi malangnya tak ada rezeki panjang di Bangi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com