Diskusi Kimono Ungu Bersulam Bunga (Julai 2010)

Kimono Ungu Bersulam Bunga

Diskusi Ganding Baca KUBB (Julai 2010)

Alhamdulillah, akhirnya ada ruang waktu untuk menjawab soalan-soalan diskusi Ganding Baca bagi buku Kimono Ungu Bersulam Bunga. Malu pada peserta lain pula rasanya, kerana mereka sudah jawab awal-awal lagi. Minta maaf ya!

ISMA: Cerpen pertama, Langit Lazuardi secara kasarnya dibangun lebih dari 70% dengan ayat kontot atau pendek. Selalu dalam diskusi sastera yang saya dengari, ayat pendek-pendek adalah ayat pemberontak!?.Boleh jadi penulis sedang memberontak ketika itu.Ada sesiapa yang rasa begitu?Atau itu mungkin pengaruh ayat SMS?Ayat orang muda?

Ayat pendek mungkin ada nada memberontak, tapi boleh jadi juga cuba disesuaikan dengan latar cerita & latar watak. Dalam LL, wataknya sedang berada dalam keadaan tertekan dengan pembunuhan, tidak mahu (atau belum dapat) menerima kenyataan. Berbanding LL, cerpen lain Becky menggunakan ayat-ayat lebih panjang dan kompleks dan ini menjadikan LL menyerlah unik dari sudut penggunaan bahasa. Tetapi saya rasakan ayat-ayat pendek begini, boleh juga mewakili anak muda, yang tidak suka ayat meleret-leret. Ya, pengaruh dunia sekarang yang mahu serba ringkas, less is more. Seperti kisah-kisah yang cuba dipopularkan oleh segelintir pengarang seperti Sufian Abas, Taf Teh dan yang seangkatan mereka.

ISMA: Apakah kita orang Melayu optimis terhadap keamanan di Asia Barat? Lebih besar lagi akan kewujudan Palestin merdeka bersama Israel berdaulat? Secara peribadi saya agak terganggu dengan watak Dhaliza, ia tidak menggambar sikapnya sebagai majoriti orang Melayu di Nusantara? Sedangkan,orang Melayu sejak kecil disemai sikap bermusuh dengan yahudi lebih dari orang Arab. Eh, saya lupa, Dhaliza kan seorang kolumnis di majalah antarabangsa(dalam hal ini saya terbayang Fareed Zakaria yang saya geram bila baca tulisan di Time dan saya difaham semua media besar dikuasai orang Yahudi). [DHALIZA, PEREMPUAN MELAYU PRO HAMAS dan DIBERI KOLUM DALAM MAJALAH ANTARABANGSA. Saya rasa ia tidak kena. Kalaulah ia benar(MEMANGLAH FIKSI) saya terganggu dengan watak Dhaliza.]

Sebagai orang Melayu Islam, saya memang menyokong pandangan Hamas, supaya mengembalikan keseluruhan Palestin asal, bukan hanya Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Mesti seluruhnya. Kemudian, soal orang Yahudi dapat tinggal di Palestin atau tidak selepas itu, biarlah dalam satu rundingan lain yang tidak berkaitan dengan soal pengembalian. Secara realiti, memang sukar untuk menemui gadis pro-Hamas seperti Dhaliza diberi kolum majalah antarabangsa, melainkan majalah itu milik yang pro-Hamas juga. Insya-Allah, mungkin itu suatu cita-cita terpendam dalam hati pengarang, untuk melihat itu berlaku, walaupun sedikit di luar realiti semasa.

Al GHAZALI: Boleh dikatakan hampir keseluruhan cerpen yang terkandung di dalam antologi KUBB ini mempunyai ciri-ciri yang sama – iaitu bersifat anti plot. Ada pro dan kontra menggunakan teknik penulisan seperti ini. Pada awal pembacaan, saya merasa teruja dengan kelainan yang ditawarkan. Apabila sudah hampir ke penghujung; memasuki Jus Soli Jus Sanguinis, keterujaan itu berkurangan kerana saya seakan-akan sudah dapat mengagak kesudahan cerpen. Cerpennya bagus, tapi malangnya tiada variasi. Pendapat anda semua bagaimana? Perlukah Becky meneruskan gaya penulisan seperti ini atau kita menantikan sesuatu yang berlainan? Maksudnya di sini mungkin sedikit twist pada pengakhiran cerita atau apa sahaja.

Saya terpaksa bersetuju dengan Al Ghazali. Teknik pengarang sepanjang kumpulan cerpen ini boleh dikatakan senada, tiada banyak kelainan antara satu dengan yang lain. Ini menimbulkan sedikit kebosanan setelah sampai pertengahan, walaupun tidaklah sehingga menjejaskan keinginan membaca. Ini tidak banyak dibantu oleh permainan watak juga, kerana rata-rata watak utamanya adalah wanita berkaliber, berjaya, yakin diri dan bijak. Tidak banyak kelainan watak di situ. Kelebihan yang menampung hal itu, bagi saya adalah latar suasana yang berbeza-beza; kita di bawa ke Jepun, ke Sepanyol, ke US.

AL GHAZALI: Isu seputar feminisme, alam sekitar dan Palestin mewarnai tema dalam cerpen. Dan ianya agak berulang-ulang. Bagaimana pula agaknya sekiranya Becky mengambil pendekatan wacana mengenai budaya tempatan pula? Lari daripada isu yang biasa diangkat Becky. Mampukah anda menerimanya?

Memang akan sangat dapat menerimanya, malah sangat mengalu-alukan jika pengarang KUBB dapat menggarap isu-isu semasa tanah air. Tentu dapat memberi peluang kepada pengarang sendiri menghasilkan cerpen-cerpen bernada luar dari kebiasaan mengarangnya. Apatah lagi kini pengarang telah kembali ke tanah ibunda; tentu hal-hal semasa di sini lebih mesra dan dekat kepadanya.

HARYATI: Kebanyakan watak utama dalam cerpen Rebecca adalah kaum hawa yang cerdik. Kenapa ya?

Seiring dengan perubahan semasa, apabila kaum lelaki sudah mengalami tanda kepupusan di IPTA malahan di sekolah menengah. Perubahan sosial dan bidang pendidikan telah membawa ramai wanita ke depan, dan ini melayakkan mereka menjadi ikon (watak utama) dalam cerpen-cerpen. Malah wanita begini juga erat dengan ciri-ciri peribadi pengarang sendiri. Namun dari sudut lain, perlu diperhatikan masih ramai wanita dengan ciri-ciri seperti yang pengarang ungkapkan, terperangkap dengan adat dan kebiasaan lama, dengan prejudis tertentu, hingga tidak mampu menjana kecemerlangan penuh seperti yang mereka impikan. Wanita-wanita yang terperangkap dalam sistem yang bukan budaya Islam pun, seperti institusi perkahwinan yang penuh aniaya, dinafikan hak belajar kerana kemiskinan dan banyak lagi. Mungkin pengarang lain harus menjuarai isu-isu seperti ini pula dalam wajah baru.

HARYATI: Sejauh manakah elemen-elemen cinta berlawanan jenis perlu ada dalam sesuatu karya. Apakah sekiranya elemen ini ditiadakan, sesuatu karya itu akan kehilangan serinya?

Dalam hal ini, saya cemburu dengan keupayaan beberapa pengarang yang dapat membawa watak-watak bukan berlawan jantina, dengan ikatan perasaan seperti persahabatan dan pertalian darah, tetapi dapat mengangkat cerita itu dari sisi kemanusiaannya hingga jadi luar biasa. Kalau boleh disebutkan contoh, misalnya Sri Rahayu Ibrahim di Malaysia atau Tere Liye di Indonesia, yang sering mengangkat kisah antara sahabat, atau antara ibu dan anak sebagai jalinan utama kisah-kisah mereka.  Dalam sesetengah keadaan, elemen cinta lelaki-perempuan boleh menjadi klise dan membosankan, walaupun dapat menaikkan minat pembaca. Namun dalam cerpen-cerpen KUBB, elemen cinta ini tidaklah begitu ketara sehingga pembaca terasa dibeli melalui kisah-kisah itu semata-mata. Ia masih wajar, tidak berlebihan dan menyenangkan walaupun sebahagian kecil berasa seperti dilekatkan berasingan untuk menambah keenakan cerpen itu.

FISHA: KUBB menghimpun banyak rasa pengarangnya terhadap banyak perkara. Namun, rasa sedih, kecewa, kesal paling banyak mewarnai keseluruhan penceritaan. Kenapa tiada langsung catatan bernada lucu dan satira? Adakah pandangan mengenai disiplin politik dan sejarah harus sentiasa bernuansa begitu?

Saya rasa ini adalah suatu cabaran utama bagi mana-mana pengarang, iaitu menyuntik elemen satira dalam cerpen-cerpen serius ataupun novel serius. Bukan suatu hal yang mudah saya rasa, dan memerlukan eksperimen berterusan, melainkan secara peribadi pengarang itu sendiri adalah seorang yang humoris. Satira ini saya lebih banyak lihat dalam buku-buku pengarang Barat, dan jarang dalam buku-buku pengarang Malaysia. Satu kelompok lain yang mungkin lebih mesra dengan satira adalah kelompok wartawan, kerana mereka memang dilatih untuk menyuntik elemen tersebut dalam penulisan mereka, terutama bagi para kolumnis akhbar.

FISHA: Kenapa sekian banyak peristiwa yang terakam dalam kebanyakan antologi KUBB, kimono (mungkin merujuk Jepun) menjadi tajuknya? Mengapa bukan kaffiyeh yang menjadi tanda, sedang pengarang banyak mengangkat citra Palestina?

Boleh jadi ini berkait dengan obsesi pengarang sendiri terhadap Jepun. Ada nilai sentimental tersendiri bagi pengarang barangkali.

R.O.L.: Dalam mengangkat isu feminisme, perlukah kaum atau watak lelaki dijadikan antagonis supaya kekuatan watak wanita dapat diserlahkan?

Berdasarkan sejarah, nampaknya begitulah. Kerana feminis itu sendiri tidak akan wujud tanpa gender yang berlawanan dengannya, dan sistem yang didakwa telah diterjemah dan disusun oleh orang lelaki. Namun dengan perkembangan feminisme kini, pasti ada sisi-sisi lain selain lelaki, mungkin Tuhan pula dapat dijadikan antagonis? Saya melihat feminisme ini kalau diceburi oleh orang Islam, secara literal seperti yang cuba dijuarai orang Barat, maka ia akan jadi satu penentangan terhadap Tuhan. Tetapi oleh sebab orang-orang Barat itu sendiri sudah tidak percaya Tuhan jadi mereka dianggap menentang lelaki dan sistem mereka? Apapun, benarkah kita patut lihat KUBB sebagai suatu hasil feminisme, hanya semata-mata kerana mengangkat isu wanita dan watak wanita? Mungkin tidak.

[Soalan pengarang akan dijawab kemudian :)]

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

7 Responses

  1. isma says:

    ”Namun dengan perkembangan feminisme kini, pasti ada sisi-sisi lain selain lelaki, mungkin Tuhan pula dapat dijadikan antagonis? ”

    Banyak tempat, pejuang feminisme itu sendiri yang menjatuhkan martabat perempuan.Misalnya karya Ayu Utami.

    • Najibah A Bakar says:

      @ Isma, dengarnya ada juga feminis Islam yang cuba memperbetul keadilan terhadap wanita Islam sesuai Al-Qur’an. Cuma tanpa pengalaman, Akak tak berani berhujah banyak. Mungkin KUBB dan artikel-artikel yang didapatkan untuk Isma baru-baru ni akan membuka semula ruang penelitian Akak dalam hal ini (dulu pernah buat artikel Equity vs Equality, berkait hal feminism, jadi kena mengumbar semula pembacaan lama)

  2. r.o.l. says:

    Salam, Puan. Baru siap jawab.

  3. mudin001 says:

    lama dah tak ber’update’ blog ni… 🙂

  4. najibah says:

    Tok Mudin, dalam rencana – sudah didraf dan bakal berupdate segera, InsyaAllah.

  5. salam. baru menjumpai blog ni. menarik.
    terutamanya entri satu ni. sangat bermanfaat bagi mereka yang gemar dan berminat untuk mendalami kritikan sastera selain melihat dari sisi berbeza, iaitu keindahan ceritanya sendiri.
    moga dapat teruskan dan diskusikan lagi buku buku yang hebat hebat. insya-Allah…
    🙂

  1. November 19, 2010

    […] ulasan yang lebih lanjut, silakan kesini, sini, sini dan sini. LikeBe the first to like this […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com