Surat kepada Encik Montag

[sepucuk surat kepada Encik Montag, lelaki bomba yang insaf dalam Fahrenheit 451]

fahrenheit 451

Encik Montag, saya suka kamu!

Encik Montag,

Saya dapat tahu mengenai cerita Encik Montag semasa tengah mengarang cerita yang dirasakan sudah cukup kreatif dan bakal meletup. Tajuk tentatif yang saya beri; Boo-Koo-Foo-Bya. Cerita itu sudah masuk halaman ke-3! Tapi tiba-tiba saya google sana google sini, saya terjumpa cerita Encik Montag pula. Terus idea yang saya anggap kreatif sebelum ini, hangus – sehangus kertas buku, rumah dan manusia yang Encik Montag bakar sesuka hati dengan kerosin dari hos bomba Encik.

Encik Montag,

Kerjaya asal Encik itu, minta maaflah saya katakan secara jujur, saya tak suka langsung. Sebab semuanya sudah terbalik kuang. Saya pernah melawat balai bomba semasa sekolah rendah dahulu. Memang mereka hebat; berani melawan api. Tetapi Encik, Encik memang berhati besi karat. Encik mengobarkan api pula. Bukan sebarang api; api Encik dimaksudkan untuk membakar buku, membakar rumah yang menyimpan buku, malah membakar Orang Buku.

Apa boleh buat, mungkin itulah natijahnya Encik hidup di dunia yang porak-peranda seperti itu. Porak-peranda yang saya maksudkan, bukan kerana dunia Encik kurang dari segi kemodenan. Dunia Encik memang dunia paling moden dan ada kelas. Di mana saya boleh cari seekor anjing hijau lutsinar, yang boleh menyuntik racun berdasarkan cetusan kimia tubuh dan otak mangsa? Tentulah hanya di dunia Encik. Kalau ada di sini, tentu saya mahu beberapa ratus ekor, untuk hantar ke Palestin menyerang Zionis.

Encik Montag,

Di sebalik kebencian saya terhadap kerjaya Encik dan kegilaan Encik membakar buku, saya tahu jauh dalam nurani Encik, masih ada cahaya. Bukankah Encik masih boleh jatuh kasih dengan gadis berkulit putih susu itu. Siapa namanya ya? Saya pun sudah terlupa. Tapi bukan Encik sahaja sukakan gadis itu. Saya pun begitu. Terutamanya sebab dia memilih memesrai alam dan merenung kejadian, ketika isteri Encik asyik berhibur dengan hal remeh-temeh di skrin dinding yang moden. Dia orang eksentrik dalam dunia Encik, tapi saya suka orang eksentrik. Bagi saya orang eksentrik orang yang berani, bukan orang yang pelik. Kalau boleh saya mahu bertemu dengan dia juga di jalanan, saling bicara mengenai dandelion. Ada sebuah hadis Qudsi yang saya belajar masa remaja dahulu:

La ibadata ka at-tafkir

Tiada ibadat (yang lebih baik) sepertimana berfikir (merenung kejadian Allah)

Jadi Encik, kenapa saya tak boleh teruja untuk mengenali gadis putih susu itu?

Encik Montag,

Saya ada pendapat peribadi mengenai kegembiraan sebenar yang Encik cari-cari itu. Ketahuilah Encik, membakar buku dan Orang Buku bukanlah caranya untuk bahagia. Dalam agama saya, ilmu itu adalah cahaya; ilmu itu menerangkan antara yang hak dengan yang batil. Cahaya itulah yang membuat manusia bahagia. Apabila Encik membakar buku, Encik membakar ilmu. Jadi cahaya ilmu tak sempat sampai kepada manusia. Hati-hati manusia lebih banyak padam daripada bernyala, hingga akhirnya tak kenal lagi erti bahagia hakiki. Lihatlah akibat buruk terhadap tamadun Islam kami selepas khazanah buku Baghdad dibakar dan dihumban ke dalam Sungai Furat hingga airnya hitam kerana dakwat para ilmuwan. Selepas itu, kebangkitan kami tertunda. Keagungan kami hilang.

Encik Montag,

Saya sangat bersyukur waktu Encik beroleh keberanian untuk menentang resam dunia Encik. Saya sangat terharu waktu Encik kembali jatuh cinta dengan buku-buku. Tiba-tiba saya berasa seperti jatuh cinta pula dengan Encik. Tinggalkan sahaja isteri Encik yang sudah beku hati itu. Datanglah bertemu saya. Mari kita berkongsi rasa cinta terhadap buku. Buku memang mempunyai kuasa luar biasa seperti itu, Encik. Tidak hairan wanita tua itu sanggup mati dalam api bersama buku-bukunya. Encik boleh keliru pada awalnya, boleh ada dua pendapat atau dua rasa berperang dalam kepala atau jiwa, tetapi Encik akan menemui makna baru dalam hidup. Membaca selamanya penerokaan, ke dalam dan ke luar. Membaca menjadikan dunia Encik melewati segala sempadan. Saya gembira Encik berkenalan dengan Profesor itu; banyak sungguh mutiara ilmu yang beliau luahkan pada Encik. Sayang saya belum menemui seseorang yang boleh berbicara mengenai hakikat buku dan ilmu kepada saya dari hati ke hati seperti itu.

Encik Montag,

Surat saya sudah panjang, sudah patut sampai ke hujung. Alhamdulillah Encik selamat dari serangan anjing hijau lutsinar itu. Saya sanjung Encik kerana sanggup bertindak luar biasa. Encik hero saya. Encik juga suka pada sungai gelap yang seperti kasur empuk itu? Hati Encik sudah sebati semula dengan alam nampaknya. Seperti kata Rachel Carson dalam Silent Spring, kita hakikatnya sebahagian daripada alam, bukan sebahagian daripada bangunan yang kita ciptakan. Kita boleh hidup tanpa bangunan, tapi tak boleh hidup tanpa alam. Saya pun jadi ingin hidup di sepanjang landasan keretapi berkarat seperti Encik, bersama alam, bersama Orang-Orang Buku, mengelilingi unggun api dan mengingati isi buku. Terlebih advencerkah saya, Encik?

Apapun, hakikatnya saya tak mampu ke sana. Saya hanya mampu mendengar kisah Encik seperti dinukilkan Ray Bradbury. Selamat membangunkan semula dunia Encik yang hancur lebur. Izinkan saya meminjam falsafah Orang-Orang Buku itu; walaupun mereka banyak membaca, mereka tidak mahu menganggap diri mereka orang penting. Mereka sekadar membawa apa yang ada dalam buku-buku, dalam dada mereka, sebagai amanah untuk disampaikan sebagai suatu pilihan.

Walaupun gagal menyudahkan cerita harapan saya berjudul Boo-Koo-Foo-Bya itu, saya tidak berasa terlalu hampa lagi. Mengenali Encik sudah cukup menarik. Saya akan cari idea lain untuk cerita terbengkalai itu, atau cuba tulis cerita baru.

Terima kasih kerana sudi membaca surat saya. Sekali lagi saya katakan, Enciklah hero saya.

Salam hormat,
Peminat rahsia Encik.

PS: Saya mahu memohon pada institusi penterjemah negara saya supaya menterjemahkan kisah Encik Montag ini. Kisah Encik patut dibaca semua orang, supaya mereka jatuh cinta dengan buku.

————————————————————-

komen adah

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

2 Responses

  1. isma says:

    adakah ini cara baru ulasan buku?:)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com