GRMY: julung kali di media cetak

GRMY di Berita Harian

Kenangan manis GRMY 2010

Buat kali pertama, sebuah kelab buku kecil Goodreads Malaysia (GRMY) yang diasaskan oleh seorang wanita yang hanya dikenal sebagai Kausa, dan diambil alih sejak 2008 oleh beberapa pencinta buku, menjadi sebahagian daripada sejarah bercetak negara.

Keratan 6 Julai 2010 dalam bahagian Sastera & Budaya Berita Harian itu adalah kenangan manis bagi semua ahlinya; peristiwa yang memberi semangat dan momentum baru juga.

Sesekali mengingat publisiti sulung GRMY di media itu, saya terkenang pada isi buku Gladwell, The Outliers. Sekiranya seorang manusia yang berjaya itu berhutang budi kepada serangkai takdir yang mempertemukan nasib, insan dan sistem yang baik, begitu jugalah sebuah kelab buku bernama GRMY.

Saya menyertai Goodreads pada Mei 2008. Ketika itu Goodreads Malaysia telah diasaskan oleh Kausa dengan nama Malaysians. Tarikh tepatnya ialah pada 21 Julai 2007. Hanya ada seorang moderator yang mengendali, iaitu pengasasnya Kausa. Diskusi terawal adalah berkenaan budaya baca beberapa etnik di Malaysia serta berhari raya dengan buku, kedua-duanya sekitar bulan Oktober 2008.

Sambutan di kalangan pembaca agak baik, tetapi kerana GRMY tidak dipantau dengan kerap, perkembangannya terbantut. Saya masih ingat, GRMY tidak berlogo bendera Malaysia seperti sekarang, tetapi hanya bertanda tanya (belum berlogo). Begitu juga dengan forum, tidak ada pembahagian folder dan thread yang banyak seperti sekarang.

Kewujudan GRMY itu membuat saya cepat terkenang zaman kegemilangan kelab buku maya seperti BukuOnline.org, diasaskan oleh Khairusy Syakirin Hasyun Hashim. Itulah kelab buku maya pertama Malaysia yang saya sertai awal tahun 2000 ketika masih bergelar siswi. Belum ada lagi mana-mana rangkaian sosial buku yang wujud sekarang seperti Goodreads, Shelfari atau LibraryThing.

Sayang sekali BukuOnline.org ada waktunya terputus dari capaian para pencinta buku, sehingga akhirnya beralih arah dan bertumpu kepada aktiviti yang menjurus intelektual, seperti mengadakan seminar, mengadakan penyelidikan serta terlibat dalam penerbitan rancangan TV.

Betapa saya berasa satu kehilangan yang sangat besar, kerana di situlah tempat saya berdiskusi hal buku dan mengenali beberapa rakan buku, seperti Ati the Reader dan Tuah Sujana (kedua-duanya kini cemerlang dalam bidang masing-masing).

Ketiadaan BukuOnline.org sebagai satu forum maya mewujudkan ruang kosong di kalangan pencinta buku.  Wadah popular sehari-hari yang tidak berkala (berbeza dengan rancangan TV dan seminar, yang berkala) yang dapat mengikat sekumpulan pencinta buku Malaysia tidak lagi wujud. Tiada lagi tempat santai untuk bertukar cerita buku dan mendapatkan info seputar buku.

Tidak lama kemudian, rangkaian sosial mula menjadi kegilaan di dunia maya. Waktu itulah (April 2006) saya bertemu dengan LibraryThing (yang kemudiannya saya tahu, hanya menjadi “a ‘real’ business in May 2006“).

Ada percubaan saya untuk menghidupkan semula kelab buku Malaysia, ala-ala BukuOnline.org, dengan nama Malaysian LibraryThingers. Tetapi oleh sebab waktu itu saya masih mentah (masih belajar, belum bekerja), saya tidak cukup berani untuk mengendalikan sebuah kelab di kalangan para pembaca yang jauh lebih berusia dan matang. Lalu saya tinggalkan kelab itu begitu sahaja hinggalah pada awal tahun ini, kelab yang berada dalam status dormant itu, saya bubarkan.

Sekitar September 2007, saya menganggotai Shelfari, sekaligus menyertai kelab buku maya Malaysia yang diberi nama Melayu di situ, kelolaan Jiwa Rasa dan Fadli al-Akiti, nama-nama yang tidak asing di kalangan pencinta buku. Saya sangat gembira waktu itu kerana telah menemui sebuah forum pengganti BukuOnline.org.

Namun kegembiraan itu tidak lama, kerana kelab tersebut tiba-tiba sahaja menjadi kurang aktif, mungkin akibat kekangan masa di kalangan pengendali dan ahli-ahlinya. Sekali lagi saya berasa seperti kapal tanpa pelabuhan.

Saya tidak pasti fenomena keperluan kepada kelab buku ini hanya keperluan saya peribadi, atau juga keperluan asasi pencinta buku yang lain. Ini dapat dikembangkan sebagai suatu pemerhatian lain.

Tetapi secara permukaan, mungkin bagi seorang wanita yang membaca, sangat sukar mencari seorang wanita lain yang kaki buku di sekitar tempat tinggal dan tempat kerja, menjadikan pertukaran ilmu dan maklumat berkenaan buku menjadi sangat sukar, melainkan secara dalam talian.

Oleh sebab kelab Melayu di Shelfari tersebut juga telah membeku, sedangkan potensinya amat besar, saya beralih arah lagi. Selain Shelfari tidak menyediakan ruang untuk merekodkan buku-buku Melayu dalam pangkalan datanya, saya menemui GRMY di Goodreads.

Walaupun tidak dipantau oleh pengasas sekaligus pengendalinya, tetapi saya lihat ada tunas-tunas diskusi yang kreatif dan sambutan yang menggalakkan.

Saya cuba untuk menghubungi pengasasnya Kausa, menawarkan bantuan sebagai pengendali tambahan, tetapi tiada jawapan. Beliau jarang muncul dalam talian. Akhirnya saya mengambil tindakan drastik, dengan menghantar mesej kepada pihak Goodreads.

Secara automatik Goodreads menjadikan saya moderator atau pengendali. Waktu itu, saya berasa seperti orang merampas kuasa. Maklum saja, tanpa menunggu izin pengasasnya terlebih dahulu, saya pandai-pandai sendiri mengambil alih.

Menyedari terhadnya kemampuan diri, saya mengusulkan agar beberapa undian dibuat untuk menambah moderator baru. Awalnya saya risau hebat, bagaimana mahu mengendali forum antara segelintir peminat buku yang langsung tidak dikenali. Malah saya sebetulnya adalah orang yang INFP, menjurus introvert yang lebih suka refleksi diri secara intrapersonal daripada ekstrovert yang cinta interaksi interpersonal.

Namun sekali bola bergolek, dan atas minat mendalam, saya gagahkan diri. Suatu saat saya pernah mahu menarik diri sebagai moderator lantaran kesibukan peribadi, memikirkan kelab itu akan dapat bertahan dan bergerak dengan 5 lagi moderator lain yang berkaliber dan sama bersemangat. Tetapi niat itu saya urungkan atas pujukan Faizah Roslaini.

Kelab kecil itu akhirnya makin hari makin meriah dengan idea ahli-ahlinya yang pelbagai latar belakang. Itu antara salah satu hal yang paling saya nikmati di Goodreads Malaysia. Ada berbagai manusia di sana; dengan tabiat dan warna peribadi berbeza; suri rumah, pelajar, penulis, bekas peguam, akauntan, pengarah syarikat, guru, jurutera dan ramai lagi.

Saya belajar banyak daripada para peminat buku di sana, dan pelbagai minat baru bercambah dalam hidup saya. Dengan segala kekurangan (berbanding para pencinta buku lain di situ), saya mendapat pengalaman baru mengenai dunia buku. Penerokaan menjadi lebih luas kerana keperluan menghidupkan kelab itu, seiring dengan cita-cita saya yang lain.

Begitulah sejarah manis GRMY – hingga akhirnya selepas dua tahun, mendapat sorotan dari wartawan Nazmi Yaakub di Berita Harian. Saya tidak percaya kepada publisiti yang dicari, tetapi biar publisiti mencari kita. Itu bagi saya, bermakna kita mendapat publisiti kerana bekerja, bukan bekerja demi publisiti.

Mudah-mudahan Allah memberkati usaha semua ahli GRMY yang cinta ilmu dan cinta buku. Mudah-mudahan GRMY makin subur dan mampu bertahan selama mungkin. Mudah-mudahan GRMY akan muncul lagi menjadi sebahagian sejarah bercetak negara, biar lanskap budaya buku negara makin indah.

Dengan ahli seramai 405 pada hari ini, berbanding tidak sampai 100 dua tahun lalu, saya yakin ada cahaya di hujung terowong. Serangkai takdir yang mempertemukan nasib, kelompok buku dan sistem yang baik, itulah nyawa sebuah kelab buku bergelar GRMY.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

6 Responses

  1. lol aku ingat masa zaman sekolah rendah je org sibuk kira kuantiti dan bukan kualiti.
    rupanya skang pun ade lagi.
    aku budget leh baca lebih 50 buku doraemon setaun. amacam? cukup tak? lol

    • Najibah A Bakar says:

      Kami cuba gabung kualiti dan kuantiti sekaligus – jom bergabung sama.

      Ada juga pembaca komik tegar di GRMY sana, jangan tak tahu 🙂

  2. Khairul H. says:

    Ya, saya pembaca komik tegar di sana! Tapi collected editions je le…dah tak kumpul komik terbitan berkala.

    • Najibah A Bakar says:

      Inilah dia En. Khairul, towkay komik di GRMY, sudah datang! Tapi jangan minta pinjam, tak akan dapat punya 🙂

      @Faizah, he he, sudah semestinya 🙂

      @Aidura, tahniah jugak buat Aidura yang sangat rajin mengobarkan semangat rakan2 GRMY untuk 50 BS. Tanpa Aidura, di manalah GRMY kita 🙂

  3. Najibah, promo jangan tak promo. He he he.

    Lelaki misteri,

    50 buku setahun cuma strategi untuk menggalakkan pembacaan. Sungguh, kami tak kisah berapa saja angkanya.

  4. Tahniah buat semua moderator GRMY yang sungguh berdedikasi dan komited.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com