Soalan Diskusi Ganding Baca Julai 2010: Kimono Ungu Bersulam Bunga

kimono ungu bersulam bunga

Ganding Baca Julai 2010

*Telah ditambah dengan soalan Fisha pada 27 Julai 2010 dan soalan r.o.l. pada 19 Julai 2010.

Akhirnya, dengan rasa sangat gembira dari kampung halaman, saya dapat menaikkan soalan-soalan diskusi untuk buku Kimono Ungu Bersulam Bunga (Rebecca Ilham) sempena Ganding Baca Julai.

Semua soalan telah disediakan oleh para peserta yang bersemangat, iaitu Isma, Al Ghazali, Fisha, r.o.l., Haryati dan Najibah.

Dua soalan lagi adalah soalan istimewa daripada pengarang, Rebecca Ilham kepada pembaca.

Kemudian mohon tinggalkan pautan rakan-rakan di ruang komentar entri ini.  Satu senarai lengkap jawapan akan dinaikkan dengan lebih tersusun nanti berdasarkan pautan-pautan semua peserta. Terima kasih semua! :) (sangat gembira, lalala)

  1. ISMA: Cerpen pertama,Langit Lazuardi secara kasarnya dibangun lebih dari 70% dengan ayat kontot atau pendek.Selalu dalam diskusi sastera yang saya dengari, ayat pendek-pendek adalah ayat pemberontak!?.Boleh jadi penulis sedang memberontak ketika itu.Ada sesiapa yang rasa begitu?Atau itu mungkin pengaruh ayat SMS?Ayat orang muda?
  2. ISMA: Apakah kita orang Melayu optimis terhadap keamanan di Asia Barat? Lebih besar lagi akan kewujudan Palestin merdeka bersama Israel berdaulat? Secara peribadi saya agak terganggu dengan watak Dhaliza, ia tidak menggambar sikapnya sebagai majoriti orang Melayu di Nusantara? Sedangkan,orang Melayu sejak kecil disemai sikap bermusuh dengan yahudi lebih dari orang Arab. Eh, saya lupa, Dhaliza kan seorang kolumnis di majalah antarabangsa(dalam hal ini saya terbayang Fareed Zakaria yang saya geram bila baca tulisan di Time dan saya difaham semua media besar dikuasai orang Yahudi). [DHALIZA, PEREMPUAN MELAYU PRO HAMAS dan DIBERI KOLUM DALAM MAJALAH ANTARABANGSA. Saya rasa ia tidak kena. Kalaulah ia benar(MEMANGLAH FIKSI) saya terganggu dengan watak Dhaliza.]
  3. Al GHAZALI: Boleh dikatakan hampir keseluruhan cerpen yang terkandung di dalam antologi KUBB ini mempunyai ciri-ciri yang sama – iaitu bersifat anti plot. Ada pro dan kontra menggunakan teknik penulisan seperti ini. Pada awal pembacaan, saya merasa teruja dengan kelainan yang ditawarkan. Apabila sudah hampir ke penghujung; memasuki Jus Soli Jus Sanguinis, keterujaan itu berkurangan kerana saya seakan-akan sudah dapat mengagak kesudahan cerpen. Cerpennya bagus, tapi malangnya tiada variasi. Pendapat anda semua bagaimana? Perlukah Becky meneruskan gaya penulisan seperti ini atau kita menantikan sesuatu yang berlainan? Maksudnya di sini mungkin sedikit twist pada pengakhiran cerita atau apa sahaja.
  4. AL GHAZALI: Isu seputar feminisme, alam sekitar dan Palestin mewarnai tema dalam cerpen. Dan ianya agak berulang-ulang. Bagaimana pula agaknya sekiranya Becky mengambil pendekatan wacana mengenai budaya tempatan pula? Lari daripada isu yang biasa diangkat Becky. Mampukah anda menerimanya?
  5. HARYATI: Kebanyakan watak utama dalam cerpen Rebecca adalah kaum hawa yang cerdik. Kenapa ya?
  6. HARYATI: Sejauh manakah elemen-elemen cinta berlawanan jenis perlu ada dalam sesuatu karya. Apakah sekiranya elemen ini ditiadakan, sesuatu karya itu akan kehilangan serinya?
  7. FISHA: KUBB menghimpun banyak rasa pengarangnya terhadap banyak perkara. Namun, rasa sedih, kecewa, kesal paling banyak mewarnai keseluruhan penceritaan. Kenapa tiada langsung catatan bernada lucu dan satira? Adakah pandangan mengenai disiplin politik dan sejarah harus sentiasa bernuansa begitu?
  8. FISHA: Kenapa sekian banyak peristiwa yang terakam dalam kebanyakan antologi KUBB, kimono (mungkin merujuk Jepun) menjadi tajuknya? Mengapa bukan kaffiyeh yang menjadi tanda, sedang pengarang banyak mengangkat citra Palestina?
  9. R.O.L.: Dalam mengangkat isu feminisme, perlukah kaum atau watak lelaki dijadikan antagonis supaya kekuatan watak wanita dapat diserlahkan?
  10. NAJIBAH: Seni kulit buku ini saya rasa lain dari yang lain. Anak saya bertanya, “Kenapa muka dia marah, Umi?” Suami saya kata, “Macam orang jate muko dio.” (merujuk kepada aura air mukanya). Sesuaikah ilustrasi kulit dengan citra dan nilai dalam koleksi cerpen ini?
  11. NAJIBAH: Kebanyakan cerpen Rebecca mengangkat latar luar negara. Malah ini boleh dikatakan menjadi kecenderungan para pengarang muda sekarang, termasuk sesetengah pengarang lebih berusia. Fenomena ini juga meluas dalam latar cerpen2 yang dicalonkan untuk HSKU 2009 baru-baru ini, ada latar Pakistan, Mesir, Jepun dan lain-lain. Apa pendapat anda mengenai perkara ini? Kita masih banyak isu tempatan untuk diangkat berdasarkan latar tempatan, kerana negara kita sedang bergelumang dengan 1001 masalah sosial, ekonomi dan politik, tetapi kenapa kecenderungan ini terjadi?

Dua soalan istimewa dari pengarang kita, REBECCA ILHAM:

  1. Apakah kekurangan dalam karya-karya pengarang yang membuatkan pembaca tidak berpuas hati (terutamanya tentang latar watak yang pengarang sendiri rasa vague, dan tidak beremosi)
  2. Keberkesanan penggunaan teknik anti-plot dalam karya dalam menyampaikan tema-tema yang diketengahkan.

Terima kasih semua atas usaha kalian, terutama sekali pengarang sendiri, Rebecca Ilham yang telah meluangkan masa untuk menyediakan soalan beliau juga.

Mudah-mudahan pembacaan kita akan lebih bermakna dan mendalam melalui perbincangan ini.

Ogos depan, buku pilihan kita kemungkinan besar adalah Lelaki Berkasut Merah oleh Bahruddin Bekri (ramai betul peminatnya, sudah 7 orang mengundi bukunya sahaja, saya yang tertinggal LRT  belum pernah baca karyanya).

Buku yang santai dan nipis, mungkin dapat dihabiskan lebih cepat untuk memberi keutamaan kepada ibadat lain yang lebih penting sempena bulan yang mulia.

:)

Antara kualiti & kuantiti

coins_in_hand

Mahu duit banyak atau sedikit?

Kalau duit, kita mahu BANYAK sangat! Biar berjuta-juta dalam bank, kerana kita mahu jadi millionaire, jadi jutawan. Kita tidak mahu sedikit. Kita mahu ada lebih dari sebuah kereta, lebih dari sebuah rumah, kita mahu bonus. Dan kita mahu rumah yang besar, berlokasi strategik, jiran-jiran yang baik. Kita mahu melabur dalam pelaburan yang menguntungkan, yang diyakini pulangannya. Kita mahu kuantiti dan kualiti sekaligus. Kita sanggup bekerja siang malam demi mencapainya.

Tetapi sampai kepada membaca, menggali ilmu dari buku-buku? Kita akan lebih mudah, malah terlalu mudah berkata, “Ah, banyak-banyak baca buat apa, yang penting kualiti buku yang dibaca, bukan kuantitinya.”

Kita ada dua standard. Satu untuk ilmu, satu lagi untuk harta.

GRMY: julung kali di media cetak

GRMY di Berita Harian

Kenangan manis GRMY 2010

Buat kali pertama, sebuah kelab buku kecil Goodreads Malaysia (GRMY) yang diasaskan oleh seorang wanita yang hanya dikenal sebagai Kausa, dan diambil alih sejak 2008 oleh beberapa pencinta buku, menjadi sebahagian daripada sejarah bercetak negara.

Keratan 6 Julai 2010 dalam bahagian Sastera & Budaya Berita Harian itu adalah kenangan manis bagi semua ahlinya; peristiwa yang memberi semangat dan momentum baru juga.

Sesekali mengingat publisiti sulung GRMY di media itu, saya terkenang pada isi buku Gladwell, The Outliers. Sekiranya seorang manusia yang berjaya itu berhutang budi kepada serangkai takdir yang mempertemukan nasib, insan dan sistem yang baik, begitu jugalah sebuah kelab buku bernama GRMY.

Saya menyertai Goodreads pada Mei 2008. Ketika itu Goodreads Malaysia telah diasaskan oleh Kausa dengan nama Malaysians. Tarikh tepatnya ialah pada 21 Julai 2007. Hanya ada seorang moderator yang mengendali, iaitu pengasasnya Kausa. Diskusi terawal adalah berkenaan budaya baca beberapa etnik di Malaysia serta berhari raya dengan buku, kedua-duanya sekitar bulan Oktober 2008.

Sambutan di kalangan pembaca agak baik, tetapi kerana GRMY tidak dipantau dengan kerap, perkembangannya terbantut. Saya masih ingat, GRMY tidak berlogo bendera Malaysia seperti sekarang, tetapi hanya bertanda tanya (belum berlogo). Begitu juga dengan forum, tidak ada pembahagian folder dan thread yang banyak seperti sekarang.

Kewujudan GRMY itu membuat saya cepat terkenang zaman kegemilangan kelab buku maya seperti BukuOnline.org, diasaskan oleh Khairusy Syakirin Hasyun Hashim. Itulah kelab buku maya pertama Malaysia yang saya sertai awal tahun 2000 ketika masih bergelar siswi. Belum ada lagi mana-mana rangkaian sosial buku yang wujud sekarang seperti Goodreads, Shelfari atau LibraryThing.

Sayang sekali BukuOnline.org ada waktunya terputus dari capaian para pencinta buku, sehingga akhirnya beralih arah dan bertumpu kepada aktiviti yang menjurus intelektual, seperti mengadakan seminar, mengadakan penyelidikan serta terlibat dalam penerbitan rancangan TV.

Betapa saya berasa satu kehilangan yang sangat besar, kerana di situlah tempat saya berdiskusi hal buku dan mengenali beberapa rakan buku, seperti Ati the Reader dan Tuah Sujana (kedua-duanya kini cemerlang dalam bidang masing-masing).

Ketiadaan BukuOnline.org sebagai satu forum maya mewujudkan ruang kosong di kalangan pencinta buku.  Wadah popular sehari-hari yang tidak berkala (berbeza dengan rancangan TV dan seminar, yang berkala) yang dapat mengikat sekumpulan pencinta buku Malaysia tidak lagi wujud. Tiada lagi tempat santai untuk bertukar cerita buku dan mendapatkan info seputar buku.

Tidak lama kemudian, rangkaian sosial mula menjadi kegilaan di dunia maya. Waktu itulah (April 2006) saya bertemu dengan LibraryThing (yang kemudiannya saya tahu, hanya menjadi “a ‘real’ business in May 2006“).

Ada percubaan saya untuk menghidupkan semula kelab buku Malaysia, ala-ala BukuOnline.org, dengan nama Malaysian LibraryThingers. Tetapi oleh sebab waktu itu saya masih mentah (masih belajar, belum bekerja), saya tidak cukup berani untuk mengendalikan sebuah kelab di kalangan para pembaca yang jauh lebih berusia dan matang. Lalu saya tinggalkan kelab itu begitu sahaja hinggalah pada awal tahun ini, kelab yang berada dalam status dormant itu, saya bubarkan.

Sekitar September 2007, saya menganggotai Shelfari, sekaligus menyertai kelab buku maya Malaysia yang diberi nama Melayu di situ, kelolaan Jiwa Rasa dan Fadli al-Akiti, nama-nama yang tidak asing di kalangan pencinta buku. Saya sangat gembira waktu itu kerana telah menemui sebuah forum pengganti BukuOnline.org.

Namun kegembiraan itu tidak lama, kerana kelab tersebut tiba-tiba sahaja menjadi kurang aktif, mungkin akibat kekangan masa di kalangan pengendali dan ahli-ahlinya. Sekali lagi saya berasa seperti kapal tanpa pelabuhan.

Saya tidak pasti fenomena keperluan kepada kelab buku ini hanya keperluan saya peribadi, atau juga keperluan asasi pencinta buku yang lain. Ini dapat dikembangkan sebagai suatu pemerhatian lain.

Tetapi secara permukaan, mungkin bagi seorang wanita yang membaca, sangat sukar mencari seorang wanita lain yang kaki buku di sekitar tempat tinggal dan tempat kerja, menjadikan pertukaran ilmu dan maklumat berkenaan buku menjadi sangat sukar, melainkan secara dalam talian.

Oleh sebab kelab Melayu di Shelfari tersebut juga telah membeku, sedangkan potensinya amat besar, saya beralih arah lagi. Selain Shelfari tidak menyediakan ruang untuk merekodkan buku-buku Melayu dalam pangkalan datanya, saya menemui GRMY di Goodreads.

Walaupun tidak dipantau oleh pengasas sekaligus pengendalinya, tetapi saya lihat ada tunas-tunas diskusi yang kreatif dan sambutan yang menggalakkan.

Saya cuba untuk menghubungi pengasasnya Kausa, menawarkan bantuan sebagai pengendali tambahan, tetapi tiada jawapan. Beliau jarang muncul dalam talian. Akhirnya saya mengambil tindakan drastik, dengan menghantar mesej kepada pihak Goodreads.

Secara automatik Goodreads menjadikan saya moderator atau pengendali. Waktu itu, saya berasa seperti orang merampas kuasa. Maklum saja, tanpa menunggu izin pengasasnya terlebih dahulu, saya pandai-pandai sendiri mengambil alih.

Menyedari terhadnya kemampuan diri, saya mengusulkan agar beberapa undian dibuat untuk menambah moderator baru. Awalnya saya risau hebat, bagaimana mahu mengendali forum antara segelintir peminat buku yang langsung tidak dikenali. Malah saya sebetulnya adalah orang yang INFP, menjurus introvert yang lebih suka refleksi diri secara intrapersonal daripada ekstrovert yang cinta interaksi interpersonal.

Namun sekali bola bergolek, dan atas minat mendalam, saya gagahkan diri. Suatu saat saya pernah mahu menarik diri sebagai moderator lantaran kesibukan peribadi, memikirkan kelab itu akan dapat bertahan dan bergerak dengan 5 lagi moderator lain yang berkaliber dan sama bersemangat. Tetapi niat itu saya urungkan atas pujukan Faizah Roslaini.

Kelab kecil itu akhirnya makin hari makin meriah dengan idea ahli-ahlinya yang pelbagai latar belakang. Itu antara salah satu hal yang paling saya nikmati di Goodreads Malaysia. Ada berbagai manusia di sana; dengan tabiat dan warna peribadi berbeza; suri rumah, pelajar, penulis, bekas peguam, akauntan, pengarah syarikat, guru, jurutera dan ramai lagi.

Saya belajar banyak daripada para peminat buku di sana, dan pelbagai minat baru bercambah dalam hidup saya. Dengan segala kekurangan (berbanding para pencinta buku lain di situ), saya mendapat pengalaman baru mengenai dunia buku. Penerokaan menjadi lebih luas kerana keperluan menghidupkan kelab itu, seiring dengan cita-cita saya yang lain.

Begitulah sejarah manis GRMY – hingga akhirnya selepas dua tahun, mendapat sorotan dari wartawan Nazmi Yaakub di Berita Harian. Saya tidak percaya kepada publisiti yang dicari, tetapi biar publisiti mencari kita. Itu bagi saya, bermakna kita mendapat publisiti kerana bekerja, bukan bekerja demi publisiti.

Mudah-mudahan Allah memberkati usaha semua ahli GRMY yang cinta ilmu dan cinta buku. Mudah-mudahan GRMY makin subur dan mampu bertahan selama mungkin. Mudah-mudahan GRMY akan muncul lagi menjadi sebahagian sejarah bercetak negara, biar lanskap budaya buku negara makin indah.

Dengan ahli seramai 405 pada hari ini, berbanding tidak sampai 100 dua tahun lalu, saya yakin ada cahaya di hujung terowong. Serangkai takdir yang mempertemukan nasib, kelompok buku dan sistem yang baik, itulah nyawa sebuah kelab buku bergelar GRMY.

Mungkin ada benarnya

arwana - pulau perhentian

Abah
mungkin ada benarnya
mencintai bukit, hutan, dan sungai
lebih manis bermakna
daripada mencintai laut, pulau, dan ombak
kalau begini kisah kita?

Rintih sedampar pasir putih
tangisnya di pesisir samudera:
Tempat dahulu Tok Ayah mengumpul kelapa
dan mengimpi bertanam cengkih
semua sudah diperkosa

Abah
Kenapa tak boleh ada
pantai putih milik kita
mendeburkan ombak budaya kita
berlautkan jernih maruah
berlangitkan hakikat cinta?

Hati aku basah, Abah
dan aku merinduimu
bukit, hutan dan sungai yang kausuka
hari ini membebat luka di jantungku
yang pernah mendetak cinta
kepada laut, pulau, dan ombak.

Gombak, 5 Julai 2010

———————————————————————-

komen pak cik kob

Surat kepada Encik Montag

[sepucuk surat kepada Encik Montag, lelaki bomba yang insaf dalam Fahrenheit 451]

fahrenheit 451

Encik Montag, saya suka kamu!

Encik Montag,

Saya dapat tahu mengenai cerita Encik Montag semasa tengah mengarang cerita yang dirasakan sudah cukup kreatif dan bakal meletup. Tajuk tentatif yang saya beri; Boo-Koo-Foo-Bya. Cerita itu sudah masuk halaman ke-3! Tapi tiba-tiba saya google sana google sini, saya terjumpa cerita Encik Montag pula. Terus idea yang saya anggap kreatif sebelum ini, hangus – sehangus kertas buku, rumah dan manusia yang Encik Montag bakar sesuka hati dengan kerosin dari hos bomba Encik.

Encik Montag,

Kerjaya asal Encik itu, minta maaflah saya katakan secara jujur, saya tak suka langsung. Sebab semuanya sudah terbalik kuang. Saya pernah melawat balai bomba semasa sekolah rendah dahulu. Memang mereka hebat; berani melawan api. Tetapi Encik, Encik memang berhati besi karat. Encik mengobarkan api pula. Bukan sebarang api; api Encik dimaksudkan untuk membakar buku, membakar rumah yang menyimpan buku, malah membakar Orang Buku.

Apa boleh buat, mungkin itulah natijahnya Encik hidup di dunia yang porak-peranda seperti itu. Porak-peranda yang saya maksudkan, bukan kerana dunia Encik kurang dari segi kemodenan. Dunia Encik memang dunia paling moden dan ada kelas. Di mana saya boleh cari seekor anjing hijau lutsinar, yang boleh menyuntik racun berdasarkan cetusan kimia tubuh dan otak mangsa? Tentulah hanya di dunia Encik. Kalau ada di sini, tentu saya mahu beberapa ratus ekor, untuk hantar ke Palestin menyerang Zionis.

Encik Montag,

Di sebalik kebencian saya terhadap kerjaya Encik dan kegilaan Encik membakar buku, saya tahu jauh dalam nurani Encik, masih ada cahaya. Bukankah Encik masih boleh jatuh kasih dengan gadis berkulit putih susu itu. Siapa namanya ya? Saya pun sudah terlupa. Tapi bukan Encik sahaja sukakan gadis itu. Saya pun begitu. Terutamanya sebab dia memilih memesrai alam dan merenung kejadian, ketika isteri Encik asyik berhibur dengan hal remeh-temeh di skrin dinding yang moden. Dia orang eksentrik dalam dunia Encik, tapi saya suka orang eksentrik. Bagi saya orang eksentrik orang yang berani, bukan orang yang pelik. Kalau boleh saya mahu bertemu dengan dia juga di jalanan, saling bicara mengenai dandelion. Ada sebuah hadis Qudsi yang saya belajar masa remaja dahulu:

La ibadata ka at-tafkir

Tiada ibadat (yang lebih baik) sepertimana berfikir (merenung kejadian Allah)

Jadi Encik, kenapa saya tak boleh teruja untuk mengenali gadis putih susu itu?

Encik Montag,

Saya ada pendapat peribadi mengenai kegembiraan sebenar yang Encik cari-cari itu. Ketahuilah Encik, membakar buku dan Orang Buku bukanlah caranya untuk bahagia. Dalam agama saya, ilmu itu adalah cahaya; ilmu itu menerangkan antara yang hak dengan yang batil. Cahaya itulah yang membuat manusia bahagia. Apabila Encik membakar buku, Encik membakar ilmu. Jadi cahaya ilmu tak sempat sampai kepada manusia. Hati-hati manusia lebih banyak padam daripada bernyala, hingga akhirnya tak kenal lagi erti bahagia hakiki. Lihatlah akibat buruk terhadap tamadun Islam kami selepas khazanah buku Baghdad dibakar dan dihumban ke dalam Sungai Furat hingga airnya hitam kerana dakwat para ilmuwan. Selepas itu, kebangkitan kami tertunda. Keagungan kami hilang.

Encik Montag,

Saya sangat bersyukur waktu Encik beroleh keberanian untuk menentang resam dunia Encik. Saya sangat terharu waktu Encik kembali jatuh cinta dengan buku-buku. Tiba-tiba saya berasa seperti jatuh cinta pula dengan Encik. Tinggalkan sahaja isteri Encik yang sudah beku hati itu. Datanglah bertemu saya. Mari kita berkongsi rasa cinta terhadap buku. Buku memang mempunyai kuasa luar biasa seperti itu, Encik. Tidak hairan wanita tua itu sanggup mati dalam api bersama buku-bukunya. Encik boleh keliru pada awalnya, boleh ada dua pendapat atau dua rasa berperang dalam kepala atau jiwa, tetapi Encik akan menemui makna baru dalam hidup. Membaca selamanya penerokaan, ke dalam dan ke luar. Membaca menjadikan dunia Encik melewati segala sempadan. Saya gembira Encik berkenalan dengan Profesor itu; banyak sungguh mutiara ilmu yang beliau luahkan pada Encik. Sayang saya belum menemui seseorang yang boleh berbicara mengenai hakikat buku dan ilmu kepada saya dari hati ke hati seperti itu.

Encik Montag,

Surat saya sudah panjang, sudah patut sampai ke hujung. Alhamdulillah Encik selamat dari serangan anjing hijau lutsinar itu. Saya sanjung Encik kerana sanggup bertindak luar biasa. Encik hero saya. Encik juga suka pada sungai gelap yang seperti kasur empuk itu? Hati Encik sudah sebati semula dengan alam nampaknya. Seperti kata Rachel Carson dalam Silent Spring, kita hakikatnya sebahagian daripada alam, bukan sebahagian daripada bangunan yang kita ciptakan. Kita boleh hidup tanpa bangunan, tapi tak boleh hidup tanpa alam. Saya pun jadi ingin hidup di sepanjang landasan keretapi berkarat seperti Encik, bersama alam, bersama Orang-Orang Buku, mengelilingi unggun api dan mengingati isi buku. Terlebih advencerkah saya, Encik?

Apapun, hakikatnya saya tak mampu ke sana. Saya hanya mampu mendengar kisah Encik seperti dinukilkan Ray Bradbury. Selamat membangunkan semula dunia Encik yang hancur lebur. Izinkan saya meminjam falsafah Orang-Orang Buku itu; walaupun mereka banyak membaca, mereka tidak mahu menganggap diri mereka orang penting. Mereka sekadar membawa apa yang ada dalam buku-buku, dalam dada mereka, sebagai amanah untuk disampaikan sebagai suatu pilihan.

Walaupun gagal menyudahkan cerita harapan saya berjudul Boo-Koo-Foo-Bya itu, saya tidak berasa terlalu hampa lagi. Mengenali Encik sudah cukup menarik. Saya akan cari idea lain untuk cerita terbengkalai itu, atau cuba tulis cerita baru.

Terima kasih kerana sudi membaca surat saya. Sekali lagi saya katakan, Enciklah hero saya.

Salam hormat,
Peminat rahsia Encik.

PS: Saya mahu memohon pada institusi penterjemah negara saya supaya menterjemahkan kisah Encik Montag ini. Kisah Encik patut dibaca semua orang, supaya mereka jatuh cinta dengan buku.

————————————————————-

komen adah