ISTAC & pembekal yang pemurah

Suatu hari Puan Bos bertanya, “Awak tak bosan ke buat kerja yang sama sahaja?”

Saya segera berjujur, bermain dengan data jurnal & bahan bersiri sepanjang hari adakalanya membuat diri hampir tersengguk di depan komputer pada waktu jam biologi cuba merampas kuasa (biasanya sekitar jam tiga).

Komputer

Seronok menganalisa data, tetapi ruang meneroka dunia tetap perlu

Walaupun saya bukan dalam kategori yang mencintai kerja tepu komunikasi interpersonal, kerana personaliti saya menjurus INFP, tetapi peluang melawat ISTAC dan HQ pembekal memang peluang yang jarang dapat dirasai.

Lagi pula semuanya masih berkait buku dan buku!

ISTAC yang kini sebahagian daripada UIAM adalah institusi unik hasil pelaksanaan idea pendeta Syed Naquib al-Attas. Keistimewaan ISTAC bukan sahaja pada binaan yang beliau zahirkan daripada lakaran tangannya sendiri, tetapi berisi simbolisme yang tinggi.

Lakaran Syed Naquib

Syed Naquib Al-Attas melakar sendiri setiap seni bina yang akhirnya dizahirkan di ISTAC

Perpustakaannya juga sangat istimewa kerana memiliki koleksi artifak, manuskrip & peta lama dunia Islam, koleksi nadir dan koleksi sarjana Barat pengkaji Islam yang tidak akan didapati di mana-mana tempat lain. Salah satu koleksi buku nadirnya adalah buku Thomas Frognall Dibdin mengenai bibliofil. Terdapat juga peta Arab tua yang menunjukkan Semenanjung Malaysia dan kewujudan Melaka.

Lebih menarik lagi, sebuah buku berjudul ISTAC Illuminated telah ditulis untuk memberi gambaran jelas satu persatu mengenai makna di sebalik setiap ukiran dan seni bina bangunan itu. Buku itu telah saya buru selepas waktu makan di bankuet yang disifatkan oleh pustakawan dan staf ISTAC sebagai Dewan Harry Potter (memang ada suasananya, kalau dipindahkan lokasi filem Harry Potter ke ISTAC, nescaya filem itu tidak lari temanya!).

Istac Illuminated & Risalah Untuk Kaum Muslimin

Dua buku yang menyebabkan diri hampir ditinggal bas rombongan!

Sambil menunggu resit buku pertama dicetak, saya terlihat buku-buku lain Syed Naquib di rak. Saya terdorong membeli sebuah lagi buku yang semakin sukar dicari iaitu Risalah untuk Kaum Muslimin. Maka bermulalah sesi pujuk-memujuk. Rakan sekerja itu tidak dapat menjual naskhah yang satu-satunya masih berbalut dan dalam keadaan baik, kerana itulah satu-satunya yang ada untuk simpanan ISTAC. Saya reda memilih naskhah yang terkena air pada belikat buku itu di sebelah bawahnya, apatah lagi dengan harga modal sahaja.

Keesokannya, Puan meminta saya menemankan rakan kerja senior ke pejabat pembekal; atas jemputan mereka, supaya kami dapat meninjau sendiri bagaimana proses pengimportan jurnal dan bahan bersiri lain di buat, sehingga sampai ke pihak perpustakaan.

Memang pengalaman saya julung kali, terutamanya untuk tahu bagaimana sebuah syarikat sebegitu beroperasi. Selepas 40 tahun berkecimpung, mereka sudah mampu membeli satu aras bangunan di PJ dan mempunyai unit penerbitan dan penjualan, selain mengimport dan mengedar buku dan jurnal antarabangsa.

Pengalaman itu bertambah manis lagi bila Tuan M yang sangat pemurah itu telah membawa kami ke stor buku.  Kata pekerjanya, pilih sahaja mana yang mahu. Wah, segan sekali rasanya – apatah lagi tangan saya memang tak dapat menahan daripada menyambar 4 buah buku! Kalau boleh mahu satu kotak, tapi aduh! mana mahu letak muka selepas itu? Saya tawarkan diri untuk membayar, memikirkan tidak manis nafsu saya dibiar bermaharajalela di situ sebebasnya. Tetapi mereka menolak.

Akhirnya saya pulang dengan sekelumit rasa bersalah dan segunung rasa bahagia! Hanya Allah dapat membalas kebaikannya, seorang lelaki lebih separuh abad yang mempunyai wajah yang bersih dan gerak tangan yang hemat & berhalus.

MBRAS books

Buku-buku MBRAS yang sudah lama dicita-citakan.

Hati bibliofil mana yang tidak berbulan bintang apabila melalui dua hari pengalaman dengan buku, buku dan buku, begini? Saya berasa seperti berada di syurga mini!

Alhamdulillahi ‘ala ni’mah.

*Kemudian hari, saya baru tahu bahawa tawaran untuk mengambil buku-buku oleh pembekal itu boleh dikira sebagai rishwah, atau rasuah. Buku-buku itu sekarang masih belum dipulangkan. Mungkin saya patut membuat bayaran, supaya halal menjadi milik saya.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

4 Responses

  1. Saya juga punya seorang ayah angkat, yang begitu pemurah seperti pakcik separuh baya yang cik puan temui.

  2. Najibah A Bakar says:

    Jadi selalu dapat hadiah buku?

  3. Akmal says:

    Sy dah lama mencari buku risalah untuk kaum muslimin, blh cadangkan kedai atau tempt untuk membelinya

    • Najibah says:

      Reprint boleh dibeli dari IBFIM atau CASIS UTM sekarang. ISTAC sudah kehabisan stok lama. Harap maklumat ini membantu En. Akmal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com