Baca Perdana @ Tasik Shah Alam

tepitasik1

Ada apa dengan Baca Perdana?

Apa yang istimewa dengan membaca beramai-ramai di tepi sebuah tasik? Sijil Malaysia Book of Records? Udara nyaman dari alam? Khalayak yang seperti pesta?

Apa sekalipun sebabnya, saya memang paling girang hati 26 Jun lalu. Bukan selalu suami membenarkan saya turut serta dalam acara berkait buku pada hari minggu – padahal hati selalu menggebu-gebu mahu ikut serta setiap acara Baca@LRT, kursus-kursus percuma PTS, aktiviti atau bengkel sastera, kegiatan sukarelawan dan seumpamanya.

Malah lebih bererti lagi, hari itu juga adalah pertemuan pertama antara beberapa orang rakan-rakan Goodreads Malaysia iaitu Ulya, Khairul, Thamrong @ Pak Din dan Hamizao, setelah kira-kira dua tahun saling mengenali di dunia maya. Juliana Es yang juga ahli Goodreads Malaysia (dan sudah pernah saya temui beberapa kali), memang sudah sibuk berbulan-bulan lamanya kerana terlibat sebagai penganjur.

Walaupun saya tiba lewat sekali daripada rencana asal (kerana jadual anak dan suami perlu diutamakan), tetapi rakan Goodreads Malaysia yang tiba lebih awal telah membantu urusan pendaftaran serta menandakan tempat di Lot 35.

Sebaik tiba, suami, anak dan saya mencari kakak yang tiba lebih awal untuk membantunya mendaftar. Waktu itu orang sudah penuh di sekeliling tasik dengan bahan bacaan masing-masing. Saya terintai-intai Ulya dan Khairul, dua orang rakan Goodreads yang lebih awal, dan nampak salah seorang melambai kami.

tepitasik2

Para peserta MBSA

Oleh sebab orang sudah agak penuh di tempat mereka duduk, kami mengambil tempat di celah-celah peserta dari Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana di situ ada ruangan tikar yang masih kosong. Akhirnya Ulya dan Khairul pula yang berpindah berhampiran kami sekeluarga (maaf ya kalau telah menyukarkan). Ulya membaca menggunakan Sony Reader dan Khairul membaca buku Jasper Fforde.

Sejujurnya saya tidaklah membaca sangat, kerana tidak berasa selesa membaca dalam keadaan padat dengan manusia seperti itu. Fikiran saya tidak dapat difokuskan kepada isi buku dengan suasana yang julung kali berlaku dalam sejarah negara. Saya lebih suka memerhati gelagat orang dan menyerap semangat persekitaran.

bacaolok2

Cuba mencari fokus antara baris kata

Tetapi bila siren membaca dibunyikan pada jam 10, saya cuba juga mencari rentak antara baris kata-kata dalam buku The History of Reading yang dibawa. Saya hilang tumpuan berbanding membaca dalam kenderaan awam yang sesak, yang boleh saya buat, mungkin kerana kenderaan awam sudah sebati dengan jiwa dan menjadi rutin satu masa dulu.

gadismisteri

Kakak yang cuba jadi gadis misteri dengan buku saya

hotguyreading

Lelaki ‘panas’ sedang membaca (sila Google Hot Guys Reading)

Tidak sampai satu muka yang saya baca, anak saya mula bergerak ke sana sini, terutamanya ke arah tasik. Dia memang peminat air dan asyik meminta untuk berenang. Selepas suami membawanya mengambil Vico percuma, dia masih ingin ke birai tasik juga. Maka sesi membaca saya tak bererti lagi waktu itu, tamat lebih awal daripada orang lain. Saya menemankan dia di tepi tasik sehinggalah akhirnya bertemu Thamrong, Hamizao dan cucu mereka.

fatimahtasik

Menemani Fatimah yang cinta air

Tidak lama kemudian perarakan air Sultan dan Menteri Besar diiring pihak penganjur, dan sebaik sahaja perarakan hilang dari pandangan, suami pula terpaksa berkejar ke tempat kerja. Saya mengaku memang akan tewas menjaga anak saya yang cukup aktif tanpa suami, lalu bergegas mengemas barang dan bergerak pulang.

rajaberarak

Perarakan Sultan dan VVIP

Maka saya tidaklah sempat berbual panjang dengan Thamrong, Hamizao, Khairul dan Ulya. Tetapi apa sekalipun sebab yang menarik saya menghadirkan diri membaca di tepi tasik itu beramai-ramai, saya sudah ada kenangan manis beracara buku dan bertemu ramai pencinta buku, tak kira sejati mahupun bidan terjun.

goodreaders

En. Thamrong, Ulya & Pn. Hamizao

Mahu baca ulasan kritis Khairul mengenai acara Baca Perdana, di sana. Jangan percaya dengan wajah serius saya di blognya, saya tidak membaca, tapi beraksi untuk kamera.

Mahu nikmati foto-foto Baca Perdana yang lain, Bunnybaby @ Juliana sempat merakam lebih banyak peristiwa – di sana.

—————————————————–

komen

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

4 Responses

  1. Khairul H. says:

    “Saya mengaku memang akan tewas menjaga anak saya yang cukup aktif tanpa suami”

    Ya ke? Nampak senyap je anak Najibah. Takde buat perangai pun.

    • Najibah A Bakar says:

      Oh, ya ke? Selalunya orang akan kata sebaliknya, termasuk En. Thamrong baru ni. Kalau tak diawasi selalu, mahu dia masuk dalam tasik nanti.

  2. xara says:

    Wah, ramainya orang! Sabtu itu saya terpaksa mendahulukan kenduri kahwin rakan sepejabat. Apa pun, tahniah buat semua 🙂

    • Najibah A Bakar says:

      Memang ramai – penuh keliling tasik.

      InsyaAllah lain kali GRMy cari acara buku lain pulak untuk ikut serta, jangan terlepas 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com