Kerjaya di perpustakaan

toronto reference library

Pemandangan Aras 2 hingga 5 Perpustakaan Rujukan Toronto

Seorang teman maya di Goodreads Malaysia bertanya:

By the way, what do you do in the library? Do you just sit behind a computer and catalog books or do you actively help students (you deal mostly with students right?) find the books that they need?

Mulanya saya mahu menjawab mesejnya secara personal, tetapi oleh sebab seringkali mendengar pelbagai pertanyaan senada mengenai kerja di perpustakaan, saya fikir elok juga saya menulis entri khusus untuk sesiapa yang berminat untuk tahu.

Bagi bahagian pertama pertanyaan itu;  jawapannya adalah tidak. Seorang yang bekerja di perpustakaan tidak hanya duduk di komputer dan mengkatalog buku walaupun dia seorang pustakawan bahagian katalog di sesebuah perpustakaan akademik. Begitu juga pustakawan khidmat pembaca. Mereka tidak bergelumang dengan pertanyaan pelajar, pensyarah dan pengunjung luar sepanjang masa.

Antara tugas lain yang dipikul pustakawan atau petugas perpustakaan pada zaman kini adalah:

  1. Menjadi pengajar kelas celik maklumat untuk pelajar prasiswazah dan siswazah;
  2. Menjadi pemudah cara lawatan perpustakaan bagi prasiswazah dan siswazah baru serta pelawat luar;
  3. Menguruskan sistem repositori institusi secara usaha sama dengan pihak pentadbir dan fakulti;
  4. Mengagih belanjawan yang diperuntukkan oleh pihak pentadbir untuk perpustakaan;
  5. Merancang perkembangan perpustakaan berdasarkan belanjawan;
  6. Menghadiri seminar mengenai teknologi dan tahap profesionalisme mutakhir dalam bidang mereka;
  7. Melakukan kaji selidik untuk mengetahui tahap perkhidmatan perpustakaan;
  8. Menulis untuk jurnal-jurnal profesional bidang mereka;
  9. Mengadakan pameran berkenaan koleksi dan isu-isu tertentu yang penting;
  10. Menyelaras aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan bahan;
  11. Menghadiri kursus-kursus bina diri dan kemahiran;
  12. Bertemu dengan pihak fakulti atau pentadbiran universiti untuk menyelaraskan keperluan institusi dengan khidmat perpustakaan;
  13. Memastikan kemudahan perpustakaan terutama kemudahan IT berada pada tahap terbaik untuk kegunaan pengunjung;
  14. Ikut serta dalam audit dalaman dan audit luaran perpustakaan dan universiti;
  15. Dihantar oleh pentadbir perpustakaan untuk membuat pemilihan bahan perpustakaan di luar negara mengikut giliran – biasanya di pesta-pesta buku antarabangsa;
  16. Melaksanakan aktiviti promosi perpustakaan
  17. Terlibat dalam proses rundingan pemerolehan manuskrip atau bahan nadir untuk perpustakaan
  18. Menguasai kemahiran mencari maklumat daripada pangkalan data akademik dalam talian, terutama jurnal-jurnal serta bahan-bahan rujukan; dan
  19. Menguruskan hal-hal berkaitan pemilihan dan pemerolehan buku daripada pihak pembekal.

Kesemua tugasan tersebut bagaimana pun bergantung kepada jenis institusi atau organisasi tempat berkhidmat.

Hidup dalam dunia ledakan maklumat telah menambah cabang-cabang perkhidmatan yang boleh digeluti oleh mereka yang berpendidikan sains maklumat dan perpustakaan.

Mereka boleh jadi juga bertugas di bahagian rekod hospital, menjadi dokumentalis (document controller) di syarikat-syarikat nasional mahupun multinasional, menjadi pegawai pengurus maklumat di syarikat korporat dan lain-lain.

Bagi  pertanyaan bahagian kedua, hakikatnya bukan hanya buku yang biasanya diperlukan oleh pencari maklumat zaman kini.

Secara ekstensif, petugas perpustakaan biasanya mencari bahan berdasarkan keperluan para penyelidik – misalnya ‘saya mencari bahan mengenai etika kerja’, ‘kami mencari bahan mengenai konfrontasi Malaysia-Indonesia’, ‘saya mencari bahan mengenai pilihan raya Malaysia ke-12’, dan seumpamanya.

Keperluan maklumat mereka paling kurang akan merangkumi bahan-bahan dalam katalog utama dan pangkalan data elektronik, termasuk akhbar, majalah, jurnal, mikrofilem, mikrofiche, multimedia dan lain-lain.

Namun begitu, kepakaran seseorang pustakawan atau mereka yang bekerja di perpustakaan banyak bergantung kepada minat dan tumpuan masing-masing terhadap bidang yang istimewa ini.

Sama seperti seorang pereka laman web yang mencintai bidangnya dapat menghasilkan laman yang tinggi nilai artistik, mudah dilayari serta bagus SEOnya, berbanding pereka laman biasa yang mencedok dari pereka lain untuk memudahkan tugasnya.

Sama seperti seorang pekerja akaun yang tidak kisah menjadi eksekutif akaun sepanjang hayatnya, tanpa perasaan ingin menjadi akauntan bertauliah dengan memiliki ACCA atau CIMA.

Sama seperti seorang doktor yang berasa memadai dengan membuka cawangan demi cawangan klinik tanpa cita-cita menjadi doktor pakar.

Menjadi pustakawan sejati memerlukan kecintaan luar biasa kepada bidang ini; dan hanya dengan itu sahaja mereka dapat menjadi tokoh zaman seperti Magliabechi dan Martin Lings atau melangkaui bidang kepustakawanannya seperti Prof. Ding Choo Ming dan Prof. Shaharom TM Sulaiman.

Artikel Kerjaya Pustakawan: Antara Persepsi Stereotaip dan Realiti oleh Harith Faruqi Sidek, bekas ketua bahagian Koleksi Arkib, Galeri dan Khas, PTSL UKM mungkin boleh menambah jelas lagi mengenai stigma kerjaya pustakawan.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

9 Responses

  1. Khairul H. says:

    Eh, itu soalan saya kan? Patutlah macam pernah baca je 🙂
    Oh, itu rupanya tugas pustakawan zaman kini. Berbeza sungguh dari stereotaipnya.

  2. gdiz says:

    thanks for this artikel. Dapat sedikit ilmu baru hari ni 🙂

  3. isma says:

    ” sekadar pemerhatian saya sebagai ‘orang dalam’ bolehlah dikongsi.”…: )

  4. Najibah A Bakar says:

    Khairul, begitulah adanya.

    Gdiz, semoga bermanfaat.

    Isma, *sedang kipas hati – ada asap keluar, mujur tak banyak* 🙂

  5. Harisom says:

    Salaam, saya sudah lama follow Najibah di Bukuria, cuma kali rasa nk share info. Saya 100% setuju dgn artikel ini. Itu lah kerja saya di perpustakaan akademik. Selama saya kerja saya pernah ditempatkan di Seksyen Cataloguing (bukan katalog avon yaa), Seksyen Perkhidmatan Pelanggan dan Seksyen Perolehan but at the same time saya perlu mahir dengan online database purchasing and usage, sistem automasi perpustakaan, digitazion, perlu tahu ttg  preservation bhn perpustakaan, pentadbiran organisasi spt bajet, penjawatan, sistem kualiti perpustakaan (ISO)  dan 1001 kerja yang lain. Itu belum masuk menahan sabar bila ada some academician yang menganggap kami slave kepada mereka, huk3. Again, thank you for the article, its really make me relieve from pain.

    • Najibah A Bakar says:

      Pn Harisom, terima kasih sudi mengikuti perjalanan blog ini. Setiap kerjaya dengan cabaran masing-masing. Begitulah cabaran kita di perpustakaan.

  6. Nur Afidah says:

    Pn. Najibah, terima kasih untuk artikel ini. Dulu saya ingat kerja pustakawan ni mudah saja. Duduk di kaunter dan uruskan hal peminjaman dan pemulangan buku. Rupanya pustakawan masa kini skop kerjanya lebih dari itu =)

    • Najibah says:

      Nur Afidah, terima kasih sudi membaca. Tapi hakikatnya masih banyak kekurangan kerjaya pustakawan yang perlu ditambah baik, terutama dari sudut keilmuan. Buat masa sekarang ia menjurus kepada hal-hal teknikal, manakala secara peribadi saya rasa bidang pustakawan lebih patut dikembang ke arah bidang kerjaya kurator, atau pustakawan-sarjana, yang tugasnya menggali khazanah ilmu yang ada dalam jagaan mereka dan dipromosikan kepada orang luar. Inilah tugas pustakawan sebenar dalam kerangka sejarah Islam pada zaman gemilang kita.

  7. syikin says:

    pertama kali sy membaca entri di blog ini..xsangka sgt lengkap penerangan yg diberi..
    terima kasih di atas maklumat yg sgt berguna

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com