Hari-hari Terakhir Seorang Seniman

Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Anwar Ridhwan

Pak Hassan, seniman tua

Judul: Hari-hari Terakhir Seorang Seniman
Pengarang: Anwar Ridhwan
Tahun: c1976, 2009
Penerbit: Dewan Bahasa & Pustaka

Lima hari lalu, saya baru pulang dari sebuah kampung permai. Lelaki, wanita dan kanak-kanaknya hidup gotong-royong bergantungkan musim; musim Barat Daya dan Timur Laut. Juga musim bersawah dan musim tak bersawah. Tiada pengaruh konsumerisme yang menyesakkan dada. Mereka bergerak seiring dengan alam. Waktu alam mengizinkan mereka bertanam padi dan menuai, mereka menurut. Waktu alam mendesak mereka berhenti, mereka berehat dengan menjala. Malam-malam mereka diisi sembahyang dan zikir di surau. Pada hari-hari kebesaran Islam mereka sepakat berehat – menghidupkannya dengan majlis kecil tetapi mesra dan erat.

Saya hadiri pengebumian lelaki seniman itu di sana. Tujuh belas tahun sebelum itu, beliau singgah di kampung permai bertiga dengan isteri dan anak, dalam suasana damai. Ketika beliau pergi, hatinya berada di kemuncak sunyi dan hampa, dalam gawat perang. Ini rupanya bahana cintanya memilih rebana bertali tiga, berbanding pusaka tanah sawah. Ini bahana kasihnya menjalani hidup sebagai tukang cerita, tok selampit yang mengalun hikayat bangsa.

Ketika mula-mula berkenalan dengan Pak Hassan, saya mengikuti jejak tuanya berteman tongkat di denai kecil bersemak, menuju kuburan isterinya Selamah. Sudah lama kedua-dua insan penuh cinta itu berpisah hidup. Saya mengupingi rintihnya di sisi kubur, berharap agar beliau dapat melaksanakan wasiat terakhir si isteri, menjaga anak-anaknya Senah dan Mat Junuh sehingga bertemu jalan hidup masing-masing yang manis.

Saya kasihan memikirkan nasib arwah Selamah. Andainya dia hidup pada masa kini, tentu dia sudah dapat dibawa ke hospital dan dibedah supaya selamat. Tetapi itulah acuan hidup masa dahulu, kurang pada kemudahan, lebih pada keikhlasan dan kemurnian. Tautan rasa kasih begitu dalam waktu seluruh kampung menangisi pemergian seorang wanita yang bukan siapa-siapa, cuma isteri tukang cerita yang tak berkerjaya, tak berpendidikan, tak berdatuk atau berdatin.

Kemudian saya singgah ke rumah Pak Hassan. Sambil duduk bersandar pada dinding tua rumah Pak Hassan yang telah dibina gotong-royong oleh orang kampung lama dahulu, saya tumpang seronok mendengar alunan hikayatnya, sesekali berhias lagu syair. Para penduduk kampung permai itu sangat menyenangi kehadiran Pak Hassan kerana cerita-ceritanya itulah.

Entahlah, kalau saya boleh mengajak Pak Hassan datang sebentar ke masa kini, saya tidak pasti, apakah saya akan ada masa untuk bersandar setenang itu ke dinding rumah sendiri, dan mengajak teman-teman mengelilingi Pak Hassan menikmati cerita-cerita lama. Dunia sudah terlalu sibuk dan penuh tuntutan. Jarak yang dekat sudah menjadi jauh, masa yang panjang sudah menjadi singkat. Semuanya harus cepat.

Saya khuatir, kalau Pak Hassan ada di sini sekarang, saya akan menganggap kehadirannya sambil lewa; tetap mengutamakan Facebook, tempat bersua paling ringkas dan santai bagi teman-teman seusia, sekerjaya, seangkatan dan sepunya minat.

Kalau Pak Hassan mahu popular, dia patut muat naik videonya ke YouTube dan pautkan ke dinding Facebook. Saya mungkin tak berkesempatan pun untuk singgah ke terataknya di hujung desa untuk mendengar cerita, melainkan saya seorang sarjana penyelidik berkenaan tukang cerita dan peranannya dalam masyarakat.

Sudah tentu tak mungkin untuk saya mengajak Pak Hassan ke dunia kita, namun saya cuba menghargai watak-watak yang diceritakan Pak Hassan dalam penjelajahan singkat ke dunianya. Watak-watak itu tidak mungkin lagi mengambil tempat di masyarakat hari ini – tetapi jelmaan mereka tetap muncul dan wujud dalam rupa baru.

Dahulu mereka putera-puteri yang mewakili kebaikan dan kejahatan, hidup di istana-istana silam, meredah hutan rimba dan berperang merebut kuasa. Hari ini mereka mungkin memakai baju ahli politik, saintis, pegawai kerajaan, rakyat bawahan dan ramai lagi kelompok manusia baru yang tidak ada pada zaman Melayu purba. Sesungguhnya saripati jiwa manusia tetap abadi, sama seperti kali pertama Allah mencipta!

Namun kedatangan teknologi baru, perang dan Jepun pada tahun-tahun 40-an itu, telah mengasak hidup Pak Hassan, anak-anaknya dan kampung permai itu. Kanak-kanak dan pemuda mula meminggiri dunia tukang cerita. Sebagai ganti, ada radio yang boleh bercerita dan berlagu untuk mereka 24 jam tanpa rehat. Anak-anak Pak Hassan meninggalkannya seorang demi seorang dek kebuasan manusia berhati binatang.

Tak ada impian yang tinggal bagi seorang tua yang hampa dan sunyi sepertinya, kecuali mimpi dari hikayat yang telah diulangnya entah berapa ribu kali sepanjang hidup. Itulah penerus nafasnya sehari-hari. Akhirnya saya terpaksa beredar dari kampung permai, serentak dengan Ramli dan Aziz meninggalkan kuburan; kedua-dua beranak telah banyak berjasa kepada si tukang cerita.

Kalau kalian ada waktu lapang, lawatilah kampung permai itu seketika, jenguklah Pak Hassan, fahamilah perjuangannya, dan hayati hari-hari akhirnya.

Masa sudah beredar, dunia sudah berubah; ada sisi hidup yang menjadi kian baik atau kian buruk, tetapi suasana desa tempat peradaban Melayu bermula, yang tersimpan antara dua helaian kulit novel sasterawan negara ini, akhirnya membenarkan sebuah perjalanan kembali melawat akal budi, akar budaya dan psikologi bangsa. Di sana ada jawapan bagi banyak hal, kalau kita sudi menggali dengan lebih bersungguh-sungguh lagi.

——————————————————————————————————————————–

Saranan aktiviti fizikal berasaskan buku ini:

  1. Jejaki mana-mana tukang cerita yang masih hidup dan habiskan masa selama seminggu (sebulan, setahun – kalau anda sanggup bercuti selama itu) untuk mendengar hikayat-hikayat darinya.
  2. Jika tiada lagi tukang cerita yang masih hidup, boleh tanyakan di perpustakaan-perpustakaan utama jika ada VCD/DVD rakaman tukang cerita mengalun hikayat.
  3. Turun ke sawah padi, atau cuba aktiviti menjala ikan seperti yang dilakukan penduduk kampung permai.
  4. Tinggalkan pengajian/kerjaya seketika, mulakan kembara sebagai tukang cerita :)

Program Bright Sparks Universiti Malaya

Percik ilmu, terangi gelap

Universiti Malaya membuka program baru untuk merekrut para penyelidik kelas pertama, dikenali sebagai Bright Sparks Program (BSP). Ini seiring dengan rancangan kerajaan untuk menjadikan UM sebagai universiti penyelidikan ulung negara ini.

UM telah lama menyediakan kursus sains maklumat dan perpustakaan pada peringkat sarjana dan PhD. Bagi para pustakawan yang ingin beralih ke bidang akademik, mungkin program ini adalah lebuhraya ke arah cita-cita itu.

Bagi yang telah memiliki sarjana, antara syarat yang perlu dipenuhi adalah memiliki sekurang-kurangnya dua artikel yang telah terbit dalam mana-mana jurnal yang diindeks oleh ISI.

Berikut adalah antara jurnal-jurnal yang diindeks ISI itu:

  1. Library Journal (Academic Source Premier & ProQuest)
  2. Library Collections, Acquistions & Technical Services
  3. Library Quarterly
  4. Library Trends (Proquest, embargo 1 year)
  5. Library & Information Science Research (Science Direct)
  6. Library Resources & Technical Services (Expanded Academic ASAP & Academic Source Premier)
  7. Library Hi-Tech (Emerald Insight)
  8. Library & Information Science
  9. Information Research (open-access)
  10. Information Development
  11. Information Society (Business Source Complete, embargo 1 year)
  12. Book Collector

Selamat menyelidik, menulis dan memburu impian!

Maklumat lebih lanjut mengenai BSP boleh dirujuk di sini.

Things I’ve Been Silent About: Memories (Azar Nafisi)

Nafisi, Things I've Been Silent About

Memoir kedua Nafisi selepas Reading Lolita in Tehran

Judul: Things I’ve Been Silent About: Memories
Pengarang: Azar Nafisi
Penerbit: William Heinemann Ltd
Tahun: 2009
ISBN: 0434014044

Buku ini ada dua kisah selari: pertama, sejarah Iran sekitar 1950-1997 (zaman Shah hingga zaman Revolusi Islam), dan kedua, sejarah keluarga Azar Nafisi.

Azar Nafisi adalah seorang profesor kesusasteraan Inggeris asal Iran. Selepas mengajar di beberapa buah universiti di Iran, akhirnya beliau berhijrah ke Washington, D.C. untuk memenuhi undangan kerusi felo di Universiti John Hopkins.

Buku beliau yang mendapat sambutan sebelum ini adalah Reading Lolita in Tehran.

Tidak dinafikan, Nafisi mampu menulis dengan lenggok bahasa yang cantik. Ini membuatkan saya terbuai dengan kisah hidupnya, meskipun secara peribadi dan prinsip, saya tidaklah terlalu gemar dengan sikap buka-buka cerita peribadi yang mengaibkan, apatah lagi orang yang telah tiada itu adalah ibu dan ayah kita sendiri.

Walau bagaimanapun, banyak yang boleh diambil iktibar dari kehidupan Nafisi dalam keluarga elit pertengahan keturunan raja Qajar yang salah seorang tokoh keluarga adalah Ibnu Nafis, ahli perubatan Islam. Antaranya adalah cara keluarga menjalinkan tali kukuh antara anak dengan kebudayaan bangsa; tak lain tak bukan melalui buku-buku klasik Shahnameh, Vis and Ramin, syair-syair Rumi dan Hafez.

Manakala dari hal sejarah Iran, antara tujuan yang berjaya dipenuhi oleh buku ini, adalah bayangan kehidupan di bawah Republik Islam Iran dari kaca mata Muslim moderat atau liberal (yang menganggap tidak bertudung, minum-minum dan seumpamanya sebagai hak asasi manusia).

Selama ini saya hanya membaca Iran dari kaca mata pendokong revolusi, jadi buku ini sebagai satu kepingan susun suai (jigsaw puzzle) yang melengkapkan lagi gambaran saya tentang Iran selepas Revolusi Iran dan Travelog Iran: Menyingkap Misteri Bumi Ahmadinejad.

Mungkin tidak salah mengatakan begini: apa-apa jenis pemerintahan pun nampaknya tidak dapat lari dari menggunakan penjara dan menumpahkan darah apabila mahu mengukuhkan pemerintahannya, walau sesuci dan semanis mana pun ideologi yang dicanang – jadi pilihan bukan sepatutnya didasarkan pada anti-penjara / anti-darah bila berdepan dengan penentang, tetapi prinsip keadilan sosial yang bakal menunjangi hidup para pendokong dan para simpatisannya selepas dan semasa pemerintahan itu berlangsung?

Masih terlalu banyak falsafah perlu direnung, dan buku ini bukan penamat dan pemuktamad untuk sebuah persoalan sebesar kenegaraan.

Kerjaya di perpustakaan

toronto reference library

Pemandangan Aras 2 hingga 5 Perpustakaan Rujukan Toronto

Seorang teman maya di Goodreads Malaysia bertanya:

By the way, what do you do in the library? Do you just sit behind a computer and catalog books or do you actively help students (you deal mostly with students right?) find the books that they need?

Mulanya saya mahu menjawab mesejnya secara personal, tetapi oleh sebab seringkali mendengar pelbagai pertanyaan senada mengenai kerja di perpustakaan, saya fikir elok juga saya menulis entri khusus untuk sesiapa yang berminat untuk tahu.

Saya mungkin belum lagi  berjaya meraih gelar pustakawan penuh sejak mendapat tauliah kepakaran tersebut dari tempat pengajian, namun sekadar pemerhatian saya sebagai ‘orang dalam’ bolehlah dikongsi.

Bagi bahagian pertama pertanyaan itu;  jawapannya adalah tidak. Seorang yang bekerja di perpustakaan tidak hanya duduk di komputer dan mengkatalog buku walaupun dia seorang pustakawan bahagian katalog di sesebuah perpustakaan akademik. Begitu juga pustakawan khidmat pembaca. Mereka tidak bergelumang dengan pertanyaan pelajar, pensyarah dan pengunjung luar sepanjang masa.

Antara tugas lain yang dipikul pustakawan atau petugas perpustakaan pada zaman kini adalah:

  1. Menjadi pengajar kelas celik maklumat untuk pelajar prasiswazah dan siswazah;
  2. Menjadi pemudah cara lawatan perpustakaan bagi prasiswazah dan siswazah baru serta pelawat luar;
  3. Menguruskan sistem repositori institusi secara usaha sama dengan pihak pentadbir dan fakulti;
  4. Mengagih belanjawan yang diperuntukkan oleh pihak pentadbir untuk perpustakaan;
  5. Merancang perkembangan perpustakaan berdasarkan belanjawan;
  6. Menghadiri seminar mengenai teknologi dan tahap profesionalisme mutakhir dalam bidang mereka;
  7. Melakukan kaji selidik untuk mengetahui tahap perkhidmatan perpustakaan;
  8. Menulis untuk jurnal-jurnal profesional bidang mereka;
  9. Mengadakan pameran berkenaan koleksi dan isu-isu tertentu yang penting;
  10. Menyelaras aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan bahan;
  11. Menghadiri kursus-kursus bina diri dan kemahiran;
  12. Bertemu dengan pihak fakulti atau pentadbiran universiti untuk menyelaraskan keperluan institusi dengan khidmat perpustakaan;
  13. Memastikan kemudahan perpustakaan terutama kemudahan IT berada pada tahap terbaik untuk kegunaan pengunjung;
  14. Ikut serta dalam audit dalaman dan audit luaran perpustakaan dan universiti;
  15. Dihantar oleh pentadbir perpustakaan untuk membuat pemilihan bahan perpustakaan di luar negara mengikut giliran – biasanya di pesta-pesta buku antarabangsa;
  16. Melaksanakan aktiviti promosi perpustakaan; dan
  17. Terlibat dalam proses rundingan pemerolehan manuskrip atau bahan nadir untuk perpustakaan.

Kesemua tugasan tersebut bagaimana pun bergantung kepada jenis institusi atau organisasi tempat berkhidmat.

Hidup dalam dunia ledakan maklumat telah menambah cabang-cabang perkhidmatan yang boleh digeluti oleh mereka yang berpendidikan sains maklumat dan perpustakaan.

Mereka boleh jadi juga bertugas di bahagian rekod hospital, menjadi dokumentalis (document controller) di syarikat-syarikat nasional mahupun multinasional, menjadi pegawai pengurus maklumat di syarikat korporat dan lain-lain.

Bagi  pertanyaan bahagian kedua, hakikatnya bukan hanya buku yang biasanya diperlukan oleh pencari maklumat zaman kini.

Secara ekstensif, petugas perpustakaan biasanya mencari bahan berdasarkan keperluan para penyelidik – misalnya ‘saya mencari bahan mengenai etika kerja’, ‘kami mencari bahan mengenai konfrontasi Malaysia-Indonesia’, ‘saya mencari bahan mengenai pilihan raya Malaysia ke-12′, dan seumpamanya.

Keperluan maklumat mereka paling kurang akan merangkumi bahan-bahan dalam katalog utama dan pangkalan data elektronik, termasuk akhbar, majalah, jurnal, mikrofilem, mikrofiche, multimedia dan lain-lain.

Namun begitu, kepakaran seseorang pustakawan atau mereka yang bekerja di perpustakaan banyak bergantung kepada minat dan tumpuan masing-masing terhadap bidang yang istimewa ini.

Sama seperti seorang pereka laman web yang mencintai bidangnya dapat menghasilkan laman yang tinggi nilai artistik, mudah dilayari serta bagus SEOnya, berbanding pereka laman biasa yang mencedok dari pereka lain untuk memudahkan tugasnya.

Sama seperti seorang pekerja akaun yang tidak kisah menjadi eksekutif akaun sepanjang hayatnya, tanpa perasaan ingin menjadi akauntan bertauliah dengan memiliki ACCA atau CIMA.

Sama seperti seorang doktor yang berasa memadai dengan membuka cawangan demi cawangan klinik tanpa cita-cita menjadi doktor pakar.

Menjadi pustakawan sejati memerlukan kecintaan luar biasa kepada bidang ini; dan hanya dengan itu sahaja mereka dapat menjadi tokoh zaman seperti Magliabechi dan Martin Lings atau melangkaui bidang kepustakawanannya seperti Prof. Ding Choo Ming dan Prof. Shaharom TM Sulaiman.

Artikel Kerjaya Pustakawan: Antara Persepsi Stereotaip dan Realiti oleh Harith Faruqi Sidek, bekas ketua bahagian Koleksi Arkib, Galeri dan Khas, PTSL UKM mungkin boleh menambah jelas lagi mengenai stigma kerjaya pustakawan.