Kumpulan Cerpen: Menanti Buraq

Menanti Buraq Marsli N.O.

Dunia yang dicipta Marsli N.O. mampu  menjungkirbalikkan minda

Judul: Kumpulan Cerpen Menanti Buraq
Pengarang: Marsli N.O.
Tahun: c2008, 2009
ISBN: 9789836298096
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Halaman: 279

Sewaktu menerima buku Kumpulan Cerpen: Menanti Buraq awal April lepas, saya memang gembira; malah terlalu. Apa tidaknya, buku ini hadiah dari Marsli N.O. yang sejak remaja saya lekatkan sajaknya ‘Negeri Ini, Anak‘ ke dalam buku catatan peribadi. Walaupun ini hadiah bersyarat kerana perlu meresensi, tetapi perasaan memilikinya berbeza berbanding yang dibeli. Ada sentuhan insaniah. Tautan rasa yang manis terhadap si pengarang yang berbudi.

“Selamat membaca dunia jungkir balik dari pengarang yang selalu ingin melawan”, catat Marsli N.O. di dalam. Bersahaja, tetapi  ada bisa dan mengundang tanda tanya. Blurb di belakang pula menyebut mengenai pendekatan psikoanalisis. Freud ahli psikologi Yahudi itu segera terbayang di depan mata. Saya jadi tidak sabar mahu menikmati 27 buah cerpen dalam Menanti Buraq secepatnya, secepat Bila Allah Menduga Kita. Supaya dengan itu juga hutang resensi saya dengan Pak Marsli dapat segera langsai.

Tetapi telahan ‘membaca secepatnya’ itu kesasar. Sebermula kembara saya menyelami dunia jungkir balik dan psikoanalisis yang dicipta Marsli N.O., saya perlahan-lahan sedar Menanti Buraq bukan buku yang boleh dihadam sekelip mata jika benar-benar mahu menanggapi inti maknanya. Bukan kerana bahasa. Tiada kata-kata bombastik dan sukar sengaja diselit seperti dalam sesetengah karya sastera. Bahasanya sangat santai, straight-forward dan sederhana. Tetapi cabarannya adalah kerana kita harus ikut berjungkir balik dalam segala peristiwa luar biasa dan di luar lojik akal yang dihidangkan. Banyak kali saya terpaksa mendesak realiti agar bubar sebentar untuk merasai apa yang dialami watak-watak.

Gambaran lebih tepat hanya dapat diberikan oleh dunia kata-kata Marsli N.O. sendiri, contohnya dalam cerpen Mahkota (1991):

Juak Kedua mengumpul seluruh tenaganya dan mula mencabut salah satu uban.

“Aduh!” Terdengar dia memekik.

“Dan, pada detik yang sama, darah memancut-mancut keluar daripada liang uban….

Dalam cerpen-cerpen seterusnya, Marsli N.O. terus-terusan bermain dengan gambaran seperti ini, menggegarkan realiti dunia normal kita:

Mulut? Mata? Telinga? Kenapakah kalian berada di sini?

“Kami lari dari mereka.”

“Kenapa?”

“Sebagai tanda protes kami.”

(Sesuatu, 1991)

“Baiklah. Akan segera saya buktikan,” katanya dan mencapai pisau…. Perlahan-lahan dia mulai menghiris-hiris daging pahanya sendiri, sepotong demi sepotong….

(Makan, 1993)

Betapa anehnya dunia yang dihidangkan pengarang ini!

Sejujurnya saya bukanlah penggemar sejati cereka berdarah, ngeri dan absurd (terlalu maskulin!), tetapi setelah makna yang lebih dalam perlahan-lahan  menjelma, saya berasa terhibur dan barangkali boleh juga dikata lega – kerana imej-imej yang dihantar bukanlah semata-mata mahu bercerita, berseni dan berteka-teki dengan pembaca, tetapi menyedarkan mengenai pelbagai situasi tidak adil, bejat, khianat, tanggungjawab moral serta segala macam lagi yang sedang mengganggu-gugat ketenteraman rohani manusia. Oleh sebab pelbagai derita rohani,  watak-watak dalam dunia cereka Marsli N.O. akhirnya berkomunikasi dengan diri sendiri secara bawah sedar; menyatakan perlawanan masing-masing untuk bebas dari beban tanggungan emosi itu. Kebebasan secara luar biasa dan luar jangka inilah yang sangat melegakan dan menghiburkan.

Hampir semua kisah yang dihidangkan dalam Menanti Buraq sangat mengesankan bagi saya, terutama sekali kerana imej-imej yang tercipta dari kata-kata Marsli N.O. adalah imej-imej yang asing, baru, aneh dan menyentak diri. Sesuatu, yang mengisahkan mulut, mata dan telinga lari daripada manusia; Kaki, yang menceritakan mengenai seorang bekas pemimpin yang kehilangan kaki kanan yang akhirnya ditemui semula di suatu tempat yang paling tak terjangka; manusia yang kehilangan otak dalam Dia dan Dia-Dia, suami yang sanggup menggadaikan anggota badannya yang paling mulia bagi orang Melayu demi secebis daging rusa dalam Habuan, atau pemimpin yang mengempis badannya lalu tersadai di lantai akibat dicucuk oleh si bahlul dan si keparat dalam Kosong; semuanya menuntut fikiran bekerja lebih keras mencari jawapan. Adakalanya membaca kisah-kisah itu seperti mengerjakan teka-teki; jika anda penggemar teka-teki, mungkin buku ini akan terasa lebih akrab.

Sampai di akhir juga, saya jadi mengerti, apa yang dimaksudkan dengan Marsli N.O. bahawa beliau adalah seorang ‘penulis yang selalu ingin melawan’. Betapa banyak perlawanan yang diangkat Marsli N.O. dalam watak-watak cerekanya, tidak kira watak itu adalah watak biasa, atau watak absurd yang cuma dapat berkuasa dalam dunia absurd juga. Tetapi benar, saya percaya setiap manusia (dan bukan hanya pengarang) harus kekal menjadi pelawan sepanjang hidup duniawinya. Setiap detik adalah perlawanan; dengan nafsu diri, dengan tekanan sosial, dengan ketidakadilan-rasuah-kebejatan moral-pengkhianatan. Setiap kita harus menjadi pelawan itu. Hingga akhir masa.

Menanti Buraq juga membuat saya teringatkan Kasut Biru Rubina. Jika Kasut Biru Rubina menghidangkan dunia absurd dengan imej-imej Barat seperti unikorn dan lain-lain, dunia absurd Marsli N.O. pula memberikan imej-imej yang lebih berbudaya tempatan atau neutral. Apa yang dulunya saya anggap hidangan di luar kotak daripada Kasut Biru Rubina, rupa-rupanya tidaklah terlalu baru selepas membaca Menanti Buraq (sekurang-kurangnya di Malaysia). Mungkin pakej Kasut Biru Rubina hanya lebih muda, segar dan hedonis, manakala bingkisan Marsli N.O. lebih bernada dewasa, matang dan menasihati.

Ringkas kata, Menanti Buraq sememangnya mengajak pembaca mengunjungi sebuah dunia asing yang tidak mungkin dapat dialami secara realiti – semuanya berada dalam dimensi bawah sedar yang digeluti pengarang bernama Marsli N.O. Sifatnya yang menghibur dengan bahasa yang tidak memberatkan membuatkan kita tidak terasa bahawa cerpen-cerpennya mampu menyedut tenaga fikir kita. Tidak hairan sama sekali kumpulan cerpen ini sudah dicetak ulang kali kedua selepas setahun diterbitkan. Hidangan nikmat teka-teki perlawanan rohani. Ada kepuasan tersendiri.

———————————————————————————————————————————-

Riwayat hidup pengarang dan Menanti Buraq boleh didapati melalui blog Marsli N.O.

Marsli N.O. juga telah mempunyai dua buah buku terbaru iaitu Kumpulan Cerpen Politikus, Badut dan Sebuah Cermin (2009) serta Kumpulan Sajak Di Negeri Mabok (2010).

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

3 Responses

  1. Marsli N.O says:

    Terima kasih kerana sudi membaca dan memberikan reaksi Sdr terhadap Menanti Buraq. Saya belajar sesuatu dari tulisan Sdr.

    • Najibah A Bakar says:

      Pak Marsli, terima kasih juga sebab hadiahkan buku itu. Gembira dapat baca kumpulan cerpen tersebut dan selesaikan resensinya – Menanti Buraq agak mencabar kerana bukan jenis cerpen yang selalu saya pilih untuk baca. Sekurang-kurangnya saya berjaya menghabiskannya walaupun cerita-ceritanya ngeri macam siri X-Files 🙂

  2. Saya sangat setuju apa yang menjadi pemikiran anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com