Apabila anak bertanya mengenai si bayi malang

pemikir_april

Jurnal Pemikir (April-Julai 2010)

Jalan sebak waktu petang sepulang dari kerja sudah perkara biasa. Acapkali saya bunuh rasa bosan menunggu trafik beranjak dengan membaca secara skimming. Hari itu, saya membelek Pemikir (April-Julai 2010).

Pada kulit Pemikir ada foto si bayi malang yang badannya separa hangus terbakar – dan di dalamnya ada sorotan mengenai isu sosial kelahiran luar nikah (atau hakikatnya bagi Muslim; isu zina, isu bunuh, isu dakwah, isu fiqh, isu hudud!), yang disentuh oleh Yohan Kurniawan dengan segala fakta dan statistik yang menggerunkan seorang ibu yang punya anak perempuan seperti saya (moga-moga Allah melindungi kita dan keturunan kita dari ujian seperti itu).

Ketika jujukan kereta kembali bergerak, Pemikir itu saya damparkan atas dashboard hingga sampai di taman asuhan untuk menjemput anak. Betul-betul saya terlupa, sehinggalah tangan kecil anak saya mengambil jurnal itu. Tetapi waktu itu saya sudah terlambat, apatah lagi tangan sedang berjuang dengan stereng.

Bagi anak empat tahun yang baru belajar kenal huruf, fotolah yang lebih cepat mesra di matanya. Bagi anak empat tahun, mungkin ada naluri yang menyentak insaniahnya kala foto ngeri itu dijamah mata.

Terlalu menyayat hati untuk ditatap

“Ummi, gambar apa ni Ummi?” Tanyanya dengan mata bulat ditakungi kerisauan.

Saya terdiam, tergagap mahu menjawab.

Selepas hmmm, hmmm beberapa kali, mencari dalih, saya melihat sekilas anak matanya yang beriak hairan + terkejut.

“Gambar kucing tu.”

“Ini bukan kucing ni Ummi. Ini tangan ni.”

“Yalah, tangan kucinglah tu.”

“Kenapa tangan dia macam tu? Kena apa Ummi?”

“Kucing tu jatuh bumbung.”

Dan dia membuat suara kecil rengekan, sedih dan tidak puas hati. Berkali-kali selepas itu dia masih bertanya, bagaimana itu boleh terjadi.

————————————————————————————————————————————-

Saya masih tidak pasti, apakah itu jawapan terbaik yang patut saya berikan kepada seorang anak yang sedang mengenal dunia. Tetapi saya tidak sanggup memberitahunya hakikat yang telah menimpa si bayi malang; sama seperti ketika dia melihat wajah bayi yang dipenuhi luka gigitan semut di seluruh muka di kaca televisyen suatu malam. Ketika dia cemas dan separuh menjerit bertanya, “Ummi, kenapa baby tu Ummi? Kenapa baby tu Ummi? Kenapa baby tu Ummi?”, berkali-kali, saya hanya mampu memeluk dia sambil menahan air mata.

Apa jawapan terbaik yang kalian berikan kepada seorang anak yang baru mengenal dunia, yang menemui hal-hal yang tak sepatutnya dia hadapi di dalam buku atau media lainnya? Sejauh saya mengawal segala rancangan televisyen dan buku-buku bagaimana yang harus dia baca, ternyata keparahan penyakit masyarakat sudah terlalu merebak, sehingga dia tetap akan menemuinya secara tiba-tiba dan tak terduga.

Bukan hanya jalan yang sebak saban waktu, tetapi saya yakin banyak hati manusia di luar sana juga sebak dengan rentet kehancuran manusiawi zaman kini.

(Takziah juga buat keluarga Allahyarham Aminolrashid Amzah, semoga Allah menunjukkan jalan kepada kita untuk menjernihkan segala yang gelap di hadapan mata)

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

4 Responses

  1. Khairul H. says:

    Itu gambar bayi luar nikah ke bayi mati terbakar? Pendapat saya, tidak perlu menepis atau lapik-melapik apabila anak tanya isu-isu ‘berat’. Anak kecil bukannya bodoh tapi kita mak bapak ni yang memperbodohkan mereka. Beritahu mereka; baik buruk, betul salah, supaya mereka insyaallah tidak menjadi statistik di masa depan. Remaja sekarang buat anak luar nikah gara-gara mak bapak tak ambik kisah le terutama sekali dalam bab sembahyang.
    Eh, bersyarah le pulak saya ni.

    • Najibah A Bakar says:

      Itu bayi yang dibuang dan dibakar dalam tong sampah di Kuala Krai tempoh hari, kalau tak salah. Anak ‘tak berdosa’ tentunya, tetapi dibuang kerana dosa ibu bapa mereka. Saya tak sampai hati nak beritahu bayi itu dibuang dan dibakar; pernah cuba sekali beritahu tetapi dia nampak terganggu dan hampir menangis. Jadi sekali itu sahaja saya cuba beritahu – sekarang selalu elakkan dulu. Mungkin tunggu dia mumayyiz baru terangkan. Ummi ini kononnya mahu dedahkan kepada anak the world as it should be, not as how we let it be.

  2. gdiz says:

    Sekarang mcm musim pulak sy tengok. Hari ni keluar cerita buang bayi. Pastinya keesokannya mesti ada lagi cerita buang bayi lagi. sedih betul + geram. Bukan sedikit yang sudah kawin inginkan anak, tapi bagi ‘diorang’ ni pulak boleh buang mcm tu je. Banyak budaya tak sihat la skrg ni. Banyak pengaruh yg tak elok di sekeliling.

    • Najibah A Bakar says:

      Lily, mengenai musim, ada kawan saya dari Brunei dulu, pernah beri komen serupa. Katanya di Malaysia, kalau ada isu apa-apa selalu bermusim. Hot sangat-sangat sekejap, kemudian surut. Mungkin sebab tu dalam Islam sebenarnya hal-hal buruk tak boleh disebarluaskan seperti yang media lakukan sekarang (mungkin kena lebih sebarluas yang baik-baik sahaja) – secara personal saya rasa semua perkara sebenarnya ada potensi untuk mempunyai efek spiral mass hysteria walaupun tak nampak di permukaan / secara mata kasar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com