Tahun ini tahun berkabung bagi keberanian dan keteguhan saya! Kedua-duanya telah mati! Saya mengucapkan selamat tinggal kepada PBAKL 2010 tanpa menjengahnya. Tidak seperti tahun lepas.

Satu-satunya kenangan PBAKL 2010
Alasan tidak kukuh saya: hujung minggu itu suami bekerja dan saya sendirian harus ke sana dengan si empat tahun. Kakak tidak dapat menemani kerana harus bersedia untuk peperiksaan.
Nanti kita ke Jogja, kata kakak; tanpa menyedari Pesta Buku Jogja sudah pun berakhir sebelum PBAKL lagi*. Kita ke Bangkok, kata saya, cuba mengubat rasa. Dilimpahi sedar bahawa itu hanyalah kata-kata. Gurauan hampa.
Akhirnya, satu-satunya buku saya dari PBAKL tahun ini, adalah buku yang dikirim kepada teman seGoodreads, Faizah Roslaini, yang akhirnya menjadi hadiah pula daripadanya. Terima kasih, Faizah. Dan terima kasih kepada si penulis yang mencoret nama penuh saya dengan begitu cantik dan menurunkan pesan, “Hanya yang bijak mencerap puisi“.
Tahun ini, tahun berkabung – dan atas nama perkabungan itu, saya isytiharkan pesta sendiri saja. Pesta membaca buku-buku yang masih tertunda.
PS: Rupanya tarikh Pesta Jogja sudah dipinda ke 13-18 Oktober 2010. Menabung, kita menabung!)