Malaysia dan kelab buku dalam talian

kelab buku malaysia

Antara kelab dalam talian yang aktif di dunia maya mahupun realiti

Selalu kita dengar, membaca adalah hobi yang sunyi. Selalu dilakukan sendiri-sendiri. Malah ada persepsi serong yang mengatakan para pencinta buku adalah kera sumbang yang tidak gemar berkawan.

Padahal itu tidak benar. Ulat buku hanyalah orang biasa seperti sesiapa juga, cuma kecintaan terhadap aktiviti membaca sahaja yang lebih tinggi daripada rata-rata orang lain.

Ulat-ulat buku juga menikmati dan menghargai keseronokan berkumpul dengan rakan-rakan, terutamanya para penikmat buku yang dapat bertukar cerita tentang buku-buku yang telah dibaca. Demi mencipta ruang ini, mereka akan menyertai kelab buku atau kumpulan pembaca tertentu.

Menurut sebuah buku berjudul Reading Groups yang mengkaji fenomena kewujudan kelab-kelab buku di negara Barat, kelab buku adalah tidak asing sama sekali, malah wujudnya seiring dengan kewujudan buku.

Seawal penghijrahan dengan jalan laut, telah ada kelompok pembaca di antara oleng gelombang yang saling berbincang isi buku untuk mengisi masa membelah samudera. Atau sewaktu buku masih lagi belum mampu dicetak dalam jumlah besar, ada seorang wanita yang sanggup menyalin karya kegemarannya dengan tangan demi berkongsi cerita dengan jiran yang juga tahu membaca.

Hanya di Malaysia sahaja aktiviti kelab buku boleh dikatakan relatif baru, mungkin kerana tiada pendedahan, ataupun tidak diberi sorotan rasmi. Walau bagaimanapun, pengaruh fenomena ini tetap merebak seiring minat membaca yang kian tinggi, terutama dengan kemunculan beberapa kelab-kelab terbaru dalam talian, termasuk di Facebook.

Di bawah ini adalah senarai beberapa kelab buku dalam talian yang aktif di Malaysia, dinaungi oleh beberapa pihak berbeza:

Bookster Hub – Dinaungi MPH, boleh diakses melalui laman web MPH.

Baca@LRT – Dinaungi PTS, menggunakan Facebook sebagai medium kumpulan. Aktiviti bertumpu di LRT dan stesennya, dengan tujuan menggalakkan rakyat membaca dalam kenderaan awam tersebut.

Goodreads Malaysia – Bebas, tetapi tertakluk kepada syarat pengguna-pengguna Goodreads. Aktiviti menjurus perbincangan mengenai buku-buku dan dikendalikan oleh para peminat buku. Sekali sekala ada ahli akan memberikan buku percuma ataupun mengadakan pertukaran buku/bookswap. Cabaran-cabaran membaca turut diadakan seperti menghabiskan sasaran 50 buku setahun.

BookCrossing Malaysia – Bebas, tetapi tertakluk kepada syarat pengguna-pengguna BookCrossing. Aktiviti melibatkan pembebasan buku-buku untuk dimiliki oleh para peminat secara rawak ataupun secara tangan-ke-tangan. Antara kumpulan yang paling lama bertapak di Malaysia.

Kelab Buku Malaysia – Bebas, menggunakan Facebook sebagai medium. Konsep santai dan tidak fokus kepada apa-apa aktiviti khusus.

Kelab Tidur Dengan Buku – Bebas, baru ditubuhkan pada tahun ini tetapi giat merancang aktiviti-aktiviti yang pelbagai. Menggunakan Facebook sebagai medium. Turut serta dalam aktiviti Kelab Baca@LRT dan lain-lain.

Kewujudan kelab-kelab buku di atas nyata telah memeriahkan lagi dunia buku tanah air. Menjadi ulat buku kini tidak lagi bererti menjadi insan terasing dalam dunia sendiri, tetapi menambah luas lagi pengalaman hidup dan persahabatan, merentas minat, kerjaya dan budaya/agama.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

6 Responses

  1. mudin001 says:

    Nice entry Kak Najibah. 🙂

  2. Yang terkini Secret Story, program bulanan ulasan buku cara baru. Pengulas buku akan mendedahkan tiga rahsia daripada buku berkenaan dalam bentuk aktiviti. Juga di Facebook.

    • Najibah says:

      Tuan Zamri, terima kasih atas info. Mulanya saya fikir SS lebih kepada tips komputer dan IT, kerana Waida KMY yang terlibat. Rupanya juga mengulas buku. Amat bagus!

  3. cikgununu says:

    assalamualaikum..saya baru je jadi ahli kelab tidur dengan buku..seronok saya sebab dapat jumpa blog pnecinta buku ni…saya pun baru je buat blog untuk review buku buku yang saya baca..:)

    • Najibah says:

      Waalaikumussalam wbt.

      Cikgu Nunu, jemputlah meriahkan Goodreads juga – senang nak senaraikan buku yang dah baca/belum dan bincang-bincang buku. Ada lebih kurang 250+ ahli di GR Malaysia sekarang. Peminat buku seluruh dunia, kalau ikut statistik Goodreads, sudah lebih 3 juta!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com