Bila Allah Menduga Kita

Tajuk: Bila Allah Menduga Kita

Pengarang: Syed Alwi Al-Atas

Penerbit: Mustread Sdn Bhd

Tahun: 2010

Harga: RM19.90

Saya menerima buku Bila Allah Menduga Kita daripada penulisnya, Tuan Syed Alwi Alatas, menjelang makan tengahari hari Khamis 11 Februari 2010, dengan sepotong janji. Beliau minta buku ini diulas di blog, beserta pesannya “tak perlu khawatir, saya akan menerima review yang diberikan, walau banyak kritik sekalipun.” Ini tugas sukar saya kira, bagaimana mengkritik sebuah buku yang telah dihadiahkan oleh penulisnya sendiri? Bagaimana saya dapat membendung kecenderungan biasa dalam hati manusia untuk terhutang budi pada si pemberi?

Namun Allah mempunyai aturannya sendiri. Buku yang saya tatap beberapa halaman pertamanya ketika waktu rehat 11 haribulan itu, rupanya menjadi bekal yang sangat penting menjelang petang dan malam harinya. Sekitar waktu Asar Khamis itu, saya menerima berita dari kakak sulung. Seorang adik sepupu yang sedang menuntut di UiTM Seri Iskandar, telah ditimpa kemalangan jalan raya dalam perjalanan pulang menyiapkan tugasan akademik dengan rakan-rakannya.

Saya bergegas pulang sebaik sahaja tamat waktu kerja, mencongak sama ada perlu ke Hospital Batu Gajah sebaik tiba di rumah, atau menunggu berita terkini keadaannya dari abang-abangnya yang sedang memandu ke sana. Namun dalam perjalanan, berita yang lebih memedihkan akhirnya tiba. Adik sepupu saya, telah dipanggil pulang oleh Allah. Pada usia 20 tahun.

Malam itu sanak-saudara memenuhi perkarangan bilik mayat Hospital Batu Gajah. Kami tiba saat jenazah sedang dimandikan, sempat turut serta mengafan dan mengucupnya sebelum disembahyangkan. Saya lihat wajah tabah ibu saudara saya, tidak ada air mata melinangi pipinya, dan ucapnya pada saya, dia reda. Saya cuba gambarkan diri di tempatnya, bagaimana kalau yang disembahyangkan itu anak saya, apakah saya bersedia?

Itulah sekilas inti buku Bila Allah Menduga Kita, yang sempat saya baca beberapa halaman, muncul semula dalam fikiran saya di sisi jenazah. Apakah saya bersedia jika dugaan Allah menimpa saya waktu itu, saat itu juga? Dan menurut pengarangnya, tidak ada yang lebih penting saat kita menerima dugaan, tidak kira dugaan nikmat atau kesedihan, melainkan persediaan kita. Ini kerana persediaan kita itulah yang akan menentukan, apakah kehidupan ini akan kita akhiri dengan penuh keimanan kepada Allah, atau sebaliknya, Nauzubillah.

Pada saya, buku yang telah saya khatam ini sebenarnya buku yang serba sederhana. Namun usah cepat bingkas, kerana acapkali, kesederhanaan itulah yang lebih menyentuh dan meninggalkan bekas.

Kesederhanaan pertama yang saya temui pada buku ini adalah dari susunan bab-babnya. Hanya ada tiga bab utama saja dalam buku ini, iaitu  ‘Berprasangka Baiklah Pada Tuhanmu’, ‘Iman Terhadap Takdir’ dan ‘Agar Anda Selalu Menang dan Bahagia’. Di dalam setiap bab ada subbahagian yang merupakan tajuk-tajuk kecil yang saling berturutan dan berkaitan, menyoroti setiap topik dengan santun dan tidak gopoh-gapah, dibumbui pelbagai kisah dari zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah apa yang kita sering hadapi pada masa kini. Di sinilah kesederhanaan itu bagi saya bertukar menjadi istimewa, kerana selitan kisah semasa membawa kedekatan masalah kepada kita, dan tidak meninggalkan kita terawang-awang mengenai peristiwa ratusan tahun lampau semata-mata. Dengan jelas, aplikasi ilmu sudah dinampakkan kepada kita secara bersahaja.

Selain itu, pendekatan pengarang yang menulis dengan bahasa yang sederhana, tetapi mengajak dan sesekali sedikit menggesa pembaca menempatkan diri dalam keadaan tertentu, turut memberi saya kesan. Mungkin ada segelintir yang tidak selesa dengan cara penulisan begini yang dianggap menggurui pembaca, tetapi saya tergolong di kalangan yang tidak kisah. Apatah lagi kalau membaca buku agama. Pada saya, kenapa tidak boleh pengarang itu menggurui saya, kalau ternyata saya memang layak menjadi muridnya? Dan bukankah membeli buku agama karangan sesiapapun, bererti kita telah sudi untuk digurui pengarangnya secara tidak langsung?

Dan benar, Syed Alwi Alatas telah banyak menggurui saya melalui buku ini. Saya rasa saya mampu melihat ujian Allah dengan kaca mata baru setelah menyudahkan bacaan. Saya ingat antara pengulangan yang ditekankan oleh pengarang dari sebuah hadis Rasulullah s.a.w., “Raihlah apa yang bermanfaat bagimu”, walaupun ketika itu kita sedang bergelumang dengan ujian. Dua kisah dari riwayat hidup Hasan Al-Banna dan Ummu Sulaim, sudah cukup untuk menjentik hati dan meninggalkan kesan.

Betapa juga, pandangan saya tentang beberapa hal yang saya anggap kecil (tetapi hakikatnya besar) mengenai takdir, selama ini terpendam begitu sahaja dan tidak berani saya terokai, ada jawapannya dalam buku ini. Saya ada kisah peribadi yang sangat berkait Bab 2 (Iman Terhadap Takdir). Sewaktu arwah Ayah saya meninggal di Mekah ketika usia saya 15 tahun selepas waktu haji, lima hari sebelum pulang ke Malaysia, saya sangat tertanya-tanya, kenapa doa dan tangisan saya dalam solat hajat setiap malam, sepanjang beberapa puluh hari arwah di sana (kecuali satu hari saya tertinggal), tidak dikabulkan Allah? Adakah kerana satu hari yang tertinggal itu?

Saya tahu, arwah Ayah sangat uzur ketika bertolak, malah doktor mahu membuat pembedahan pintasan jantung sebelum arwah berlepas, tetapi saya sangat tertanya-tanya, kenapa akhirnya arwah tidak dikurnia usia lebih panjang untuk pulang bertemu saya yang telah berdoa dan berdoa? Meskipun saya telah meredai pemergian arwah lama dahulu, tetapi saya selalu mencari jawapan yang memuaskan, yang dapat memberi ketenangan penuh mengenai masalah takdir ini, dan Alhamdulillah, buku ini menemukan saya dengan jawapannya. Ya, sebuah buku yang sederhana, tetapi menjadi sangat bermakna!

Akhirnya saya memahami, ada dua senjata penting dalam menghadapi kehidupan, tidak kira sewaktu dunia saya sedang bergolak, mahupun ketika dunia saya diempuki nikmat, iaitu sabar dan syukur. Saya berharap saya dapat menggunakan kedua-dua senjata ini pada masa sepatutnya dengan rahmat dan kurnia Allah. Penerangan panjang lebar pengarang dalam Bab 3 mengenai dua keperluan penting ini, akan mampu memberi kejelasan dan ruang lingkup baru pengamalannya.

Siti Aminah Hadawiah

Dirindui, Siti Aminah Hadawiah (20 Februari 1990-11 Februari 2010)

Namun tidak dapat saya nafikan, buku ini mungkin tidak sebermakna seperti yang saya luahkan bagi orang lain, kerana sudut pandang manusia dalam hidup tentulah berbeza-beza. Apatah lagi, buku ini saya baca saat sedang menghadapi dugaan kehilangan, serta desakan pengalaman lampau yang mengesankan jiwa remaja saya 15 tahun lalu. Semua penilaian berbalik kepada diri kita, kerana diri kita semua bukanlah ‘tabula rasa’. Selain itu, mungkin juga pandangan saya yang sangat menyenangkan mengenai buku ini tercipta kerana saya telah terhutang budi menerimanya sebagai hadiah.

Walau bagaimanapun, satu kehampaan yang ingin saya bangkitkan mengenai buku ini, iaitu ayat-ayat Al-Qur’annya hanya ditampilkan dalam bentuk terjemahan sahaja, manakala ayat-ayat yang asli tidak dimasukkan bersama. Penghayatan ayat-ayat Al-Qur’an dalam bentuk asalnya bagi saya adalah penting dalam sesebuah buku agama. Ini sedikit sebanyak mencacatkan, saya kira. Barangkali keputusan pihak penerbit turut memainkan peranan dalam hal ini.

Apapun, tahniah dan terima kasih kepada pengarang buku ini, Tuan Syed Alwi Alatas, yang telah sudi memberi saya peluang membaca bukunya dan membuat resensi. Beliau yang berasal dari Indonesia, setahu saya, adalah Ketua Forum Lingkar Pena (cawangan Malaysia) dan telah lama giat menulis, dengan 18 buah buku atas namanya. Beliau juga boleh ditemui di Goodreads.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

32 Responses

  1. aLeya says:

    saya nak baca or beli buku ni?? kat mane bole sy dptkan??

    • Najibah A Bakar says:

      Sdr. Aleya,

      Saya ada jual buku ini. Saya sudah hantar maklumat lebih terperinci ke e-mel Sdr.

      Terima kasih.

  2. cik cloudy says:

    salam puan,
    saya sangat tertarik dengan ulasan buku ini, saya nak share dengan kawan yang baru kehilangan orang tersayang, tapi saya takut dia nak bagitau direct kat dia pasal buku nih, boleh tak saya copy ulasan ni dan letak dalam buletin bulanan pejabat saya? (saya akan maklum sumber dari blog ini)

    • Najibah A Bakar says:

      Cik Cloudy, salam juga.

      Boleh saja. Dipersilakan. Mudah-mudahan dapat membantunya sedikit-sebanyak.

  3. cik cloudy says:

    terima kasih puan 🙂

  4. husniah says:

    salam..bleh x sy nk beli buku ni secara online?

  5. fariza adam abdullah says:

    saya suka dengan kandungan ilmiah didlm buku ini.. tak puas baca, sekali..
    saya tumpang baca buku kawan. nak cari buat koleksi nanti..

    • Najibah A Bakar says:

      Ya, buku ni walaupun ilmiah, disampaikan dalam nada santai. Selain untuk koleksi, waktu2 sedang diuji, boleh dibuat teman mengingatkan.

  6. aida azman says:

    salam.

    semalaman sy mencari buku yg sesuai untuk dihadiahkan kpd seorang rakan karib yg baru saja kehilangan suaminya 3hari yg lepas. ada pun buku yg sy jumpa ditulis oleh seorang penggiat Kristian di Indonesia. lega rasanya bila terjumpa ulasan buku yg menarik spt ini. Kalau boleh sila hubungi sy krn sy amat berminat utk membeli senaskhah.
    terima kasih

    • Najibah A Bakar says:

      Puan Aida, mohon maaf kerana buku sudah habis dalam stok saya. Mungkin Puan boleh hubungi Must Read Sdn. Bhd. seperti yang saya dah e-melkan pada Puan. Terima kasih.

  7. cik putih mutiara says:

    salam,

    sy belum bca buku ini..tetapi naluri sy dpt merasa isi kandungannya..akan cri n beli.

  8. bukhari says:

    Buku yang cukup berkesan kepada saya. Banyak memberikan kesedaran dan keinsafan serta kekuatan untuk merenung diri apabila ditimpa dugaan mahu pun menerima kejayaan.

  9. ukhtie says:

    assalamualaikum.

    Sesiapa yg belum membaca buku ini,dapatkanlah,baca dan renungkan.Semoga mendapat ubat bila Allah menduga kita.

  10. hidayah says:

    salam..
    saya telah pun membeli buku nie…
    buku nie banyak membantu saya dalam memperbaiki diri.
    sesungguhnya..telalu hebat dugaan yang telah saya alami dan rasai.tp dengan baca buku nie..menguatkan lg diri saya yg sememangnya lemah.

  11. Ustaz Azrai says:

    Salam.. mohon izin utk copy sinopsis ini utk letak di blog saya.. dan sya akan nyatakan sumbernya.. TQ

  12. najibah says:

    Salam, silakan Ustaz – dialu-alukan. Terima kasih kerana berminat dengan sinopsis ini.

  13. fuziah says:

    salam. sy telah membaca buku ini beberapa bulan sebelum anak sy meninggal dunia. alhamdulillah apabila anak saya dipanggil menghadap ilahi, sy redha dn dapat menerima segala ketentuan Allah. Terima kasih banyak kerana membantu saya menghadapi saat2 tersebut dgn ketenangan

    • Najibah A Bakar says:

      Puan Fuziah, takziah dari saya – semoga Allah mengurniakan kita kesabaran & ketenangan di sebalik setiap ujian yang mendatang. Buku ini juga banyak mengubah persepsi saya supaya lebih berpendirian jelas mengenai sabar & syukur.

  14. kak yah says:

    Assalam sy nk bli buku ni..kt mane ade jual..

  15. Yushadi says:

    salam…saya nak order buku ni satu,.,da puas cari kat kuantan..camner erk nak order..

  16. Yushadi says:

    Akhirnya dapat juga saya memiliki sebuah buku ni..baru beli semalam di pesta buku kemaman.

  17. Yushadi says:

    en Najibah,boleh sarankan tajuk buku yg isinya tentang liku2 kehidupan…

    • Najibah says:

      En Yushadi, mungkin boleh lebih spesifik, liku kehidupan sebagai pelajar, kehidupan berkeluarga, berdakwah atau sebagainya. Lebih mudah untuk saya sarankan sesuatu.

  18. Yushadi says:

    hm….yg mane2 jelah…sebab skrg saya nak jadikan membaca buku2 tentang liku2 kehidupan ni sbg satu hobi……

  19. Alai says:

    I read this book, n it really reached me in everyway possible. I wish i could speak to mr syed Alwi al atas n thank him personally for writing this book.

  20. Firrizuanna says:

    Salam.. saya nk order buku nie? cmne saya bleh dpt kan? Huhu..

    • Najibah says:

      Firri, boleh cuba berhubung terus dengan pihak penerbit Mustread Sdn Bhd, mereka ada kedai buku online.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com