Bengkel proses kreatif bersama Aminah Mokhtar

aku bukan komprador - aminah mokhtar

Salah sebuah buku terbaru Aminah Mokhtar

Tiada yang lebih nikmat setiap bulan, melainkan bengkel sastera yang kecil, erat, mesra. Malah semuanya percuma. Termasuk kopi, kuih, dan makan tengahari.

Itulah kegigihan Dr. Mawar Shafei dan kemurahan hati Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM.

Di situ saya tumpang belajar banyak perkara tentang dunia sastera. Tumpang bersua muka dengan para pengarang, yang selama ini tak termimpikan untuk duduk bersebelahan. Dan saling tertawa.

Dan para pengarang, saya dapati mereka orang-orang yang senang berbagi cerita. Bukan hanya di atas kertas.

Hari ini misalnya, kami bersama Kak Min, atau Aminah Mokhtar, yang menulis dengan jiwa, bermodalkan fikiran dan perasaan, mencanai karya-karya emas. Saya terpaku dari slaid pembentangannya yang pertama.

Tiada kepura-puraan. Dia berbahagi kisah. Betapa cita-cita yang tersasar dari mahu menjadi guru, masuk ke dunia jururawat, bukanlah suatu kekalahan, tetapi sebenarnya jalan yang telah dibentang Tuhan.

Dan sesungguhnya para pengarang, saya dapati mereka orang-orang yang punya kekuatan luar biasa. Bukan sekadar dalam watak cereka yang dihidupkan.

Penderitaan dan kekecewaan mereka tukar menjadi bintang gemerlap di angkasa. Kata Kak Min, mutiara itu di dasar laut tempatnya, bukan calang, di dalam tiram disembunyikan Tuhan. Untuk mencapainya dengan tangan, kita harus pandai menyelam.

Dan lagi, para pengarang, saya dapati mereka orang-orang yang bukan berimaginasi kosong. Mereka cuba menghantar pesan kepada yang sanggup menatap karya-karya.

Ketika fikiran dan perasaan mereka bergolak dengan imaginasi, itu adalah rentetan sensitiviti mereka yang tinggi. Ketika ada blok atau besi penghadang di hadapan, mereka tidak diam. Mereka bersuara dengan tulisan. Ada banyak hal yang ingin mereka jeritkan, membangunkan lengah manusia, membetulkan ketidakadilan.

Sejujurnya saya bukan pengikut setia Aminah Mokhtar, atau staff nurse yang lebih merakyat diri dengan panggilan mesranya Kak Min, tetapi hari ini saya telah mendaftar diri di daftar ghaib peminatnya.

Saya percaya dia orang luhur, yang layak menempati tempatnya kini. Malah layak diraikan lebih-lebih lagi oleh para pembaca. Dia menulis dari jiwa. Dengan rasa gerun kepada Sang Pencipta.

Ah! Bengkel kecil itu – di pusat sumber Pusat Pengajian Bahasa; bukan kopi, kuih atau makan tengahari percuma yang menghangatkannya, tetapi kemabukan menulis, cinta yang tidak putus-putus akan susastera, kata-kata indah yang cuba mengubah dunia. Apa adanya.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

4 Responses

  1. zila mukhtar says:

    saya peminat setia novel2 Aminah Mokhtar..saya mengagumi setiap watak utama yg diciptakan dlm novel beliau..dan berusaha meneladani mereka..

  2. Najibah says:

    Zila, dah tentu cukup bermakna bagi pengarangnya 🙂

  3. yatie y says:

    Aminah Mokhtar merupakan seorang mentor yang terbaik. Hasil penulisannya amat dibanggakan. Peribadinya sangat dikagumi. Teruskan usaha anda dalam membangunkan ummah melalui penulisan anda.

    • Najibah says:

      Ya, saya juga terkesan oleh peribadinya, walaupun hanya sempat bertemu dalam waktu singkat. Semoga beliau terus menghasilkan karya-karya tanpa henti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com