Rintihan Tuan Ramli Abdul Halim di bahagian Sastera Mingguan Malaysia mengenai nasib malang buku bahasa Melayu sebenarnya sudah terlalu acapkali kita dengar sepanjang masa.
Sebagai seorang pemerhati kecil yang meminati buku terutama buku-buku Melayu, kemudian secara kebetulan terlibat pula dalam hal-hal buku di perpustakaan, saya berasa terpanggil untuk memberi sedikit reaksi.
Menurut penulis, bahasa kita adalah bahasa ke empat terbesar di dunia, dan jumlah penutur keseluruhannya dianggarkan 300 juta orang. Tetapi buku-buku dan akhbar Melayu yang berisi ilmu, masih tidak laku.
Beberapa sebab yang saya anggap masih membawa malang kepada buku Melayu adalah seperti di bawah, dan bukan semata-mata kerana sikap penuturnya:
- Meskipun penutur bahasa kita besar, tetapi budaya dan sejarah Kepulauan Melayu, iaitu wilayah utama di mana bahasa kita dituturkan, terlalu rencam untuk menyatukan kita dalam hal pilihan bahan bacaan. Faktor pemersatu harus dicari;
- Di Malaysia sendiri, latar belakang pendidikan rakyat juga sangat pelbagai alirannya, ditambah pula dengan masyarakat multi-etnik, menyebabkan sukar wujud arus perdana dalam pemilihan bahan bacaan;
- Ketidakyakinan pemimpin sendiri terhadap bahasa Melayu telah merencatkan perkembangan bahasa ini di Malaysia;
- Masih ramai intelektual berbakat tidak menulis buku-buku mesra massa yang sepatutnya ditulis untuk dinikmati masyarakat, kerana sistem pendidikan belum benar-benar dilentur untuk memudahkan para intelektual menghasilkan buku sedemikian;
- Cara pemasaran buku yang tidak kena pada sasaran dan tidak memenuhi syarat pemasaran semasa; dan
- Akhbar boleh jadi tidak laku, bukan kerana faktor bahasa semata-mata, tetapi juga faktor sosiopolitik semasa.
Inilah enam perkara yang saya rasa menjadi faktor ‘malang’ buku Melayu. Tetapi ini adalah sekadar pandangan peribadi seorang pemerhati kecil. Boleh jadi banyak salahnya.
Saya sangat ingin tahu apa kata pemain-pemain industri buku Melayu yang besar-besar, misalnya PTS sebagai penerbit, dan MPH sebagai rangkaian jualan buku.
Apapun saya yakin kajian mendalam wajar dibuat mengenai fenomena ‘malang’ itu, barulah akar umbi pohon yang menyebabkan ‘malang’ itu dapat dicabut terus daripada terus-terusan menghantui bahasa kita.
January 17th, 2010
Najibah A Bakar




Kadang-kadang datang juga di benak–mahu berhenti saja menulis dalam Bahasa Melayu.
Jangan mengalah, Isma. Saya percaya Isma dan ramai yang lain sedang dalam proses membuat masa depan bahasa ini jadi lebih cerah.