Dua buku terbaik 2009

panggil aku melaju & the outliers

Antara dua buah buku yang dibaca 2009

Rasanya belum terlalu lewat untuk bercerita tentang bacaan sepanjang 2009, walaupun tahun baru 2010 sudah menjangkau dua minggu.

Ini juga merupakan sahutan kepada pertanyaan rakan sekelab di Goodreads Malaysia (Mudin) mengenai buku yang telah dibaca pada 2009 dan dianggap terbaik? Jadi, entri ini bukanlah berkenaan buku terbaik yang terbit sepanjang 2009.

Tahun lalu, saya berjaya mengkhatam 37 buah buku, kurang 13 buah daripada sasaran 50 buku setahun. Tetapi meningkat 10 buah dari tahun 2008.

Daripada 37 buah tersebut, ada dua buah buku yang saya rasa layak diangkat sebagai terbaik.

Buku pertama adalah Panggil Aku Melaju karya Dr. Rahmat Haroun Hashim, manakala buku kedua, Outliers karya Malcolm Gladwell.

Ada ciri persamaan antara kedua-dua buku ini; sama-sama berbincang mengenai teori. Satu mengenai teori asal-usul Melayu, dan yang sebuah lagi, mengenai teori kejayaan cemerlang segelintir individu yang berada di luar fenomena statistik yang biasa.

Sudah tentu bukan mudah menulis buku yang cuba mendirikan teori yang berbeza dari arus semasa – harus ada hujah yang boleh berdiri kukuh. Jika tidak harus bersedia untuk diketawakan khalayak pembaca. Kedua-dua buah buku ini berjaya mengetengahkan hujah masing-masing dengan kukuh, walaupun tetap ada ruang diskusi dan kritikan, tidak kira secara mendalam atau melebar.

Dari sudut idea dan fakta, kedua-duanya memang sarat dan tepu, sesuai dengan buku yang dihasilkan berdasar kajian rapi, tetapi cara penulisannya sangat menghiburkan, malah ada kalanya mampu mengundang tawa. Ini menjadikan pembacaan lebih santai dan tidak memenatkan. Buku-buku ini juga termasuk dalam kategori malar hijau atau ‘evergreen’ kerana menyorot hal-hal yang besar. Panggil Aku Melaju misalnya, menyorot asal-usul sebuah bangsa besar iaitu Melayu, manakala Outliers memperkatakan mengenai kejayaan, sesuatu yang diburu setiap manusia.

Khusus bagi Panggil Aku Melaju, teori yang dikemukakan Dr. Rahmat, ada relevannya dengan kajian ilmiah yang sedang dilakukan sekarang, misalnya dalam penyelidikan dermatoglifik – iaitu ciri yang tidak berubah sepanjang hayat pada manusia, contohnya garisan tapak tangan – antara orang asli Negrito, Melayu, Cina dan India.

Dalam Outliers pula, walaupun jawapan yang ditemukan pada akhir pembacaan mungkin antiklimaks, kerana Gladwell menganggap dalam dunia ini kejayaan sebenar tidak wujud, tetapi Outliers (serta Panggil Aku Melaju) wajar diangkat sebagai dua bacaan terbaik kerana memenuhi kriteria-kriteria  yang telah disebutkan di atas, serta banyak lagi kriteria kecil lain.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com