@najibah (Twitter)

Najibah on January 29th, 2010

Saya baru sahaja tamat membaca Mekar Sakura di Mimbar Cinta karya Ilham Hamdani, yang saya pesan segera keesokan hari selepas malam pengumuman. Selepas tamat membacanya, perasaan ingin tahu membuak-buak, bagaimana prestasi karya-karya lain yang turut dinilai bagi merebut hadiah kategori sama. Saya rasa perasaan ini perkara normal yang memang wajar dipenuhi. Tetapi suasana hadiah sastera nasional tidak selalunya mengizinkan kenormalan ini.

Alangkah baiknya jika bagi setiap panel hadiah sastera nasional seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia baru-baru ini, karya-karya yang dinilai pada peringkat senarai pendek atau senarai panjang sekalipun, digembar-gemburkan seperti hadiah sastera antarabangsa misalnya Booker Prize (sekadar menyebut satu contoh).

Ada dua faedah langsung yang saya fikir akan terjelma jika karya lain yang dicalonkan turut diumum; pertama ia akan mencipta senarai karya terbaik tahunan nasional dan meningkatkan jumlah jualan karya-karya itu, dan kedua, menggalakkan perbandingan kritis dan perbincangan lebih hangat tentang buku-buku dan dunia sastera. Sudah pasti akan ada kritikan terhadap keputusan panel, tetapi itu hanyalah satu semarak perbincangan sastera dan budaya yang sihat, saya rasa.

Ya, itulah perasaan saya saat ini, sangat ingin melihat senarai panjang dan senarai pendek HSPM, seperti long list dan short list Booker Prize. Dan sudah tentu saya lebih-lebih lagi mahu melihat wujudnya satu laman web rasmi HSPM yang segah laman web hadiah-hadiah sastera lain, supaya sastera Malaysia nampak lebih hidup dan berwibawa.

Lagi berkait HSPM:

Keputusan HSPM ke-18 di blog Nazmi Yaakub

Komen Salbiah Ani di blog Salina Ibrahim

Baca juga cara pencalonan buku dua hadiah sastera berprestij ini:

Hadiah Nobel

Hadiah Man Booker

Entri-entri lain yang berkaitan:

Najibah on January 21st, 2010

Buku kecil yang sempat saya baca awal tahun ini, adalah hasil tangan Prof Ding Choo Ming [1][2], seorang penyelidik penting manuskrip Melayu yang kini bertugas di Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM. Isi buku ini merupakan syarahan perdana yang disampaikannya dalam proses mendapat gelar Profesor.

Buku ini memberi gambaran awal dan secara permukaan mengenai bidang kajian manuskrip Melayu. Jumlah halamannya hanya 78 muka surat sahaja, menjadikannya sebuah buku yang padat dan kaya fakta.

Menurut buku ini, kajian manuskrip Melayu memainkan peranan besar dalam mengisi kelompangan yang masih wujud untuk memahami falsafah dan jati diri bangsa Melayu. Setakat ini hanya kira-kira 30% sahaja daripada sejumlah kira-kira 10,000 manuskrip Melayu yang terdapat di seluruh dunia telah dikaji dengan mendalam. Proses pengkajiannya masih berterusan dan kian giat, malah sebuah Pusat Kecemerlangan Manuskrip Melayu akan ditubuhkan tidak lama lagi di UKM untuk tujuan tersebut.

Manuskrip Melayu menurut penulis, bolehlah dianggap seperti bunga rampai maklumat peribumi Melayu. Di dalamnya terdapat pelbagai ilmu berkenaan orang Melayu dan lingkungan hidup mereka, seperti ilmu ketatanegaraan, ilmu undang-undang, ilmu bahasa, ilmu herba dan perubatan, ilmu astronomi, ilmu mantera dan jampi serta ilmu-ilmu tradisional lain yang mungkin masih berguna kepada generasi sekarang.

Walau bagaimanapun, kepentingan manuskrip ini kepada kita turut bergantung kepada falsafah pembangunan semasa yang dipegang oleh negara. Jika falsafah yang dipegang tidak mengutamakannya, tautan sebenar tidak dapat dibuat dengan masa lalu, dan ilmu-ilmu yang telah dikumpulkan oleh generasi lama akan menjadi sia-sia belaka.

Antara jenis-jenis manuskrip Melayu lama adalah sastera sejarah, sastera epik, sastera hikayat, sastera kitab, sastera undang-undang, sastera ketatanegaraan dan puisi klasik. Tetapi ini tidak selalunya bermakna keseluruhan bahan dalam sesebuah manuskrip itu menjurus kepada sesuatu bidang secara khusus. Ini kerana pengarang manuskrip selalu mencampur adukkan pelbagai kisah berkaitan ke dalam manuskrip mereka.

Selama ini, kajian manuskrip Melayu masih banyak terkongkong di bawah mikroskop penyelidikan orang-orang Barat yang prejudis terhadap keupayaan pengarang Melayu. Menurut mereka pengarang Melayu hanyalah peniru yang mencedok gaya sastera Hindu dan Arab. Hanya kini, kajian manuskrip dibedah semula dan diberi pengertian baru di bawah kaca mata tulen para pengkaji yang jujur mencari akar budi dan citra bangsa.

*  *  *  *  *  *  *

Sekiranya ada yang berminat untuk mendapatkan buku ini, boleh hubungi saya di najibah.abubakar (at) gmail.com, di Facebook atau di Goodreads Malaysia.

Entri-entri lain yang berkaitan:

Najibah on January 17th, 2010

Rintihan Tuan Ramli Abdul Halim di bahagian Sastera Mingguan Malaysia mengenai nasib malang buku bahasa Melayu sebenarnya sudah terlalu acapkali kita dengar sepanjang masa.

Sebagai seorang pemerhati kecil yang meminati buku terutama buku-buku Melayu, kemudian secara kebetulan terlibat pula dalam hal-hal buku di perpustakaan, saya berasa terpanggil untuk memberi sedikit reaksi.

Menurut penulis, bahasa kita adalah bahasa ke empat terbesar di dunia, dan jumlah penutur keseluruhannya dianggarkan 300 juta orang. Tetapi buku-buku dan akhbar Melayu yang berisi ilmu, masih tidak laku.

Baca keseluruhan entri ini »

Entri-entri lain yang berkaitan:

Najibah on January 15th, 2010

Rasanya belum terlalu lewat untuk bercerita tentang bacaan sepanjang 2009, walaupun tahun baru 2010 sudah menjangkau dua minggu.

Ini juga merupakan sahutan kepada pertanyaan rakan sekelab di Goodreads Malaysia (Mudin) mengenai buku yang telah dibaca pada 2009 dan dianggap terbaik? Jadi, entri ini bukanlah berkenaan buku terbaik yang terbit sepanjang 2009.

Tahun lalu, saya berjaya mengkhatam 37 buah buku, kurang 13 buah daripada sasaran 50 buku setahun. Tetapi meningkat 10 buah dari tahun 2008.

Daripada 37 buah tersebut, ada dua buah buku yang saya rasa layak diangkat sebagai terbaik.

Buku pertama adalah Panggil Aku Melaju karya Dr. Rahmat Haroun Hashim, manakala buku kedua, Outliers karya Malcolm Gladwell.

Ada ciri persamaan antara kedua-dua buku ini; sama-sama berbincang mengenai teori. Satu mengenai teori asal-usul Melayu, dan yang sebuah lagi, mengenai teori kejayaan cemerlang segelintir individu yang berada di luar fenomena statistik yang biasa.

Baca keseluruhan entri ini »

Entri-entri lain yang berkaitan:

Najibah on January 13th, 2010

Pada hari Isnin lepas (11 Januari 2010), selepas lama tidak menjenguk BukuRia, saya cuba mencapainya semula melalui laman login Wordpress, tetapi gagal. Ada beberapa mesej ‘error’ dan selebihnya laman putih tanpa data.

Saya kira itu adalah disebabkan oleh cubaan saya menukar tema Wordpress. Selepas meneliti keadaan semua fail lama dalam pangkalan data melalui perisian FTP Filezilla, saya segera menghubungi pihak hos laman sesawang.

Rupa-rupanya masalah yang menimpa laman web BukuRia jauh lebih serius daripada sekadar masalah tema. BukuRia telah digodam, disyaki melalui Trojan atau Spyware.

Siapa menyangka kejadian sebegini boleh menimpa. Walaupun saya ada membuat backup, tetapi tarikhnya sudah agak lama. Saya tak dapat membayangkan jika kesemua hasil tulisan saya dan beberapa rakan yang lain hilang begitu sahaja.

Saya tahu sebahagian puncanya adalah kesilapan sendiri, terutama kerana tidak menaiktaraf Wordpress ke versi terbaru. Malah saya tidak pernah membuat apa-apa langkah keselamatan lain melalui penggunaan plugin-plugin anti-godam. Saya berasa yakin, BukuRia yang hanya bercerita tentang buku dan perpustakaan tidak akan menjadi sasaran.

Baca keseluruhan entri ini »

Entri-entri lain yang berkaitan: