Pesona Buku Melayu

Panelis  Forum Pesona Buku Melayu
Program Pesona Buku Melayu patut digemilangkan lagi dengan backdrop yang sesuai!

Sebagai mengiringi PBAKL 2009 kembali ke sarangnya sebelum bersua lagi tahun depan, saya kuatkan semangat untuk ke Forum Pesona Buku Melayu Sabtu semalam walaupun terpaksa mengheret anak yang sedang super lasak (usianya genap 3 tahun Jun ini).

Suami tidak dapat membawa saya kerana bekerja, lalu saya lemparkan ‘lasso‘ ala koboi ke arah dua orang teman sekerja yang belum ke sana. Alhamdulillah, mereka sudi ikut serta, malah turut bersusah-payah membantu mengendalikan puteri saya (terima kasih Iela dan Fizah).

Kembali kepada kisah Pesona Buku Melayu, forum anjuran Bukuonline.org ini antara lain menampilkan Sasterawan Negara A Samad Said, Faisal Tehrani dan seorang orang kuat dalam industri buku Melayu (wajahnya mengingatkan saya kepada Hishamuddin Tun Hussien, tapi maaf saya terlupa namanya – maklum menonton bicara forum sambil mengawal anak). Dikendalikan oleh Syed Munawwar, forum memang hangat dan menjadi.

Antara pesan Pak Samad dalam forum singkat ini (12.30 – 1.15 tengahari) adalah supaya menyokong terus industri buku Melayu yang tengah berkembang mekar. Beliau juga mengingatkan pendengar-penonton agar meneruskan bantahan terhadap PPSMI kerana dalam jangkaan lima dekad, arus besar PPSMI akan melanda sehingga mampu menghakis semua institusi bahasa Melayu termasuk DBP dan ITNM.

Ujarnya, beliau merebut segala kesempatan yang datang untuk memperjuang bahasa, tidak kira hingga ke pentas oposisi sekalipun kerana halangan yang wujud di pentas kerajaan sendiri yang enggan membuka pintu kepada kritikan demi kritikan dalam isu ini secara terbuka.

Pak Samad  melayan peminat

Pak Samad dikerumuni peminat setelah tamat forum

Beliau menyarankan bahawa suara bantahan rakyat perlu disampaikan melalui media-media bukan kerajaan supaya sampai ke pengetahuan lebih ramai orang.

Faisal Tehrani pula memetik pesan kenalannya daripadanya China (maaf saya lupa lagi nama dan jawatannya) bahawa untuk menaikkan nama sastera Melayu di persada antarabangsa, tetaplah menulis dalam bahasa ibunda. Biarlah buku itu kemudiannya diterjemahkan, tetapi sesungguhnya tidak ada cara lain selain menulis dalam bahasa ibunda kita.

Beliau yang telah menyertai perarakan bahasa mengiringi memorandum ke tangan YDP Agong turut menceritakan mengenai bukunya 1515 yang dianggap sukar difahami oleh orang Melayu sendiri, tetapi telah diangkat sebagai buku teks oleh pelajar-pelajar Jerman dan dipelajari dalam bahasa kita.

Antara keindahan buku Melayu yang mempesonakan mereka, katanya, adalah wujudnya kosa kata khas yang membezakan keadaan-keadaan yang begitu terperinci, contohnya waktu di ambang terjaga dari tidur, serta waktu di ambang lelap yang dalam. Begitu kehalusan bahasa Melayu yang melambangkan ketinggian peradaban bahasa dan bangsa kita suatu masa dahulu.

Selain itu, perjuangan bahasa yang sedang berlanjut di negara kita, meskipun dipandang sepi dan diperkotak-katikkan oleh media-media arus perdana, diangkat tinggi sebagai perjuangan bangsa dalam akhbar Tehran Times. Berita tentang orang-orang Melayu mengiringi memorandum air mata bahasa sampai ke belahan dunia sebelah Parsi sebagai sebuah nyanyian perjuangan, bukan pengkhianatan.

Panelis terakhir, tokoh industri buku Melayu yang bernilai jutaan ringgit dan disebut-sebut oleh Syed Munawwar mewakili pandangan dari sisi politik, tidak kurang bernas dengan idea-idea yang patut sekali direnungkan. Antara kata-katanya yang melekat di fikiran saya, jika media kerajaan tidak mahu memberi ruang, para pengkritik keadaanlah yang harus bangkit menulis dan terus menulis dengan lebih giat demi melahirkan bantahan dan ketidakpuasan hati – yang secara tidak langsung akan memperkaya khazanah ilmu bangsa juga.

Atas provokasi Syed Munawwar, beliau dengan lantang menyuarakan sokongannya ke atas pemansuhan PPSMI, disambut tepukan gemuruh para pemain industri buku, para aktivis dan orang ramai. Beliau juga menyeru ahli politik untuk lebih giat meraikan pesona buku Melayu, malah menyatakan hasrat untuk melihat Perdana Menteri kita sendiri turun padang merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Begitu antara inti-inti diskusi di Forum Pesona Buku Melayu di PWTC (PDDP) semalam. Berbaloi jugalah saya menahan debar memandu dengan anak dan teman-teman mengharungi trafik dari Shah Alam ke PWTC, melayan kerenah puteri saya yang belum pandai diam-diam di majlis ilmu, serta arus kesesakan manusia seperti bergelombang menerpa ruang-ruang pameran buku.

Bulan Mei nanti, saya akan usahakan menghadiri Forum Pesona Perpustakaan anjuran Bukuonline.org pula, yang saya yakin tidak akan kurang hebatnya!

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

6 Responses

  1. Nana says:

    Salam.

    Cemburu saya. Memang tiada jodoh saya menghadiri seminar tersebut, walau hati menggelodak ingin ke sana. Tak mengapalah (sebab tidak dapat hadir pun kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai anak).

    Harapan saya Bukuonline merakamkan seminar ini supaya dapat ditonton oleh orang ketinggalan seperti saya.

  2. Najibah says:

    Nana, kata Tuan Syed Munawwar di hujung majlis, memang dirakamkan. Akan dimuat naik di Bukuonline.net kalau tak salah. Jangan kecewa, insyaAllah, ada ganjaran besar menunggu 🙂

    Nanti kalau ada kesempatan kita meriahkan Pesona Perpustakaan. Kalau tak salah saya jatuh hari bekerja.

  3. Faizah says:

    Hissyy..1515 susah? Kalau 1515 susah, baca Tuhan Manusia atau Saasatul Ibaad mesti terus pengsan agaknya.

    Pesona Perpustakaan? Menarik..

  4. Najibah says:

    Faizah,

    He he he… Itulah, ada yang mengalah bila bertemu dengan bahan bacaan yang susah sedikit daripada kebiasaan yang dibaca.

  5. Ani Dila says:

    Salam, Penceramah yang seorang lagi itu ialah Tuan Haji Hasan Hamzah, aktivis buku lebih 25 tahun, sekarang ahli politik yang cemerlang, kalau ada rezeki PRU13 akan jadi YB, itupun kalau menang…

    • Najibah says:

      Tuan Ani Dila, terima kasih atas infonya. Aktivis buku & ahli politik – gabungan yang kuat untuk membentuk budaya buku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com