Kisah di PBAKL 2009

Sudah berhari-hari mahu bercerita tentang kembara beli-belah buku di PBAKL 2009, tetapi akhirnya sempat terbasi juga. Banyak hambatan lain akhir-akhir ini termasuk melekat dengan teman-teman di Malaysians@Goodreads dengan cerita-cerita buku mereka yang menarik.

Saya ke PBAKL pada hari Sabtu 18 April (hari kedua) bersama suami – kami bersedia dengan kereta sorong anak, susu dan sneknya serta sudah tentu, ‘seberkas’ duit (:D alangkah baiknya kalau betul-betul seberkas!). Saya juga bawa buku-buku Faisal Tehrani yang ada dalam simpanan di rumah sewaan kami di Shah Alam, kononnya mahu minta tandatangan untuk semua buku – setibanya di sana niat itu saya urungkan sebab memikirkan buku-buku yang bakal dibeli tangan mana mahu bawa?

Niat yang dipasang sejak dari rumah memang mahu meninjau pelancaran buku terbaru Al-Ameen, kerana salah satunya buku terbaru Faisal Tehrani, Ketupat Cinta [Musim Pertama]. Pada masa sama, juga mahu bertemu penulis yang sudah saya baca sebahagian besar buku-bukunya, untuk kali pertama.

Selain itu saya mahu menjengah gerai ITNM yang megah dengan kereta MyVi yang ditayangkan sebagai bakal hadiah pembeli dan mahu cari buku untuk si puteri juga. Kalau berkebetulan, mahu bertemu muka dengan Anuar Manshor, juga alumni UIAM seperti saya. Beliau sempat saya kenali sewaktu sekali-sekala menghantar artikel ke Dewan Kosmik dahulu.

Dari mula masuk, puteri saya sudah mengantuk dan akhirnya tertidur selama 2 jam semasa saya dan suami sibuk-sibuk menengok buku. Saya sempat bertemu dengan dua penulis yang bernaung di bawah Al-Ameen. Siapa lagi kalau bukan Faisal Tehrani dan yang lebih beruntung, bertemu juga dengan penulis kawakan dari Singapura, Tuan Isa Kamari.

Memang benar, seperti kata teman Goodreads saya, Faizah; Faisal Tehrani memang sangat peramah orangnya – sesuai dengan watak pengarang Islami yang berjiwa besar seperti dikenali melalui novel-novel dan karyanya yang lain. Dek kerana peramahnya beliau, soalan-soalan yang sepatah dua saya mahu tanyakan, tidak jadi keluar – saya asyik menjawab soalan-soalannya pula. Beliau malah sempat bertanyakan nama anak, serta khabar adik dan adik ipar saya yang pernah ditemui dan dikenalinya. Kebetulan nama anak saya Fatimah Hilyati, separa serupa dengan adiknya, Hilyati (saya cedok nama ini dari salah seorang orang kuat PTS, Nurulhilyati kalau tidak salah; bukan kerana nama adik FT).

Sayangnya gambar beliau dengan kami sekeluarga sedikit cacat sebab jurukamera yang saya minta bantuan itu kurang biasa dengan kamera saya rasanya (apapun terima kasih padanya sebab sudi menolong) – mujur saja gambar anak dengan FT yang diambil kali kedua sempurna. Suami juga sempat memotret saya dengan Tuan Isa Kamari, yang telah memberi sebuah buku puisinya Sumur Usia secara percuma selepas saya membeli Rawa, novel terbarunya berkait Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca.

Fatimah Hilyati dan FT

Fatimah yang masih terpisat-pisat, dengan Faisal Tehrani

Gerai ITNM tahun ini pula memang hebat dan meriah. Diserikan lagi dengan siswa-siswi yang membantu dengan senyuman dan keramahan. Tetapi setelah bertanyakan tentang saudara Anuar Manshor, kata mereka beliau baru sahaja berlalu. Saya mengisi borang-borang peraduan dengan doa yang berkati-kati (“,). Manalah tahu rezeki terpijak kata orang Melayu, tak dapat kereta dapat RM10,000 pun sudah cukup seronok. Mesti saya laburkan semula ke ITNM, boleh jadi ambil kursus terjemahannya pula.

Saya juga singgah di gerai Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei. Mereka ada banyak buku yang nampak menarik, yang saiz bukunya kelihatan seperti saiz buku-buku Indonesia dan nampak bermutu sekali. Dengan bajet terhad, saya beli dua buah dahulu. Tahun depan kalau mereka masih ada (dan saya pun masih ada umur), pasti akan beli lagi buat koleksi (dan baca tentunya).

Selepas puteri kami terjaga dari tidur, kami tidak berlengah lama sebab sudah dapat mengagak tahap keterujaannya di tempat seperti itu. Dalam hati masih mahu menyusup ke seberapa banyak gerai yang boleh, tapi apakan daya keadaan dan masa kurang mengizinkan.

Maka pulanglah kami dengan keputusan ke sana lagi pada hari Rabu 22 April, iaitu tiga hari lepas, kali ini berdua sahaja. Untuk beli-belah pusingan kedua, giliran suami mencari buku-bukunya pula dan saya menokok tambah barang sebuah dua lagi beserta buku Fatimah yang tak sempat dibeli pada hari Sabtu tersebut…. Cuma tahun ini masih tak terbeli juga buku-buku Pamuk, dan buku-buku Inggeris yang sebelum ini saya rancang untuk beli.

Begitulah adanya kisah saya sekeluarga di PBAKL tahun ini…. terasa lebih bermakna dari tahun sudah (“,). Mungkin kerana sempat berjumpa beberapa penulis dan bekalan buku bacaan pun bertambah juga. Alhamdulillah atas segala-galanya….

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

4 Responses

  1. Nana says:

    Salam.

    Najibah, saya dah dapatkan buku Panggil Aku Melaju tadi (pergi pagi tadi – Jumaat 24 April). Tapi terlupa pula nak beli Rawa dari Al-Ameen. Haiya! Itulah akibatnya asyik nak mengelak sapaan pelbagai penjual, lalu pusing-pusing alan jauh lantas terlupa. Hmmph…

  2. fizahanid says:

    Emmm… saya mencari Debar Sukma Rindu (dalam byk2 koleksi buku FT yang itu yg saya tiada) tak hampa!

  3. Peesha says:

    PBAKL tahun ini saya sedikit ralat … kerana saay tak teringat langsung nak cari maklumat pasal FT … selalunya bukunya saya temui di gerai DAWAMA .. terlupa terus pasal AMEEN. Dan, terlupa juga pasal KETUPAT CINTA .. kerana saya teruja dengan RINDU BAU POKOK TIN Ustaz Hasrizal …

    Mungkin membeli KETUPAT CINTA di lain ketika sahaja … ­čÖü

    Best nya Najibah boleh berulang pergi … cemburu saya!

    Apa pun PBAKL kali ini memang terasa bahagia sekali!

    P/s: Saya pun alumni UIAM … ntah2 kita pernah berselisih di Taman Ilmu dan Budi itu!

  4. Najibah says:

    Salam Nana,

    Baguslah kalau dah dapat bukunya. Memang menakjubkan, banyak ilmu di dalamnya – ini kali pertama saya baca Dr Rahmat Haroun, lepas ini melekat dengan buku-buku beliau rasanya. Entah di mana nak dapatkan yang lama-lama.

    Fizahanid,

    Saya faham dari blog Faizah Roslaini, kata FT DBP belum cetak ulang walaupun sudah habis. Boleh cuba baca Malay Prau with the Silent Soul dulu :), terjemahan ITNM.

    Peesha,

    Saya pulak rasa ralat sebab belum ada kesempatan berkenalan dengan karya Ustaz Hasrizal walaupun semua orang dah heboh-heboh dengan karyanya. Rasanya tak bermasalah sangat nak cari KCMP nanti sebab kedai Puan Nisah Ujana Ilmu mesti dapatkan stok segera tak lama lagi.

    Ambil kesempatan Peesha, sementara masih di S. Alam ni. Tahun depan mungkin berhijrah ke tempat lain, ikut rezeki suami dan rezeki sendiri belum tentu dapat meresapi semangat buku macam tahun ini.

    PS: Itulah…. dulu-dulu Peesha tak join Book Circle ke? (yang bernaung bawah PKPIM kalau tak salah). Buat diskusi buku juga rasanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com