Masyarakat Islam masyarakat membaca, jadi perlukah kita “elak jadi ulat buku”?

Kali ini saya tidak mahu menulis panjang, sekadar menghidang dua kenyataan bertentangan tentang membaca menurut pandangan agama kita dan bagaimana Utusan Malaysia menggembar-gemburkan tentang amalan membaca. Sangat aneh!

Perang Kebudayaan - Ali Khameini

Ali Khameini:

Masyarakat Islami adalah masyarakat yang mampu mencabut buta huruf dan kebodohan sampai ke akar-akarnya, dan mampu melipatgandakan jumlah sekolah agar dapat menampung semua anak untuk menikmati pendidikan dan mereguk pengetahuan dari sekolah-sekolah agama dan universiti-universiti dengan penuh ghairah belajar; demikian pula berbagai kegiatan penyelidikan dan penelitian dapat berjalan lancar. Selain itu minat membaca menempati posisi yang istimewa sehingga gemar membaca dapat dijumpai di semua tempat dan lapisan masyarakat.

Percetakan dan penerbitan buku di tengah masyarakat islami harus memuat bahan yang kaya dan menumbuhkan kesedaran masyarakat luas, meningkatkan ghairah para guru dan ulama dalam melaksanakan tugas dengan giat dan bertenaga, dan menggerakkan semangat para pencipta, seniman, dan penulis agar dinamik dan penuh semangat.

[Diceduk dari Perang Kebudayaan (2006). Pustaka Cahaya, Indonesia. Halaman 73 & 74]

*  *  *  *  *  *  *

Elak jadi ulat buku

WANGSA MAJU 1 Mac– Para pelajar diingatkan supaya tidak hanya menjadi ‘ulat buku’ kerana ia tidak menjamin mereka mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik pada masa hadapan.

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Dr. Mohd. Shafie Abdullah berkata, terlalu menumpu perhatian kepada akademik akan menyebabkan seseorang pelajar itu tidak cemerlang dari segi sahsiah diri dan pergaulan.

Katanya, tanpa penampilan yang baik, keyakinan tinggi dan mampu memotivasikan diri, pelajar berkenaan tidak akan mampu berdikari dan menghadapi pelbagai cabaran luar hanya dengan berbekalkan kecemerlangan akademik.

“Pelajar-pelajar masa kini perlu melengkapkan diri mereka dengan pelbagai kemahiran seperti kemahiran berkomunikasi pelbagai bahasa terutamanya bahasa Inggeris dan bijak berhadapan dengan masyarakat serta tidak lupa jati diri dan asal-usul.

“Apabila kesemua sifat-sifat ini bergabung, ia bakal melahirkan pelajar-pelajar yang hebat sekali gus menjadikan mereka aset yang penting kepada negara,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Kawasan Wangsa Maju di Sekolah Menengah Wangsa Melawati di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 320 pelajar dari 21 sekolah sekitar Wangsa Maju yang cemerlang di dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu menerima hadiah kecemerlangan sumbangan Biro Pendidikan UMNO Wangsa Maju.

Selain itu, pada majlis berkenaan, setiap sekolah turut dihadiahkan dengan satu perisian komputer produktif MYOffice 2007 yang disumbangkan oleh syarikat Open Application System Sdn. Bhd (OASYS).

Mohd. Shafie menambah, pihaknya akan menjadikan majlis anugerah kecemerlangan tersebut sebagai acara tahunan.

Jelasnya, program berkenaan perlu dilaksanakan bagi menghargai mereka yang berusaha keras dalam mencapai kejayaan.

Ujarnya, kejayaan bagi seseorang pelajar bukan hanya terletak kepada kebijaksanaan pelajar tersebut sahaja namun ia melibatkan kerjasama dan pengorbanan banyak pihak yang lain.

“Kejayaan seseorang pelajar adalah bergantung kepada keupayaan guru-guru untuk mendidik selain pemantauan ibu bapa terhadap anak-anak mereka serta persekitaran yang sihat.

“Justeru itu, asas pendidikan yang betul amat penting untuk melahirkan pelajar-pelajar yang hebat di dunia,” jelasnya.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

14 Responses

  1. mudin001 says:

    Haha. Malas nak komen kata-kata orang UMNO ni. Mungkin yang dimaksudkan, supaya pelajar jadi all-rounded. Serba boleh?

    Anyway, dah banyak baca buku tu? Saya baca sementara menunggu isteri di stesen LRT saja. Kat rumah baca buku lain. 🙂

  2. Najibah says:

    Mudin, kata-kata orang UMNO tersebut tidak salah sebenarnya, tapi cara akhbar perdana kebangsaan memilih tajuk berita yang perlu dipersoal. Sebab itu saya tebalkan rangkap ‘supaya tidak hanya jadi ulat buku’ di situ. Kalau saya, saya letak tajuk ‘Jangan Sekadar Jadi Ulat Buku’.

    Saya cukup geram sebab tajuk itu membelakangi usaha banyak pihak – PNM sudah habis satu bilion (sekurang-kurangnya dalam kertas) untuk bina perpustakaan desa; pihak sekolah dengan NILAMnya; aktivis-aktivis penerbit buku; pemblog-pemblog buku yang tak jemu menyeru orang membaca buku; dan ramai lagilah.

    Buku di atas saya baca memang perlahan benar, masih sekitar muka surat 70. Sambil baca buku-buku lain juga.

  3. Nana says:

    Isyk! Geramnya. Saya fikir saya sudah terselamat, kurang membaca akhbar arus perdana, kuranglah perasaan negatif tersemat di hati.

    Tapi tetap juga terbaca tentang hal ini. Dah tak tahu nak luahkan rasa apa lagi…

  4. isma says:

    Pengalaman saya — jika saya tidak menjadi ulat buku(saya belajar setakat sekolah menengah), sampai hari ini pun saya masih menjadi penyeludup beras di sungai Golok!Buku telah merubah hidup saya, pandangan saya dan daya fikir saya.Tahu.

  5. faizal says:

    Inilah dia yang dikatakan oleh Almarhum Hamka yang bunyinya lebih kurang, “akal orang yang bodoh terletak di di bawah lidahnya”. Apabila lidah mendahului akal, kata-katanya menjadi bahan tawa orang lain. Akhbar pula tidak menggunakan mata pena mereka untuk membetulkan keadaan..
    Harapnya, tak ramai yang baca laporan tersebut, terutamanya pelajar sekolah dan ibu bapa :-)..

    Oh ya, tumpang lalu tuan punya Buku-Ria, Pn Najibah..Promosi percuma untuk DBP, 🙂 Dewan Budaya Mac ada cerita mengenai budaya membaca & menulis yang semakin berkembang melalui asuhan menggunakan blog di bawah kolum Lembaran Pembaca..

    http://mundarmandir2.blogspot.com/
    Terima kasih

  6. amal says:

    Aku rasa sebenarnya kedua-duanya tak salah,lagipun sebenarnya Islam tak suruh kita hanya membaca buku je.Kalau tak kenapa Islam suruh orang lelaki kena diWAJIBkan solat berjemaah setiap waktu,supaya kita boleh berkenalan dengan ramai orang,kenapa umat Islam wajib belajar,malahan kalau belajar seorang pun tak digalakkan kerana takut syaitan yang menjadi gurunya.Sebenarnya Allah S.W.T dah berikan kita petunjuk bagi setiap sesuatu.

    Dua-dua artikewl rasanya tak salah…

    tajuknya juga aku rasa cuma nak tarik orang bace je..

    pikir jelah positif

  7. zulkhair says:

    Setuju dengan komentar bahawa judul yang dipilih amat tidak kena. Barangkali dengan harapan ada bumbu sensasi, namun mengundang kontroversi.

  8. Najibah says:

    Nana,

    Ini baru tahu Nana kurang baca akhbar arus perdana :). Separa boikotkah? 🙂

    Tuan Isma,

    Saya sudah agak Tuan ini unik orangnya. Harap lebih ramai orang-orang seperti Tuan.

    Sdr. Faizal,

    Kalau boleh, elok juga ramai ibu bapa dan pelajar baca, kemudian memvokalkan pandangan masing-masing dengan jelas supaya tajuk akhbar dibentuk dengan lebih sensitiviti. Apapun, tahniah atas tersiarnya makalah di Dewan Budaya. Makin giat menulis nampaknya 🙂

    Sdr. Amal,

    Saya setuju, kita jangan hadkan perluasan fikiran dengan membaca sahaja. Nanti akibatnya jauh dari elok pula. Cuma tajuknya kalau boleh janganlah kerana menurutkan rentak kontroversi, sampai menggadaikan perkara dan prinsip utama. Takut ada yang jenis baca sekali lalu tajuk sahaja – terus buat kesimpulan lain pula.

    Tuan Zulkhair,

    Terima kasih sudi berkomentar di sini. Sensasi sangat pun, rasanya pandangan umum perlu dijaga.

  9. isma says:

    Tidak patut kenyataan ini dikeluarkan,walaupun ‘tidak hanya.’Di Malaysia bukannya sampai 10 percent rakyatnya ulat buku.

  10. xara says:

    Masalah di Malaysia ini ialah, orang lebih suka membaca TAJUK artikel berbanding artikel itu sendiri. Sebab itu timbul banyak kontrovesi yang disebabkan penggunaan tajuk yang tidak menggambarkan artikel. Kemudian orang ramai mengulas isu tersebut tanpa merujuk kepada isi kandungannya.

    Contoh:
    Tajuk artikel : Khinzir halal dimakan – Ustaz X
    Keterangan : Khinzir itu halal dimakan sekiranya berada dalam keadaan darurat..bla..bla.. kata Ustaz X.

    Kebanyakkan rakyat Malaysia akan berhenti setakat tajuk dan memulakan perbincangan mengutuk Ustaz X tersebut dan mulai mempertikaikan kewibawaan Ustaz X tanpa merujuk artikel asal. Bukan selalunya begitu kan? 😀

  11. Najibah says:

    Tuan Isma,

    Membuat kenyataan begitu pada saya seperti bersusah-payah meruntuhkan tempat yang sama sekali belum terbina menjadi ‘istana’ yang melekakan penghuninya dari hakikat di luar.

    Xara,

    Keadaan darurat yang perlu dielakkan 🙂 – saya pun kena berhati-hati juga nampaknya, mungkin sesekali pernah terjerumus sekadar baca tajuk dan melompat pada kesimpulan mudah.

  12. ikmal says:

    Saya pernah disindir dengan kata-kata ‘Buku banyak baca pun tapi tak boleh skor A tak guna juga.’ Itu kata-kata kawan saya yang kini menjadi peguam. Jadi apakah perkaitan membaca buku dengan skor A pula? Aduh mentaliti celik orang terpelajar terhadap buku juga masih negatif lagi barangkali 🙂

  13. sastraboy says:

    ikmal..

    sangat setuju dengan kata kamu. bukan orang terpelajar saja. semua peringkat manusia warga Malaysia ada saja yang ber pikir seperti itu.

    bacha buku, sebab nak dapat A. lepas dapat A. buku champak mana??

  14. misnona says:

    mula-mula jadi ulat buku. dimakannya buku helai demi helai sampai tak jadi rupa buku. tentu orang marah kalau anda jadi ulat buku. tapi itu untuk hidup si ulat. dalam beberapa waktu kemudian ulat itu akan berubah dan bersayap terus terbang – dia tinggalkan buku. buku yang dimakan ulat itu tergeletak di mana-mana, datang orang kutip kertas, dimasukkan ke dalam plastik sampah, jual timbang kilo. kerana tak faham bahasa, saya menafsirkan baik jangan jadi ulat buku, sebab ulat tu sementara sahaja, apabila dah berubah jadi serangga lain, ia pun terbang, pas tu datang ulat baru pula. maknanya, orang jadi ulagt buku tu sekejap je, sementara sekolah, sementara di sekolah, kolej atau universitas, kalau tak… baca juga, tapi baca sms atau baca laman macam ni. ni ulat apa pulak? jangan jadi ulat taik dahle.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com