Karbala: sejarah duka umat Islam

Karbala - Faisal Tehrani

Tragedi yang patut digali maknanya...

Merinding bulu roma saya sewaktu membaca kisah pemergian Imam Hussein bin Ali bin Abi Talib ke Rahmatullah di tengah keasingan Karbala. Dalam kehausan tidak jauh dari Sungai Furat, antara rengek anak-anak dan wanita ahlul bayt, diratah senjata dan dipenggal kepalanya yang pernah diciumi Nabi s.a.w.

Turut terkorban adalah dua orang anak Imam Hussein, Ali Akbar dan Ali Asghar. Ramai lagi antara 72 orang ahli rombongan atau menurut sesetengah riwayat, kurang daripada 100 orang para sahabat, turut mempertahankannya dan berakhir dengan kepala masing-masing dijulang di hujung senjata oleh kumpulan askar Yazid bin Muawiyah.

Sekian lama tidak menggauli rentetan sejarah politik Islam yang tragis, Karbala Faisal Tehrani benar-benar menggugah saya untuk melihat dengan lebih dalam dan akrab di mana kita umat Islam sebenarnya berada.

Tragedi Karbala yang selama ini hanya disampaikan kepada kita secara sayup-sayup sahaja, tidak ditekankan di rantau dunia Melayu sehingga sempat diangkat sebagai suatu kesenian drama khusus dipanggil Ta’ziyeh atau Ta’ziyeh Khvani sepertimana di Iran. Namun saya yakin drama ini sebenarnya mampu menyusupkan semangat kebangkitan melawan kezaliman yang bukan sedikit ke dalam hati-hati manusia.

Kalaupun kita tidak mengambil bentuk sekeras yang telah dibuat di Iran atau oleh mana-mana kelompok Syiah yang lain, adaptasi dan pengubahsuaian yang berpatutan dengan budaya setempat tentu dapat membantu. Namun pengubahsuaian yang menjurus kepada pemunahan matlamat asal sepertimana yang telah terjadi kepada kesenian boria yang dikatakan berakar umbi daripada sejarah yang sama, amatlah mengecewakan.

Meskipun nanti kemungkinan besar akan ada yang akan menuduh, bahawa penyebar kisah tragedi Karbala itu layak digelar penyebar Syiah, namun saya enggan terlibat dalam tuduhan itu sama sekali. Faisal seperti yang beliau sendiri pertahankan, memang layak memperkatakannya sebagai seorang penulis dari kalangan ‘ustaz’. Malah kita patut meneliti juga syair Imam Shafii yang mendambakan dirinya sebagai Rafidhah, kalau Rafidhah itu adalah kecintaan kepada keluarga Nabi s.a.w.

Entah bagaimana kalau drama ini dipentaskan, saya bayangkan di Panggung Sari dengan hebatnya – pasti banyak air mata yang tumpah dan kepala yang tergeleng-geleng sukar mempercayai, seburuk itu cucunda Nabi s.a.w. telah diperlakukan. Kalaupun tidak di Panggung Sari yang serba canggih itu, cukup di perkarangan Masjid Negara, atau Pekan Frinjan Shah Alam, atau Annexe Central Market – di mana-mana sahaja. Tentu dapat diangkat sebagai suatu pembudayaan seni jalanan nada baru yang alternatif.

Sayang saya tiada latar belakang seni drama atau teater, kalau tidak mahu juga rasanya mencuba nasib sebagai orang seni persembahan pula, mengumpulkan sekian ramai anak-anak mungil sekolah rendah mempersembahkannya, tentu cukup indah.

11 thoughts on “Karbala: sejarah duka umat Islam

  1. Benar, tragedi Karbala hanya disampai kepada kita sayup-sayup sahaja.Menunjukkan kata Karbala itu begitu taboo buat kita.

    Saya baca Karbala ini melalui Dewan Sastera yang menyiar secara bersiri bermula akhir 2007.Setahu saya ramai yang membantah penyiaran itu.

    Mulanya (sebelum membaca karya beliau) saya sendiri pernah mengecop Faisal penyebar Syiah. Tetapi semua berubah setelah saya membaca karya-karya beliau( boleh kata semua karyanya saya baca). Sekarang ini tidak sabar-sabar hendak baca, Ingin Jadi Nasrallah.

  2. Kebanyakan buku Faisal sejak Cinta Hari-Hari Rusuhan, sudah saya khatam tetapi bukan yang satu ini.
    Mungkin sebab kerja-kerja Faisal sekarang semakin ‘berat’ hehehehe..
    Tapi membaca ulasan ini rasa terpanggil untuk menelaahnya

  3. Mudin,

    Baca jangan tak baca :)

    Tuan Isma,

    Oh, lebih panjang lagi sejarah drama Karbala Faisal rupanya. Sekarang baru saya tahu. Buku FT masih banyak yang belum saya khatam: buku-buku lama beliau sebelum 1515, Ikan Fugu, Tuhan Manusia (sedang baca), Kekasih Sam Po Bo (separuh saja), Kombat 1511H, Saasatul Ibaad (sudah beli dan akan dibaca segera)…. Belum lulus untuk jadi peminat tegar FT.

    Puan Fizahanid,

    Ya, saya pun rasa karya-karya FT terbaru perlu lebih banyak berfikir untuk menelaah dan mengkajinya :) – tetapi masih tetap menghiburkan dengan caranya tersendiri.

  4. Puan,
    Buku-buku FT banyak mengubah cara pandang saya sebagai minoriti di Thailnd. Tuhan Manusia,itu kegemaran saya hingga kini.Tapinya, berapa ramai kah pelajar sekolah kita seperti Ali Taqi itu? Melalui novel Tuhan Manusia, FT telah memberi perisai dan peluru untuk saya berdepan dengan rakan-rakan yang liberal atau ke arah plural.

  5. Tuan Isma,

    Saya agak ketinggalan memakai perisai dan mengisi peluru. Buku itu ada di rak memanggil-manggil saya setiap hari, sampai sekarang belum bersambung bacaan yang sudah terhenti.

  6. salam, saya ingin bertanya, adakah sumber dan kisah di dalam novel ini adalah dari sumber yang sahih dan boleh dipercayai?
    untuk pengetahuan semua, saya adalah peminat tulisan FT dan mempunya 3 buku beliau iaitu Tuhan Manusia, 1511, dan Advencer

  7. Wallahu a’lam. Tetapi selalunya Faisal Tehrani banyak merujuk kitab-kitab hadis Imam-Imam Ahl as-Sunnah wa al-Jamaah sebagai hujah, meskipun idea asal diadaptasi dari negara Iran/Syiah. Untuk kepastian, Toaster boleh merujuk kepada pakar agama yang tidak sealiran Faisal Tehrani, mungkin mereka ada jawapan lebih jitu dan tidak berpihak.

Add Comment Register

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>