Teruja di bengkel penulisan

kertas kerja bengkel

Fail kertas kerja yang padat ilmu

Selain perpustakaan, dunia yang saya rasa sangat dekat dengan dunia buku adalah dunia penulisan. Sebab itu sejak lama dahulu, saya menyimpan cita-cita untuk menyertai bengkel penulisan.

Kononnya mahu tahu cara-cara bertukang inti dan isi buku (tidak kira puisi, cerpen, novel atau rencana, semuanya saya anggap inti dan isi buku di sini, sebab apabila bermutu kerap akan dibukukan).

Selain itu saya rasa bengkel penulisan memberi peluang saya bertemu mata dan berkenalan dengan insan bergelar penulis yang selama ini dikenali hanya melalui buku-buku yang dibaca.

Sebelum 7 Februari 2009, dua kali peluang berbengkel pernah menyapa saya. Kedua-duanya terpaksa saya tolak dengan perasaan sangat kecewa.

Pertama, sebuah bengkel penulisan anjuran DBP Wilayah Timur dalam tahun 2006. Waktu itu saya sedang hamil sarat, lebih kurang dua minggu daripada tarikh jangka.

Oleh sebab bengkel berlangsung beberapa hari dan memerlukan saya bermalam, pihak penganjur menasihatkan saya supaya mengundur diri untuk mengelakkan kejadian luar jangka.

Saya juga tidak dapat hadir pulang hari, kerana bengkel tamat waktu malam dan suami waktu itu jauh di Melaka. Adik lelaki yang saya dambakan boleh menjemput, sibuk dengan praktikal yang sering sangat menjejak waktu kerja sehingga 36 jam lamanya. Rumah mertua dan rumah emak jaraknya boleh tahan juga daripada tempat bengkel, kalau tidak salah saya di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan [?].

Bengkel kedua pula tawarannya tiba setelah saya mencuba nasib mengirim kertas kerja ke pihak penilai DBP Ibu Pejabat. Waktunya berdekatan dengan bengkel pertama tadi. Masih saya ingat, penyampai bengkel yang dijadualkan adalah Datuk Anwar Ridhwan untuk sesi novel.

Saya fikir, kalau tidak dapat berbengkel sebelum bersalin, biar selepas bersalin sahaja. Sekali lagi malang, oleh sebab sedikit masalah semasa bersalin, saya terlepas peluang lagi.

Oleh sebab itu, tahap keterujaan saya sangat tinggi apabila dapat menghadiri Bengkel Penulisan Sai-Fi UTM-Kumpulan Utusan di Hotel Quality baru-baru ini. Kebetulan adik ipar saya bercuti di rumah, dapatlah saya andalkan dia menjaga puteri saya sehari penuh.

Niat saya bukanlah hendak sangat menyertai sayembara, sekadar mahu mencedok sedikit ilmu penulisan yang disuakan pada kadar bayaran begitu rendah tidak berpadanan dengan nilai sebenarnya.

Hati saya menyanyi-nyanyi sepanjang bengkel, seronok mendengar alun suara lunak Dr Amida Abdulhamid bercerita tentang suatu ‘dunia ajaib’ ciptaaan penulis. Dunia yang dikuasai oleh penulis bukan dengan semberono, tetapi patut dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap budaya Melayu Islam dan bahasa ibunda.

Juga mendengar penerangan S M Zakir yang penuh teknikaliti tentang karya fiksyen sains dan perbezaannya dengan karya fantasi. Sejarah fiksyen sains dan tokoh-tokohnya disediakan panjang lebar dalam kertas kerjanya yang belum puas saya tatap.

Yang paling mencuit hati tentu sahaja gaya dan penyampaian kelakar En Saleeh Rahamad, pensyarah di Fakulti Pengajian Media Universiti Malaya. Sempat beliau meneliti pembukaan beberapa buah karya peserta, memberi saya suatu kefahaman baru tentang karya kreatif yang tidak pernah terlintas di fikiran sebelum ini.

Puan Nor Azah, salah seorang ketua editor Kumpulan Utusan turut memberikan tips-tips yang sangat berharga bagi menyertai sebuah sayembara penulisan, sudah tentu dari kaca mata seorang editor yang berpengalaman luas.

puan nisah haron

Bersama penulis wanita tanahair, Puan Nisah Haron

Lebih manis lagi, turut menyertai bengkel adalah seorang penulis wanita prolifik yang saya kagumi, Puan Nisah Haron. Sempatlah saya berfoto dengan beliau hari itu, dan memperkenalkan diri seadanya. Beliau telah banyak membantu BukuRia sebelum ini melalui pengiklanan dan lain-lain.

Saya cuma tidak sempat bertegur sapa dengan seorang lagi pengomentar BukuRia yang sering mengunjungi laman ini dan banyak memberi sokongan awal, iaitu Encik Rozlan Mohd Noor. Beliau adalah editor Tintarona dan Utusan, bertugas sebagai pengerusi majlis di bengkel tersebut.

Sehari berbengkel itu membuat saya cukup penat, tambahan lagi sudah lama tidak duduk sehari menadah ilmu seperti itu. Tetapi sungguh, mental dan rohani saya terasa penuh terisi. Rasanya batin saya tidak pernah setenang 7 Februari 2009, seolah-olah saya temui kembali semangat saya yang hilang setelah gagal menghadiri dua bengkel penulisan sebelum ini.

Dunia buku rasanya tidak akan habis saya terokai setakat di bengkel penulisan ini. Saya ketagih mahu berbincang tentang buku dan segala cabang dunianya dengan lebih kerap lagi!

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

6 Responses

  1. peesha says:

    Najibah,

    Kiranya dah terlerai lah kecemburuan anda terhadap saya kerana ajkhirnya dapat juga menyertai bengkel penulisan itu? Dan, saya menjadi cemburu dengan anda pulak! Bestnya speaker2 nya …

    Pstt … awat tak senyum pun masa bergambar dgn Nisah tu? Cam tak gembira saja? Hahaha …

  2. Najibah says:

    Peesha, cemburu jangan tak cemburu :). Tapi kalau nak gi, still ada lagi bengkel yang sama di sebelah pantai timur. Boleh rujuk di blog En Rozlan.

    Hehehe, senyum tu sebenarnya, penuh kesopanan. Nak sengih sampai ke telinga kan over pulak 🙂

  3. Ass.wr.wb,
    I’am Sigit from Indonesia, I just visit to your blog, nice blog, I like reading and write to, and I wont to add to my friend. sory my bahasa is not good. Please see my blog:
    cryta.wordpress.com
    Wassalam.

  4. Najibah says:

    Waalaikumussalam Saudara Sigit.

    Thank you for dropping by :). Please come again (Terima kasih kerana sudi menziarah. Sila datang lagi)

  5. Az says:

    salam ziarah Najibah,

    wah, hebatnya blog 🙂

  6. Najibah says:

    Puan Azmah,

    Terima kasih. Tidak seberapa sebenarnya berbanding blog-blog lain yang lebih trampil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com