Tersesat dalam dunia sihir Athena

Witch of PortobelloTajuk: The Witch of Portobello
Pengarang: Paulo Coelho
Tahun: 2007
Penerbit: HarperCollins Publishers

Sewaktu sedang asyik dengan novel The Alchemist Paulo Coelho, seorang rakan blog dan rakan buku saya Bunnybaby telah mengkhabarkan bahawa dia mahu melepaskan dua buah buku Coelho di BookCrossing.

Salah satunya adalah buku Witch of Portobello. Saya terus meminta buku itu daripadanya dengan penuh semangat, dibayangi oleh kisah Santiago dalam The Alchemist. Pengembaraannya dari Andalusia ke Mesir telah mencabar fikiran saya tentang sisi spirituil perjalanan fizikal mencari ‘khazanah’ hidup.

Bunnybaby memberi amaran bahawa buku ini berlainan dari The Alchemist. Malah berada dalam sebuah dunia yang berbeza sama sekali. Namun amaran itu tidak menyurutkan jangkaan tinggi saya terhadap Witch of Portobello.

Sebaik sahaja bermula, saya telah teruja dengan cara pengolahan Coelho. Kisah Sherine Khalil atau Athena, seorang anak angkat kepada sebuah keluarga berada Lubnan yang berketurunan gipsi Romania telah diceritakan melalui fragmen-fragmen biografi yang disusun oleh seseorang.

Ada pelbagai misteri yang menggamit rasa ingin tahu sejak awal buku ini. Saya tertanya-tanya siapakah penyusun biografinya, kenapa kisah Athena cuba dibiografikan, serta bagaimana dan kenapa Athena yang diceritakan oleh sekian orang melalui buku ini, telah mati dibunuh.

Semua persoalan itu perlahan-lahan tersingkap sedikit demi sedikit melalui cerita-cerita orang yang dekat dengan Athena; Samira Khalil ibu angkatnya, Edda gurunya, Heron Ryan pencinta Athena, Andrea McCain anak murid yang membencinya dan ramai lagi.

Rupa-rupanya Athena bukan wanita biasa, kerana dia dikatakan mempunyai kelebihan istimewa untuk berhubung dengan Jiwa Dunia yang dipanggil ‘The Mother’, yang menjadi punca segala cinta dan kehidupan. Apabila dia bersatu dengan ‘The Mother’, dia seolah-olah memiliki kuasa sihir. Mampu memberitahu tentang masa hadapan, masa kini dan masa lalu.

Masalahnya, tidak ramai orang akan menyedari tentang kuasa istimewa ini yang boleh digali daripada diri setiap manusia – yang nampaknya dari amalan Athena, melalui tarian dan muzik. Dan orang yang tidak mempercayai kelebihan ini akan sering melihat amalan serupa dijalankan Athena sebagai anti kepercayaan yang sedia ada.

Selama ini mereka yang mempunyai keistimewaan untuk menyusup masuk ke Jiwa Dunia seperti Athena telah ditekan dengan pelbagai cara serta dituduh sebagai pengamal sihir. Bagi penentang Athena, manusia dilahirkan untuk mengikuti corak kehidupan sedia ada demi kestabilan, meskipun batin mereka menyoal dan mencabar tentang kesahihan apa yang sedang mereka ikuti dan lalui.

Bagi saya, tema yang diteroka Coelho masih tidak lari daripada Alchemist dahulu. Kedua-duanya tentang perjalanan spirituil manusia mencari ketenangan abadi. Malah dalam Witch of Portobello, Coelho sering mengulang apa yang telah beliau nyatakan di dalam The Alchemist. Ada terselit tentang alchemy, ‘soul of the world’ dan lain-lain lagi.

Mungkin liku pencarian itu cuba dipaparkan penuh hikmah oleh Coelho dalam sebuah dunia moden hari ini berbanding The Alchemist yang lebih kelihatan seperti dongeng dan kisah legenda. Namun bagi saya, Witch of Portobello gagal memberi kesan seperti Alchemist kerana terlalu bersimpang-siur dan kalut dengan idea yang bertele-tele sehingga saya berasa lemas dan tersesat di dalam dunia ‘sihir’ Athena. The Alchemist jauh lebih meyakinkan dan bulat daripada Witch of Portobello, saya rasa. Lebih berjejak dan menginspirasikan, juga lebih umum dan tidak terlalu menjurus kepada Kristianiti dan kepercayaan gereja.

Tambahan lagi, Athena bagi saya terlalu cengeng, hampir tiada sisi praktikalnya untuk diikuti, terlalu tidak tenang meskipun setelah banyak kali ditenangkan oleh Edda dan keupayaannya untuk berhubung dengan ‘The Mother’ adakalanya nampak terlalu enteng dan tawar serta kurang menjadi. Tetapi pada masa yang sama dia dapat mempengaruhi ramai orang yang tiba-tiba dengan begitu mudah mengikutinya. Agaknya di situ terletak karisma Athena, yang bagi saya tidak dipaparkan dengan meyakinkan untuk membuat saya mempercayai kekuatannya untuk menarik manusia.

Walau bagaimanapun, salah satu kekuatan cerita ini bagi saya adalah beberapa helaian terakhirnya. Setelah dapat mengagak kenapa Athena dibunuh oleh penentangnya, pembaca bakal terkejut dengan pengakhiran yang saya rasa sangat luar jangka. Hanya penyusunnya dan beberapa orang yang paling dekat dengan Athena mengetahui rahsia sebenar kehidupan wanita itu.

Membaca buku ini sebagai hiburan berisi juga tidaklah membosankan. Masih ada pengetahuan sampingan lain yang mengujakan untuk diteroka. Misalnya kritikan Coelho terhadap amalan gereja, kisah drakula atau pontianak orang Barat yang dikatakan berasal dari Transylvania dan asal-usul sikap anti orang Barat terhadap orang gipsi. Kita juga dihidangkan dengan sisi-sisi falsafah Carl Jung dan aspek-aspek psikologi.

Selain itu saya tertarik dengan fakta bahawa dalam Witch of Portobello, Coelho sekali lagi memasukkan watak seorang bijak pandai beragama Islam yang mengajarkan Athena kaligrafi di padang pasir. Di sini ada persamaan yang besar dengan The Alchemist yang juga mengangkat watak beragama Islam tanpa prejudis, malah menjadi guru kepada watak utamanya.

Dan oh ya! Portobello itu bukanlah sejenis cendawan seperti gurauan rakan blog saya Peesha, walaupun memang ada sejenis cendawan dengan nama itu. Portobello adalah suatu nama tempat di London di mana barang-barang antik mudah didapati. Kemuncak kisah Athena telah terjadi di Portobello.

Markah:3/5

Buku ini untuk siapa?: Peminat tegar Paulo Coelho dan kisah sihir-sihiran serta pengkaji dunia spirituil Barat

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

5 Responses

  1. Nana says:

    Salam.

    Ha ha! (Psst, nama saya disalah eja sebagai ‘Bunnybany” di perenggan pertama). Tak sangka Najibah berjaya menjiwai novel ini. Tak rugi saya melepaskannya.

    Selitan guru kaligrafi itu bagi saya tidak memberi kesan yang besar. Ia sekadar sampingan untuk memperkayakan ilmu Athena, tetapi tidak pun digunakan dalam perjalanan hidupnya kemudian hari.

  2. Najibah says:

    Nana, salam kembali.

    Bunnybany? Macam mana saya tak perasan. Dah dibetulkan :). Betul ke saya menjiwainya, tak juga rasanya. Saya berjuang habis-habisan untuk selesaikan buku ni. Dalam 50 halaman terakhir barulah bertambah laju.

    Betul, dia tak sepenting Edda atau Andrea. Tapi saya rasa tanpa belajar kaligrafi dengan lelaki Islam yang bijaksana tu, Athena takkan menyedari tentang ‘blank spaces’ dalam hidupnya yang menggerakkan dia untuk mencari emaknya di Sibiu. Subplot yang tak boleh ditinggalkan? Saya tertanya-tanya kenapa Coelho minat sangat memasukkan orang Islam dan latar belakang padang pasir dalam ceritanya. Nampaknya kena siasat buku-bukunya yang lain. Erk, saya dah jadi peminat tegar Coelho ke? Duh!

  3. isma says:

    Menarik entri ini. Saya belum pernah membaca sebarang tulisan Coelho, kerana asyik dengan buku politik. Nampak saya perlu beralih angin. Terima kasih

  4. Najibah says:

    Isma,

    Buku-buku politik pun penting juga 🙂 . Kalau buku Coelho, saya bermula dengan The Alchemist. Selepas baca Witch of Portobello ekspektasi tinggi terhadap Coelho menurun sikit. Tapi perasaan mahu cari bukunya lagi makin bertambah.

  5. Peesha says:

    Najibah … baru baca respond Najibah di GR … saya baru nak bgtahu mengenai Portobello market tu … rupanya dah ada kat sini … heh!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com