Masa untuk beralih ke e-Pembaca?

Tahun ini sahaja, ada tiga e-Pembaca (e-Reader) yang telah dan akan muncul di pasaran: Amazon dengan bergaya telah melancarkan Kindle 2 miliknya Februari ini, Foxit bakal menyusul pada bulan April dengan eSlick Reader dan sebuah syarikat Jerman pula akan menampilkan txtr Reader.

Kindle 2

Meskipun ketiga-tiganya setakat ini terhad jualannya dalam pasaran tempatan, namun teknologi peranti membaca dan telekomunikasi digital sudah tentu akan semakin maju sehingga akhirnya seluruh dunia akan dapat menikmati peranti yang sama.

Sudah ramai yang beralih arah menggunakan e-Pembaca. Ada yang menyatakan halangan sekarang hanyalah teknologi yang belum benar mantap dan penyesuaian manusia dengan budaya membaca cara baru. Apabila semua orang sudah biasa dengan e-Pembaca, sudah tentu mereka hanya akan membeli buku untuk keperluan tertentu sahaja.

Apa yang istimewa pada peranti e-Pembaca Kindle misalnya? Kindle nipis dan jimat ruang, dengan ruang penyetoran buku yang besar hingga boleh memuatkan kira-kira 1500 buah data buku konvensional. Paparannya tidak menyakitkan mata seperti skrin LCD kerana menggunakan teknologi e-Dakwat (e-Ink).

Bahan bacaan Kindle paling terkini dan sentiasa berkemas kini kerana Amazon adalah salah satu pemain penting industri penerbitan digital. Pembaca tidak perlu ribut-ribut ke kedai buku atau menunggu majalah yang dilanggan tiba di rumah, klik sahaja dan tunggu tidak sampai lima minit, semua telah tersimpan dalam storan 2GB. Kindle boleh mengakses Internet juga, terutamanya Wikipedia.

Dari sudut matlamat ‘hijau’, peranti membaca digital ini dapat pula mengurangkan carbon footprint (jejak karbon?) semasa proses membuat kertas dan pengangkutan buku ke seluruh dunia. Kalau penat membaca dengan mata, boleh santai-santai mendengar isi buku dengan telinga kerana ada sistem stereo disertakan.

Foxit eSlick Reader

Pendek kata, buku konvensional benar-benar mendapat saingan hebat kali ini.

Di Malaysia kita juga sudah ada Mbook, usahasama PTS, METADOME dan Maxis. Harganya hanya RM5.00 sebuah, jauh lebih murah daripada buku bercetak. Mengikut rentak di kedai maya Amazon, buku digital juga murah harganya iaitu hanya $9.90 dolar sebuah.

Mungkinkah kita patut menyesuaikan diri sekarang dan mula membaca secara digital? Apa pandangan anda yang pernah membaca Mbook di skrin LCD telefon bimbit atau peranti digital lain? Mungkin boleh diasingkan dahulu pengalaman membaca di komputer secara digital, kerana itu agak berbeza dengan membaca menggunakan e-Pembaca yang sudah tentu lebih santai kerana dapat dibawa ke sana ke mari dan dipegang ala buku konvensional.

Saya fikir mungkin inilah masanya saya perlu beralih angin dan mencuba sekurang-kurangnya Mbook. Skrin Kindle 2 bagi saya, dengan cetakan tulisan e-Dakwat di atasnya, kelihatan agak menyelerakan untuk dihadam. Entah bagaimana muncul rasa teruja yang sama seperti ketika melihat buku-buku konvensional juga. Mungkin saya tidak akan pernah sepenuhnya menjadi penyokong e-Pembaca, tetapi tiada salahnya meneroka dan mempunyai alternatif yang berbeza.

PS: Lihat kritikan tentang teknologi e-Pembaca yang sedia ada di if:book mengenai satu teknik yang diguna pakai dalam membuat buku konvensional, dipanggil hyphenation. Sejauh ini belum ada mana-mana peranti digital yang dapat mengatasi kaedah ini yang mempunyai akar budaya sekaligus kemahiran menaakul secara manusiawi. Apa pendapat anda? Mungkinkah suatu masa nanti teknologi akan mampu mengatasi keperluan hyphenation ini?

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

8 Responses

  1. isma says:

    Jimat tak kalau membaca pakai alat ini?

  2. Najibah says:

    Untuk jangka masa panjang saya percaya jimat. Mungkin bila tiba di Malaysia nanti, patut tunggu harganya turun semurah telefon bimbit dan kamera digital sekarang.

  3. Kak Najibah… perkembangan sains dan teknologi yang semakin pesat juga menyumbang ke arah e-pembaca ini, walaubagaimanapun .. saya tetap menyenangi “buku” yang ada sekarang kerana kepuasannya tidak terhingga berbanding menggunakan alat teknologi yang agak kekok malah mungkin memerlukan aliran kuasa seperti bateri dsbnya :))

  4. xara says:

    Walaubagaimana hebat pun, saya rasa ianya tidak dapat melawan nikmat membaca buku secara fizikal. Namun begitu, peranti seperti ini sangat sesuai untuk orang yang selalu travel ke sana-sini. Kadang-kala apabila hendak ke sana-sini, saya terlupa untuk membawa bahan bacaan. Mujurlah telefon bimbit boleh menyimpan fail pdf dan boleh dibaca sementara menanti orang.

    Saya tidak melanggan MBook kerana tidak gemar membaca buku cerita di skrin telefon. Bagi peranti mudah alih, saya lebih suka membaca nota tutorial kerja. ­čśÇ

  5. hasliza says:

    kak najibah,
    Assalamualaikum dan salam perpaduan….
    Kami di Bahagian Pinjaman, Perpustakaan Negara Malaysia ingin mengadakan Bengkel Puppet Show:-

    Pengendali : Mama Zakiah dr Kumpulan Kucing – kucing
    (isteri Yusof Gajah, Illustrator buku kanak- kanak)
    Tarikh : 14 hb Mac 2009 (Sabtu)
    Masa : 9.30 – 4.30 ptg
    Tempat : Teater Kanak- kanak, Aras Bawah, PNM.
    Penyertaan : Percuma/ sijil, makan & minum disediakan

    Pendedahan kepada yang berminat untuk menubuhkan kumpulan bercerita.Pendekatan yang akan dijalankan dimana anda akan dilatih untuk menjalankan aktiviti bercerita dengan menggunakan buku, lakonan, vokal dan menyanyi. Selain dari itu, anda juga akan diberi pendedahan untuk membuat boneka, props dan pentas untuk persembahan boneka. Cara pemilihan bahan untuk sesi bercerita juga akan diajar.

    Hubungi saya : Hasliza, 26871743 atau email norhasliza@pnm.my utk keterangan lanjut.
    T/K.

  6. Najibah says:

    Hasliza,

    Terima kasih. Akan segera dimasukkan ke dalam senarai acara buku supaya lebih senang dirujuk pembaca.

    Wah, kalau ada masa memang nak pergi sangat bengkel-bengkel macam ni, tapi banyak aral pula.

    Hasliza, macam mana kelab buku yang dilancarkan dulu di bawah PNM? Apa pengisian yang dah dibuat. Ada link ke laman sesawang kelab? Sudah cari di pnm.my, tapi tak jumpa.

  7. adila_alim says:

    Memang mudah bunyinya tapi masih tidak dapat merasai aroma buku tersebut. Maaf puan saya kalau stress atau tension salah satunya adalah saya suka pergi ke kedai buku dan menikmati aroma buku biar pun tidak membeli. Ada-ada saja saya ni

    • Najibah says:

      Ya, ramai yang jatuh cinta dengan buku kerana aromanya yang istimewa tu (termasuk saya juga :)).
      Namun kita juga tak dapat nafikan gelombang e-pembaca dan buku digital semakin hari semakin berkembang.
      Di Malaysia sekarang sudah banyak pilihan pembekal buku digital berbahasa Melayu malah: eSentral, eMall dan PTS Digital antaranya.
      Ada sisi yang belum dan mungkin tak dapat dicabar e-Pembaca sampai bila pun pada buku konvensional, mungkin itulah yang akan buat buku dalam bentuk lama bertahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com