Jangan Main-Main

Jangan Main-MainTajuk Buku: Jangan Main-Main
Pengarang: Dr HM Tuah Iskandar
Penerbit: Telaga Biru
Tahun: 2007

Motivasi boleh diibaratkan sebagai obor yang mampu menerangi ketika semangat mulai malap dalam diri manusia. Motivasi berupaya mengubah tabiat hidup manusia daripada malas kepada rajin dan produktif, miskin menjadi kaya dan yang paling utama berupaya mengubah tabiat jiwa manusia yang sentiasa dirundung rasa kepayahan kepada kebahagiaan. Untuk itu manusia sentiasa memerlukan motivasi berbentuk luaran, dalaman serta petunjuk dari Pencipta dalam menempuh hidup di dunia yang penuh dugaan dan rintangan.

Kemunculan buku karya pakar motivasi terkenal tanah air, Dr. HM Tuah Iskandar Al-Haj berjudul ’Jangan Main-Main’ pada awal tahun baru 2007 merupakan suatu langkah bijak dan kreatif. Selain daripada strategi pemasaran, kehadiran buku motivasi pada awal tahun tentu dapat memancing minat rakyat Malaysia khususnya dalam merancang dan melakukan anjakan minda ke arah kehidupan yang lebih cemerlang .

Penulis buku ini, Dr. HM Tuah Iskandar Al-Haj merupakan seorang pemegang ijazah Ph.D dalam Mass Communication & Letters dari Ansted University, United Kingdom. Beliau merupakan seorang penerima anugerah Belia Negara 1999, dalam kategori Inovasi & Kreatif dan The Outstanding People of the 20th Century Award 2000 daripada International Biographical Centre, England. Selain aktif sebagai pakar motivasi, kaunselor, novelis, penulis buku dan panelis majalah, TV serta radio, beliau juga gemar mengembara secara solo ke seluruh pelusuk dunia bagi menambah pengalaman selain menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan.

‘Jangan Main-Main’ merupakan suatu rentetan daripada buku-buku tulisan Dr. HM Tuah yang diterbitkan sebelum ini dengan judul seperti ’Jangan Tidak-Tidak’ dan ’Nak Ke Tak Nak’. Di sebalik judulnya yang unik, buku ini memaparkan bentuk rangsangan, panduan dan kaedah yang perlu diamalkan oleh setiap orang untuk mengoptimumkan potensi minda ke arah kehidupan yang lebih bahagia serta bekerja secara efisien, teratur dan objektif.

Buku ini yang ditulis secara bersahaja dengan gaya bahasa yang ringkas dan mempesonakan berupaya menarik minat golongan pembaca menghayati motivasi dengan santai dan rileks. Kebolehan penulis menggarap buku ini sedemikian rupa membuatkan pembaca seolah-olah sedang berinteraksi dengan penulis secara nyata. Pendekatan ini selalu diamalkan oleh Dr. HM Tuah dalam kebanyakan siri motivasi beliau baik di kaca televisyen, radio mahupun artikel-artikel motivasi yang beliau tulis dalam pelbagai majalah di tanah air.

Buku setebal 376 mukasurat ini mengandungi 121 sketsa yang memuatkan pelbagai kisah hidup dan pengalaman serta program-program motivasi beliau. Antara sketsa-sketsa motivasi yang dimuatkan dalam buku ini termasuk ’Semangat Awang, Enrique dan Ariberto’, ’Bangkitkan Patriotisme Anda’, ’Kuasa Minda, Alamak!’, ’Isnin-Kena Score’, ’Rumput Motivator Saya’, ’Jom ke Florida’ dan pelbagai lagi tajuk lain yang unik, mampu membuatkan pembaca terpaku dan terus menyelak helaian demi helaian untuk menikmati keseluruhan kandungan buku.

Kebijaksanaan penulis menyelitkan mutiara kata, pantun nukilan beliau sendiri dan juga kata-kata hikmah dari pujangga terkenal di setiap helaian dalam buku ini juga mampu membakar semangat pembaca untuk terus menghayati tulisan beliau. Selain itu, ’Jangan Main-Main’ juga dilengkapi dengan lebih 220 ilustrasi yang menarik menjadikannya lengkap sebagai satu pakej buku motivasi berbentuk santai yang sesuai untuk semua golongan.

* * * * * * *

Penyumbang ulasan ini, Mohd Faizal Aziz yang kini berada di Montreal, Kanada telah menulis untuk akhbar dan majalah seperti Mingguan Malaysia dan Dewan Kosmik terutamanya dalam bidang nanoteknologi. Blognya Mundarmandir boleh dilawati di sini, manakala yang lebih menjurus ke bidangnya di sini.

You may also like...

1 Response

  1. Najibah says:

    Masa belajar dulu, saya ada kawan yang selalu bawa buku motivasi HM Tuah Iskandar ke hulu ke hilir. Sekali sekala saya tumpang baca memang seronok. Sekarang dia sudah jadi pensyarah yang berjaya. Mungkin hasil motivasi Dr HM Tuah? 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com