Syarahan Umum Prof Emeritus Dr Osman Bakar*: Pengelasan Ilmu Menurut Islam

Prof Emeritus Dr Osman Bakar

Prof Dr. Osman Bakar

Entah sudah berapa kali saya terdengar nama sarjana besar yang seorang ini, tetapi saya tidak ambil peduli. Terasa betapa kerdilnya diri. Jika tidak digerakkan Allah ke majlis ceramah umum di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) semalam, sudah tentu saya akan lebih terlewat lagi mengenalinya.

Sewaktu sampai di Balai Ilmu, para pendengar telah memenuhi ruang dewan. Beberapa gerai jualan buku juga turut dibuka, memantapkan suasana keilmuan yang sedia terasa. Saya mengangkat kerusi kosong masuk ke dewan. Syukur sempat juga mengikuti syarahannya walaupun dari belakang sahaja.

Dalam syarahan singkatnya bertajuk Classification of Knowledge in Islam yang bermula pada jam 3.30 dan berakhir kira-kira jam 5.00 petang, Profesor Emeritus memperkatakan tentang inti bukunya yang bertajuk sama. Sambutan hangat terhadap buku ini begitu nyata kerana ia telah diterjemahkan di peringkat antarabangsa ke dalam bahasa Parsi, Turki, Indonesia, Arab dan sebahagiannya ke dalam bahasa Urdu.

Balai Ilmu APIUM

Khusyuk menadah ilmu daripada malim sarjana

Menurut beliau, dalam bahasa Arab istilah taqsim al-ulum telah lama dipakai sejak zaman Al-Farabi sebagai merujuk kepada pengelasan ilmu. Ini menunjukkan pengelasan ilmu adalah suatu ‘landmark‘ penting dalam dunia keilmuan Islam. Malah Ibnu Nadim seorang peniaga buku yang terkenal juga melakukan pengkatalogan dan pengelasan terhadap buku-buku yang dimilikinya.

Keistimewaan pengelasan ilmu Islam berbanding pengelasan ilmu Barat adalah wujudnya hirarki ilmu. Dalam pandangan Islam, tidak sama hirarki ilmu ketuhanan dengan ilmu kemanusiaan, sepertimana tidak sama hirarki ilmu kemanusiaan dengan ilmu tentang haiwan atau batu-batan.

Satu petunjuk menarik daripada Al-Qur’an tentang ilmu menurut beliau boleh dibaca seawal Surah Al-Fatihah. Jika ilmu menurut kajian Frank Rosenthal adalah sesuatu yang tidak mampu didefinisikan melainkan hanya mampu diterangkan sifat istimewanya, maka salah satu sifat istimewa ilmu adalah untuk membawa manusia kepada cahaya dan kebenaran. Surah Al-Fatihah memuatkan pencarian manusia menuju jalan yang lurus, yakni jalan kebenaran.

Beliau turut menyentuh kecenderungan orang Melayu untuk menjauhi diri daripada persoalan falsafah, mungkin kerana golongan penyampai Islam di Tanah Melayu adalah daripada kalangan pengikut fahaman Imam Al-Ghazali yang banyak memberi amaran tentang bahaya dan kesesatan ilmu falsafah.

Kemerosotan bidang pengelasan ilmu menurut Islam akhirnya mula terasa pada abad ke-10 Hijrah (abad ke-16 Masihi) dan seterusnya mengalami kebekuan pada abad ke-12 Hijrah (abad ke-18 Masihi). Seruan beliau adalah supaya generasi muda Islam bangkit untuk menguraikan teka-teki tentang kemerosotan dan kebekuan yang telah menimpa bidang pengelasan ilmu menurut Islam ini dengan kajian-kajian akademik yang lebih mendalam.

Tauhid dan Sains Classification of Knowledge in Islam

Sayangnya saya terpaksa bangkit sebaik sahaja ucapannya tamat tanpa sempat menunggu sesi soal jawab. Ada urusan keluarga yang menanti saya di rumah. Apapun, saya sempat membeli dua buah buku beliau bertajuk Classification of Knowledge in Islam dan Tauhid dan Sains.

Sewaktu baru selesai membeli buku, saya menoleh kepada seorang lagi pendengar ceramah yang rasanya keluar awal sedikit daripada saya. Sekali tengok, lelaki itu ada rupa Faisal Tehrani. Tetapi saya tidak berani membuat telahan membabi-buta kerana sempat memerhatikan sekilas sahaja. Kalau betullah itu beliau, ruginya saya kerana tidak sempat menjadikan syarahan umum di APIUM sebagai serampang dua mata.

* * * * * * *

*Profesor Emeritus Dr Osman Bakar kini merupakan Profesor di Institut Kefahaman dan Tamadun Islam (ISTAC). Sebelum ini beliau adalah Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya dan bersara dengan menyandang gelaran Profesor Emeritus Falsafah. Mendapat pendidikan di Universiti London dan Universiti Temple Amerika Syarikat dalam bidang Matematik dan bidang Falsafah Islam, beliau telah menghasilkan 13 buah buku dan lebih 150 artikel dalam bidang pemikiran dan ketamadunan Islam.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

6 Responses

  1. annahs says:

    Asslmkm…

    Macam mana nak tahu syarahan umum macam ini yea? Kalau saya tahu pun, Insya Allah suka juga nak attend.

    Terima kasih. 🙂

  2. Najibah says:

    Annahs,

    Waalaikumussalam. Boleh cuba lawat laman-laman web institusi pengajian kita – biasanya ada dipromosikan.

    Kalau Annahs minat nak dengar syarahan Prof Emeritus Dr Osman Bakar, dalam waktu terdekat ini ada satu lagi program beliau. Rujuk di Acara Buku untuk maklumat lanjut:

    Seminar Islam dan Sains dalam Pembangunan Tamadun

    Tarikh: 26 – 27 Mac 2009
    Masa: 8.00 pagi – 4.00 petang
    Tempat: Auditorium Institut Pengajian Siswazah Universiti Malaya

  3. annahs says:

    Asslmkm…

    Saya ada aktiviti buku yang nak diwar – warkan di sini. Bagaimana yea?

  4. Najibah says:

    Annahs,

    Waalaikumussalam. Boleh kirim ke e-mel admin@bukuria-malaysia.com. Nanti akak muatkan di bahagian Acara Buku 🙂

  5. annahs says:

    Asslmkm…

    Roger and out! Hehehehe 🙂

  6. Najibah says:

    Annahs, ditunggu e-melnya. Teringin tahu apa acaranya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com