Buku yang terlarang

Vamos a CubaTidak lama lagi Pesta Kesusasteraan Antarabangsa Dubai akan berlangsung daripada 26 Februari – 1 Mac 2009. Pesta ini sememangnya dinanti-nantikan oleh Geraldine Bedell. Ini kerana novel terbarunya berjudul Gulf Between Us akan menjadi satu-satunya buku berbahasa Inggeris yang akan dilancarkan di pesta tersebut.

Tetapi pada saat-saat akhir, buku itu telah disenarai hitam oleh pihak penganjur kerana intinya didapati boleh menimbulkan kontroversi. Antara kontroversi yang dimaksudkan adalah wujudnya watak seorang lelaki Arab homoseksual yang mempunyai teman lelaki Barat, cara buku tersebut membicarakan tentang Islam serta termuatnya tragedi perang Iraq.

Oleh sebab pengharaman ini, nampaknya Pesta Kesusasteraan Dubai telah menerima padah kerana kehilangan ramai peserta (penulis) terutamanya dari Barat yang menarik diri demi menyatakan penentangan terhadap apa yang disifatkan sekatan terhadap kebebasan menulis.

Di Miami, Amerika Syarikat pula gara-gara seorang bapa, Juan Amador membuat bantahan kepada sekolah anaknya tentang sebuah buku berjudul A Visit to Cuba (Vamos a Cuba), pihak sekolah telah menyenarai hitam buku terbabit daripada menjadi bahan bacaan. Naskhah yang berada di perpustakaan sekolah telah ditarik balik daripada rak.

Fidel CastroBuku itu dikatakan menggula-gulakan suasana kehidupan di bawah pemerintahan komunis Fidel Castro. Ini bertentangan dengan dasar Amerika yang bermusuhan dengan Cuba. Akhirnya mahkamah menyebelahi keputusan pihak sekolah dan memutuskan bahawa pengharaman buku itu di sekolah rendah tersebut tidak menyalahi Perlembagaan.

Sebenarnya, perdebatan mengenai isu penapisan buku seperti yang berlaku di Emiriyah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat tidak asing di mana-mana negara sekalipun. Di Malaysia sendiri, terdapat banyak buku-buku yang telah diharamkan oleh KDN ataupun JAKIM.

Malay Dilemma Antara buku-buku yang pernah diharamkan adalah buku The Malay Dilemma nukilan bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohammad, buku Penilaian Semula Hadis oleh Dr Kassim Ahmad dan buku-buku kumpulan Sisters in Islam.

Antara buku dari luar negara yang telah ditapis pula adalah beberapa buah buku Karen Amstrong, seorang sarjana perbandingan agama dan memoir Josephine Gillespie yang menulis tentang kehidupan singkatnya di kalangan kerabat Sultan Terengganu sebagai isteri Raja Baharin. Manakala buku-buku yang ditapis oleh JAKIM biasanya merupakan buku-buku dakyah Kristianisasi yang secara terang-terangan mensasarkan orang Islam sebagai pembaca.

Walau bagaimanapun, ada antara buku-buku yang dihalang penyebarannya ini boleh didapati secara agak meluas, boleh dibaca serta dibincangkan tanpa banyak masalah. Pernahkah anda membaca mana-mana buku yang telah diharamkan sama ada penerbitan dalam negara atau luar negara? Pada pendapat anda, adakah buku-buku tersebut benar-benar sebahaya itu untuk dihadam oleh orang ramai secara berleluasa?

Battle for GodAtau mungkin pernah ibu bapa anda sendiri menghalang anda membaca buku-buku tertentu yang mereka rasakan kurang sesuai bagi anak seumur anda atau untuk corak pemikiran anda? Ada yang melemparkan pendapat bahawa ibu bapa tidak sepatutnya menyekat pembacaan anak-anak, tetapi mengawal dan melatih pemikiran anak dengan membelikan buku tambahan yang berpandangan sebaliknya. Dengan cara ini pemikiran anak akan lebih kritis dan maju. Apa pendapat anda?

Jika sebuah sekolah Amerika diberi pilihan untuk menapis sebuah buku kanak-kanak sekecil Visit to Cuba, bagaimana pula hak pemilihan sebuah negara yang tidak ‘sekuat’ Amerika untuk melindungi ideologi, kepercayaan dan kebudayaan mereka? Apa pula kata anda jika penapisan digunakan sebagai senjata untuk menyelamatkan keberadaan politik?

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

11 Responses

  1. isma says:

    Puan, saya sendiri pun tidak tetap pendirian dalam hal ini.Memang banyak buku yang boleh meracun pemikiran contoh buku Irsyad Manji, Faith Without Fear.Saya risau dengan cara beliau menulis bak air mengalir, penuh pujukan, sampai boleh mencair iman…isy.

  2. Juga buku oleh penulis tempatan segelintir diterap secara halus beberapa pendirian dan pengangan ke arah sesuatu idea atau gagasan yang sensetif. Sebagai pembaca harus bijak menelaah. Kadang2 sedikit ilmu bantu perlu untuk menyerap falsafah dalam sesebuah naskhah.

  3. raz says:

    buku the battle for god tu cam best jerk..mana nak carik

  4. Najibah says:

    Tuan Isma,

    Saya sendiri masih mencongak-congak. Baru terhegeh-hegeh mahu baca bahan-bahan berkait censorship sekarang 🙂

    Tuan Rozlan,

    Kebijakan menelaah itulah agaknya membimbangkan pihak yang menapis, mungkin tidak semua orang ada ilmu bantu tersebut. Sebab itulah diwujudkan penapisan?

    Salam Raz dan selamat datang,

    Saya pun teringin nak baca buku-buku Karen Amstrong. Cuba Kinokuniya. Saya ada terbaca di blog seseorang, buku-buku terlarang yang tak ada di Borders ada yang boleh ditemui di Kino.

  5. Faizal says:

    Topik yang menarik!

    Di Perpustakaan Tun Seri Lanang UKM, buku-buku terlarang diletakkan dalam kategori Koleksi Haram. Bahagian tersebut hanya dibenarkan untuk pelajar-pelajar yang membuat penyelidikan dan memerlukan surat khas dari pensyarah. Teringin juga nak tengok buku apa yang diharamkan, tapi tak berkesempatan.

    1. Buku berbahasa melayu yang paling kontroversi kalau tak silap saya ialah karya Kassim Ahmad yang berjudul Hadis:Satu Penilaian Semula. Sehingga kini ia tidak lagi diterbitkan, namun masih boleh dibaca di laman blog beliau.
    Saya sendiri pun masih membaca tulisan Kassim Ahmad.

    Oh ya, satu lagi buku beliau yang pernah saya baca berjudul, Quo Vadis, bangsaku?

    ..dan yang terbaru sudah tentu Mencari Jalan Pulang..

    Pada pendapat saya, buku-buku beliau sepatutnya tidak diharamkan, tetapi dikaji dengan teliti apa gagasan yang ingin disampaikan oleh penulis.

    Kassim Ahmad sendiri pun kecewa dengan sesetengah golongan yang menuduh beliau sesat, murtad, antihadis dan sebagainya tanpa membaca dengan teliti hasil kajiannya.

    2. Buku kedua yang juga kontroversi ialah pendapat Za’ba tentang takdir yang di beri judul Falsafah Takdir. Suatu masa dahulu ia diharamkan di negeri-negeri tertentu di Tanah Melayu..Sekarang sudah tak haram! 🙂

    Wallahua’lam!

  6. Najibah says:

    Faizal,

    Info tentang Perpustakaan UKM di atas pun menarik juga 🙂 – saya tak pasti di tempat saya dulu ada atau tidak koleksi seperti ini. Tak pernah terdengar cerita.

    Peminat Kassim Ahmad nampaknya? 🙂 Saya cuma pernah baca buku yang menjawab buku Hadis Satu Penilaian Semula, oleh Amaluddin Darus [?] kalau tak salah. Berminat mahu baca Kassim Ahmad, tapi belum berkesempatan.

    Buku tulisan Za’ba Falsafah Takdir pun belum pernah saya dengar. Terima kasih berkongsi info.

  7. good information 🙂

  8. Ada benarnya jika kita katakan perlu kepada penapisan inti buku dari pembacaan awam… saya pernah baca buku Karens Armstrong, tapi judul lain…berkenaan Muhammad dan ianya biasa sahaja…malah lebih telus.

    Sesungguhnya Malaysia perlukan resensi buku yang telah diterbitkan tanpa masalah dan kontroversi. Banyak karya hebat yang perlu ditelah isinya.

  9. Suzainur KAR says:

    Ibu bapa saya tidak pernah melarang saya membaca walau apa buku sekali pun; mereka percaya bahawa saya boleh mempertimbangkan baik buruk kandungan buku tersebut dan menyesuaikan dengan kehidupan saya.

    Saringan buku untuk kanak2 mungkin penting kerana mereka masih belum boleh mempertimbangkan maklumat dari bahan bacaan mereka. Tapi masayarakat umum harus mempunyai kematangan untuk membaca buku tanpa had dan halangan. Saya percaya org Islam harus membaca Injil agar memahami cara membina hujah untuk menegakkan syiar Islam. Bagaimana kita hendak mempersoalkan sesuatu yang tidak kita ketahui? Saudari/a Isma, sebagai org dewasa, kematangan berfikir harus ada agar kita dapat memperhalusi pandangan kita; bukan semua bahan bacaan itu diterima bulat2 tanpa sebarang pandangan kritis.

  10. Najibah says:

    Nora,

    Sekadar berkongsi, tak sampai setitis dari selaut.

    Sdr. Fauzan dan Sdri. Suzainor,

    Saya percaya pada penapisan tertentu. Tidak mungkin membiarkan semua air bersih dan air najis bercampur aduk merempuh benteng misalnya, terutama di kalangan kanak-kanak dalam tempoh pengukuhan akidah. Tetapi apabila telah dewasa dan mantap, mereka perlu dapat pendedahan secukupnya – satu cerita lain pula.

  11. MrB says:

    Salam,

    Versi pdfs tulisan Kassim Ahmad boleh di download di http://www.box.net/shared/lmh0tigow4

    1) Characterisation in Hikayat Hang Tuah
    2) Hadis – Jawapan Kpd Pengkritik
    3) Hadis – Satu Penilaian Semula

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com