Berapa perkataan seminit anda baca?

Saya menemui satu aplikasi yang dapat mengukur kelajuan kita membaca. Cukup ringkas dan mudah untuk digunakan.

Pada halaman itu, kita akan diberi satu butang ‘Start’ untuk ditekan, sebuah artikel pendek untuk dibaca, dan dalam tempoh seminit, akan ada ‘alert’ yang memberitahu kita supaya berhenti.

Pada ‘alert’ itu, kita diminta menekan butang OK, dan setelah itu tekan pula pada perenggan yang sedang kita baca pada artikel untuk mengetahui berapa jumlah perkataan yang telah kita habiskan.

Saya dapati kadar kepantasan saya membaca hanya 250-300 perkataan sahaja seminit. Kurang memberangsangkan!

Berapa kepantasan membaca rakan-rakan? Jemput menduga kepantasan membaca masing-masing di sini.

*  *  *  *  *  *  *

Syukur alhamdulillah, komputer saya yang sakit sudah sembuh semula – mulanya saya mahu baiki di salah satu daripada dua tempat baiki komputer sekitar tempat kediaman, tetapi kedua-duanya mahu komputer yang sakitnya tak seberapa dimasukkan ke ‘wad’.

Saya tahu komputer saya taraf pesakit luar sahaja, jadi tidak mahu ambil risiko. Maklum sahaja, ada segelintir peniaga tidak amanah yang bertindak luar dugaan terhadap barangan pelanggan.

Akhirnya ambil keputusan cari komponen sahaja dan baiki sendiri di rumah. Kami ke pusat bandaraya, sambil ada urusan lain bercadang mahu ke Plaza Low Yat, tetapi dek terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas dan bumper belakang di langgar sedikit oleh seorang pemandu wanita (mujur tidak teruk), akhirnya kami batalkan saja niat tersebut.

Seorang sepupu mencadangkan kami ke Digital Mall Seksyen 14 Petaling Jaya. Terburu-buru pula ke sana dalam keadaan mengejar Maghrib. Alhamdulillah komponen pun ditemui di situ.

Mujurlah puteri kami yang ikut bersama tidak mengamuk penat dan bosan, asyik minum susu dan menyanyi lagu Wonderpets dengan suka hati sekali.

Alhamdulillah pagi ini saya dapat memblog lagi di BukuRia 🙂

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

2 Responses

  1. Nana says:

    Keputusan saya ialah 250-300 perkataan seminit. Above average.

    Namun, saya kurang setuju dengan konsep speed reading yang pernah saya pelajari. Kemahiran tersebut lebih berupa kemahiran mencari maklumat dengan pantas. Jika kita membaca pantas untuk bacaan yang memerlukan ketelitian dan penghayatan, maka hilanglah makna dan rasa membaca sebenar.

    Dulu semasa saya bersekolah rendah, saya boleh membaca lebih pantas daripada rakan-rakan sekelas. Saya ketahuinya apabila kami membaca ssesuatu bahan bersama-sama, saya terlebih dahulu habis membaca berbanding mereka. Tapi sejak usia semakin bertambah ni, kelajuan tersebut telah berkurangan sedikit demi sedikit.

  2. Najibah says:

    Nana, lebih kurang sama kelajuan membaca kita. Saya ada bertemu Kak Nisah baru-baru ni, katanya kadar membacanya sehingga 500 seminit. Laju sungguh!

    Saya ada baca satu buku Speed Reading dulu, ada cara atau teknik mengawal mata masa membaca, pada titik mana kena stabilkan mata dan lain-lain. Tapi sebab dah lama tak praktik dan belum melekat elok sebagai tabiat, dah macam kena panaskan balik.

    Pada saya bergantung pada bahan bacaan jugak, kalau bahan bacaan mudah, lajulah. Kalau yang lebih berat, mesti kena perlahankan juga. Macam jalan berlubang2 atau tak rata, kena perlahankan kereta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com