Apabila A Kadir Jasin memblog

Tajuk buku: Blogger
Pengarang: A. Kadir Jasin
Penerbit: Berita Publishing Sdn Bhd
Terbitan: 2006

Teknologi komputer dan internet sekali lagi memberi peluang kepada mereka yang memanfaatkannya sebaik mungkin ke jalan yang betul, seterusnya memberikan manfaat yang bukan sedikit kepada orang ramai.

Salah satunya ialah buah tangan seorang penulis, pemberita, pemikir, pengkritik dan wartawan yang tidak asing lagi yang telah sekian lama menghambakan diri dalam dunia penulisan sejak tahun 1969 sehingga kini. Buah tangan yang dimaksudkan ialah sebuah buku berjudul ”Blogger” oleh A Kadir Jasin. Di dalam negara nama A Kadir Jasin tidak perlu diperkenalkan lagi terutama dalam dunia akhbar dan penerbitan.

Dalam sejarah kerjayanya, beliau pernah menyandang  jawatan penting dalam dunia penerbitan dan akhbar antaranya ialah Editor Kumpulan NST Sdn Bhd, Ketua Editor NSTP Sdn Bhd dan Ketua Editor sebuah syarikat penerbitan terkenal, Berita Publishing Sdn Bhd.

Beliau telah mencurahkan buah fikiran dan ideanya berbentuk tulisan dalam sebuah kolum, “Other Thots” di dalam majalah Malaysian Business sewaktu ketika dahulu. Selain itu beliau juga merupakan penulis beberapa buah buku yang menarik seperti Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006) dan terkini ialah Blogger A. Kadir Jasin (2006).

A.Kadir Jasin telah mengambil inisiatif untuk melebarkan tulisan dan pandangan di blog beliau ke dalam bentuk buku untuk dikongsi bersama dengan pembaca di Malaysia dengan judul ”Blogger”.

Buku kecil terbitan 2006 ini dimulakan dengan pengenalan tentang budaya menulis dan salah satu produk kecanggihan teknologi internet iaitu blog. Blog ataupun weblog menurut takrifan wikipedia, sebuah ensiklopedia percuma dalam talian merupakan laman web yang memuatkan bahan-bahan yang berbentuk dan bergaya jurnal atau diari oleh individu atau berkumpulan.

Penulis blog yang dikenali sebagai blogger akan memuatkan hasil karya dan tulisan mereka yang dinamakan tampalan (posting) ke dalamnya mengikut gaya dan kemampuan mereka yang tersendiri.

Penulisan di blog atau weblog ini bersifat rencam dan pelbagai. Ada yang menulis sekadar suka-suka tanpa ada sebarang tujuan tertentu atau sekadar untuk tidak tertinggal di belakang dalam kelimpahan teknologi internet. Ada yang menulis sekadar untuk mencari kawan dan hiburan serta mencatat aktiviti harian mereka.

Ada juga penulis blog yang sudah dikenali ramai di luar, namun masih menggunakan saluran alternatif melalui weblog untuk meyampaikan buah fikiran, gagasan dan idea mereka  melalui medium internet. Kebanyakan mereka ini mempunyai peminat dan penggemar setia yang selalu mengikuti perkembangan tulisan penulis-penulis ini baik di luar mahupun di dalam talian.

Inilah yang dilakukan oleh A. Kadir Jasin. Beliau yang sudah pun mempunyai nama besar di luar menggunakan medium ini untuk terus menyampaikan pandangan dan pendapat beliau, mengumpul pengikutnya yang tersendiri dan hasilnya ialah sebuah blog yang segar, menarik, kritis dan kadang kala menyengat. Gaya tulisan beliau yang cermat, spontan, mesra dan bermaklumat terus meruntun minat pembaca untuk terus mengikuti tulisan-tulisan beliau lewat blog di internet.

Selain itu menurut penulis, blog merupakan media baru penyampaian selain akhbar, radio dan televisyen hasil dari pekembangan teknologi ICT sejak tahun 1990-an lagi. Tulisan berbentuk blog adalah lebih murah, cepat dan mudah serta boleh dilakukan di mana-mana sahaja selagi ada kemudahan telekomunikasi internet. Dengan cara ini beliau boleh terus berinteraksi dengan pembaca dengan lebih pantas dan mesra.

A Kadir Jasin memulakan tulisan pertama beliau di blog pada 28hb Februari 2006 dengan judul ”Mengatasi Beban Kenaikan Harga Minyak”. Sejak itu beliau telah menulis lebih dari 130 buah rencana berbahasa melayu dan inggeris mengenai pelbagai topik dan isu yang berlaku di dalam negara. Buku yang memuatkan tulisan beliau ini merupakan jilid pertama dari dua jilid yang akan diterbitkan.  Di dalam keluaran ini dimuatkan 16 rencana tulisan beliau dengan pelbagai judul menarik dengan 4 daripadanya berbahasa Inggeris dengan tajuk ”Apologize and You Shall be Pardoned”, Can We Not Be a Vulgar?’, Cut Down on the Debate” dan ”Every Generation Has Its Heroes”. 12 lagi kupasan beliau yang mendapat perhatian pembaca menerusi tajuk-tajuk antaranya ialah “Rakyat dan Kakitangan Awam Sama Penting”,  PM Janji Agihan Adil”, Bumiputera Terus Ketinggalan dan “Apabila Ahli Politik Bergegas ke Mahkamah”.

Apa yang menarik ialah, beliau turut memuatkan komentar-komentar bernas dari pembaca yang berkongsi pendapat dan pengalaman mereka tanpa sebarang suntingan disebabkan limitasi teknikal pelayan web blogger. Namun begitu kebanyakan komen dan pendapat ini dilakukan dengan jujur dan berhemah sesuai dengan saranan penulis supaya setiap pembaca dan pengkritik hendaklah berani dan jujur dalam memperkatakan sesuatu.

Buku ini merupakan produk yang baik hasil dari kecanggihan teknologi internet yang ditangani dengan berkesan oleh seorang sewibawa dan sekarisma seperti A Kadir Jasin. Ia sesuai dibaca oleh semua golongan yang berminda terbuka dan berminat dengan isu-isu semasa yang berlegar sekitar tanah air tercinta.

*  *  *  *  *  *  *

Penyumbang ulasan ini, Mohd Faizal Aziz yang kini berada di Montreal, Kanada telah menulis untuk akhbar dan majalah seperti Mingguan Malaysia dan Dewan Kosmik terutamanya dalam bidang nanoteknologi. Blognya Mundarmandir boleh dilawati di sini, manakala yang lebih menjurus ke bidangnya di sini.

You may also like...

2 Responses

  1. Peesha says:

    Saya memiliki buku ini. Mulanya saya ingatkan ia sedikit berbeza daripada apa yg tersiar di dalam blog Datuk AKJ, tetapi selepas membaca, baru saya sedar buku itu adalah kompilasi entri blognya (ini kes beli dulu, belek kemudian).

    Sedikit kecewa, namun OK juga … sekurang-kurang nya saya boleh merehatkan mata dari membaca di skrin komputer …

  2. Najibah says:

    Peesha, saya ada belek2 buku ni dulu di kedai buku, tapi tak jadi beli. Rasa berminat jugak nak kumpul buku2 yang berasal daripada entri blog ni, sebab kadang-kadang tak mampu nak baca dan renung satu persatu makna tersurat dan tersirat kalau baca sekali lalu di Internet. Yang saya dah beli setakat ni, Hishamuddin Rais punya. Mungkin nanti nak beli tulisan Che Det.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com