Tahun ini sahaja, ada tiga e-Pembaca (e-Reader) yang telah dan akan muncul di pasaran: Amazon dengan bergaya telah melancarkan Kindle 2 miliknya Februari ini, Foxit bakal menyusul pada bulan April dengan eSlick Reader dan sebuah syarikat Jerman pula akan menampilkan txtr Reader.

Meskipun ketiga-tiganya setakat ini terhad jualannya dalam pasaran tempatan, namun teknologi peranti membaca dan telekomunikasi digital sudah tentu akan semakin maju sehingga akhirnya seluruh dunia akan dapat menikmati peranti yang sama.
Sudah ramai yang beralih arah menggunakan e-Pembaca. Ada yang menyatakan halangan sekarang hanyalah teknologi yang belum benar mantap dan penyesuaian manusia dengan budaya membaca cara baru. Apabila semua orang sudah biasa dengan e-Pembaca, sudah tentu mereka hanya akan membeli buku untuk keperluan tertentu sahaja.
Entri-entri lain yang berkaitan:
Pernah anda bayangkan untuk melihat buku atau manuskrip yang bernilai sehingga 30.8 juta dolar? Buku-buku semahal ini biasanya dilelong oleh pelelong profesional seperti Sotheby’s dan dibeli oleh pihak institusi tertentu atau peminat persendirian yang terdiri daripada ahli perniagaan kaya dan terkenal.
Antara buku dan manuskrip dari kebudayaan Barat yang pernah dilelong dengan harga tinggi adalah:
1. $781,000 – Gerardus Mercator’s “Atlas”
2. $1.9 million – The 13th Amendment
3. $3.9 million – Ptolemy’s “Geographia” (aka “Cosmographia”)
4. $4.7 million – Henri Louis Duhamel du Monceau’s “Traité des arbres fruitiers” (“Treatise on Fruit Trees”)
5. $5 million – William Shakespeare’s “Comedies, Histories & Tragedies” or “First Folio”
6. $8.8 million – John James Audubon’s “Birds of America”
7. $20.1 million/$11.6 million – Gospels of Henry the Lion
8. $30.8 million – Leonardo da Vinci’s “Codex Leicester”
Nikmati foto buku dan manuskrip termahal ini di laman Know Your Money.
Entah sudah berapa kali saya terdengar nama sarjana besar yang seorang ini, tetapi saya tidak ambil peduli. Terasa betapa kerdilnya diri. Jika tidak digerakkan Allah ke majlis ceramah umum di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) semalam, sudah tentu saya akan lebih terlewat lagi mengenalinya.
Sewaktu sampai di Balai Ilmu, para pendengar telah memenuhi ruang dewan. Beberapa gerai jualan buku juga turut dibuka, memantapkan suasana keilmuan yang sedia terasa. Saya mengangkat kerusi kosong masuk ke dewan. Syukur sempat juga mengikuti syarahannya walaupun dari belakang sahaja.
Dalam syarahan singkatnya bertajuk Classification of Knowledge in Islam yang bermula pada jam 3.30 dan berakhir kira-kira jam 5.00 petang, Profesor Emeritus memperkatakan tentang inti bukunya yang bertajuk sama. Sambutan hangat terhadap buku ini begitu nyata kerana ia telah diterjemahkan di peringkat antarabangsa ke dalam bahasa Parsi, Turki, Indonesia, Arab dan sebahagiannya ke dalam bahasa Urdu.
Menurut beliau, dalam bahasa Arab istilah taqsim al-ulum telah lama dipakai sejak zaman Al-Farabi sebagai merujuk kepada pengelasan ilmu. Ini menunjukkan pengelasan ilmu adalah suatu ‘landmark‘ penting dalam dunia keilmuan Islam. Malah Ibnu Nadim seorang peniaga buku yang terkenal juga melakukan pengkatalogan dan pengelasan terhadap buku-buku yang dimilikinya.
Keistimewaan pengelasan ilmu Islam berbanding pengelasan ilmu Barat adalah wujudnya hirarki ilmu. Dalam pandangan Islam, tidak sama hirarki ilmu ketuhanan dengan ilmu kemanusiaan, sepertimana tidak sama hirarki ilmu kemanusiaan dengan ilmu tentang haiwan atau batu-batan.
Tidak lama lagi Pesta Kesusasteraan Antarabangsa Dubai akan berlangsung daripada 26 Februari – 1 Mac 2009. Pesta ini sememangnya dinanti-nantikan oleh Geraldine Bedell. Ini kerana novel terbarunya berjudul Gulf Between Us akan menjadi satu-satunya buku berbahasa Inggeris yang akan dilancarkan di pesta tersebut.
Tetapi pada saat-saat akhir, buku itu telah disenarai hitam oleh pihak penganjur kerana intinya didapati boleh menimbulkan kontroversi. Antara kontroversi yang dimaksudkan adalah wujudnya watak seorang lelaki Arab homoseksual yang mempunyai teman lelaki Barat, cara buku tersebut membicarakan tentang Islam serta termuatnya tragedi perang Iraq.
Oleh sebab pengharaman ini, nampaknya Pesta Kesusasteraan Dubai telah menerima padah kerana kehilangan ramai peserta (penulis) terutamanya dari Barat yang menarik diri demi menyatakan penentangan terhadap apa yang disifatkan sekatan terhadap kebebasan menulis.
Di Miami, Amerika Syarikat pula gara-gara seorang bapa, Juan Amador membuat bantahan kepada sekolah anaknya tentang sebuah buku berjudul A Visit to Cuba (Vamos a Cuba), pihak sekolah telah menyenarai hitam buku terbabit daripada menjadi bahan bacaan. Naskhah yang berada di perpustakaan sekolah telah ditarik balik daripada rak.
Buku itu dikatakan menggula-gulakan suasana kehidupan di bawah pemerintahan komunis Fidel Castro. Ini bertentangan dengan dasar Amerika yang bermusuhan dengan Cuba. Akhirnya mahkamah menyebelahi keputusan pihak sekolah dan memutuskan bahawa pengharaman buku itu di sekolah rendah tersebut tidak menyalahi Perlembagaan.
Sebenarnya, perdebatan mengenai isu penapisan buku seperti yang berlaku di Emiriyah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat tidak asing di mana-mana negara sekalipun. Di Malaysia sendiri, terdapat banyak buku-buku yang telah diharamkan oleh KDN ataupun JAKIM.





Komentar Terkini